"PUTERA!" jerit Dayu sejurus berlari dan berdiri di hadapan Putera yang masih tertiarap di atas tanah, melindungi.
Tanpa berfikir panjang, dia melangkah ke hadapan, memegang pedang dengan kukuh. Gigi diketap-ketap menahan marah.
Ireng berpaling dan senyuman sinis terukir di wajahnya. "Oh, Dayu. Kau sepatutnya jadi isteri tuan aku. Tapi kau khianat aku, khianat tuan aku. Jadi, mati jawapannya."
"Mati? Aku tak takut." Dayu terus menyerang Ireng dengan serangan bertubi-tubi. Setiap ayunan pedangnya melibatkan seluruh kekuatan dan keinginan untuk menyelamatkan Afhan. Dalam fikirannya, mungkin Afhan masih boleh diselamatkan.
Mungkin.
Ireng mengelak dan membalas setiap serangan dengan mudah. Dapat juga telinga mereka menangkap bunyi pedang di belakang, menandakan Andi dan tentera-tentera yang lain sedang bertarung dengan Bayang-bayang Hitam.
Dayu melepas sebuah nafas berat. Otot-ototnya terasa keletihan, tetapi dia terus berjuang, meskipun luka-luka di tubuhnya semakin banyak. Dia terjatuh setelah satu tamparan hebat dari Ireng menghantarnya ke tanah. Kemudian wajahnya dipijak tanpa belas.
Deja vu.
"Bangun, Dayu... Bangun..." Dayu mendesis kesakitan. Dia berusaha untuk berdiri semula walaupun darah mengalir tanpa henti.
Dayu melepas batuk dan mengangkat kaki kanan untuk menendang perut Ireng. Pedang diacu ke hadapan namun lebih pantas Ireng menepis pedang itu, membuatkan pedang Dayu jatuh ke tanah semula.
Ireng mengaum kegeraman dan mencakar bahu Dayu sejurus membuatkan Dayu terjelopok ke tanah sekali lagi.
Dayu merangkak semula ke atas, merasakan kesakitan yang melanda seluruh tubuhnya, Dayu mendesis payah. Namun, hatinya berapi-api dengan semangat untuk Afhan. Dia mengumpulkan seluruh tenaga, berusaha menumpukan semua kekuatannya pada satu serangan terakhir.
Dayu melepas nafas lelah. Setiap kali dia mengayunkan pedang, Ireng akan mengelak dengan kelincahan yang luar biasa.
Sekali lagi Dayu melancarkan serangan yang lebih berani, tetapi Ireng dengan mudah mengelak dan memberi sebuah tamparan pijar ke pipi kirinya. Dayu terhuyung-huyang, merasakan rasa pedih yang menjalar di seluruh tubuhnya.
"Aku takkan biarkan kau menang!" Dayu berteriak, walaupun suaranya bergetar kerana kesakitan. Dia mengatur nafasnya dan melanjutkan pertarungan, tetapi keletihan mula menghambat setiap langkahnya.
Ireng ketawa dan menendang perut Dayu tatkala wanita itu menghampiri, membuatkan Dayu terjatuh ke tanah. Jatuhnya dia menyebabkan debu dan tanah meliputi wajah. Dengan susah payah, Dayu bangkit semula, tetapi sebelum sempat dia bersedia, Ireng melancarkan serangan sekali lagi. Kuat, pantas.
Dayu merasakan satu cengkaman kuat pada lengannya dan Ireng menghentakkan kepalanya ke tanah. Dayu terasa seperti seluruh dunia berputar hebat. Darah mengalir dari dahi dan mulutnya, tetapi dalam hatinya, ada satu rasa yang kuat; harapan.
Dia berjuang untuk bangkit semula walaupun jelas matanya terasa kabur. Pedangnya digenggam dengan kedua-dua belah tangan, merasakan setiap luka dan sakit yang memaguti semangatnya.
Ketika Ireng bersiap untuk melancarkan serangan terakhir, Dayu merasakan seolah-olah masa berhenti. Semua kenangan indah bersama Afhan berlegar di fikirannya. Dia mengingat senyuman manis Afhan, suara pujukan lembut Afhan.
Dengan segenap kekuatan yang ada, Dayu mengumpulkan semua tenaga yang tersisa dengan mengelak daripada serangan Ireng yang menampakkan dirinya semakin lemah. Dia menggunakan peluang itu untuk mengacukan pedangnya ke arah jantung Ireng, tetapi Ireng mengelak sekali lagi.
"Bodoh!" Ireng ketawa, tetapi dalam nada yang mulai gentar. "Kau tidak akan pernah dapat kalahkan aku."
Dayu mengetap gigi tatkala merasa dia tidak dapat bertahan lagi. Dia melihat ke arah Putera yang terbaring di tepi, terluka parah. Hatinya terasa hancur. Dia tahu, jika dia tidak berjuang sekarang, semua yang dia sayang akan hilang.
Semua.
Bukan satu.
"Tak guna..." Dayu mengesat air mata yang entah sejak bila mengalir. Pedang digenggam kuat dan diangkat tinggi.
Ireng mengangkat tangan untuk menghalang, tetapi Dayu telah membuat keputusan terakhir. Nekad. Dia mengarahkan pedangnya ke arah leher Ireng.
Keras.
"Matilah, Afhan... Matilah... Awak tak layak hidup menderita macam ini..." Dayu menggeleng kepala bersama beberapa titis air mata yang tidak segan untuk turun.
"Waiza batashum batashtum jabbariin!" Dalam satu gerakan yang pantas, Dayu berjaya memisahkan kepala Afhan dari tubuhnya setelah memberikan sepenuh tenaga. Ireng pula tidak sempat hendak mengelak dan akibat serangan bersama 'ayat keramat' itu, Ireng tewas akhirnya.
Ireng terjatuh ke tanah dan Dayu terjatuh berlutut, pedang yang berlumuran darah di tangannya dipandang penuh hiba.
Afhan tewas dengan tusukan pedang milik Dayu sendiri.
Terkedu. Air mata semakin deras mengalir di pipinya, merasakan kesedihan yang mendalam, menusuk.
Dayu terus menghambur esak, bukan hanya kerana kemenangan, tetapi kerana cinta yang hilang dan pengorbanan yang terpaksa dia lakukan. Dalam kesakitan dan kesedihan, dia tahu bahawa dia telah melawan untuk sesuatu yang lebih besar untuk cinta dan harapan yang akan kekal di hati selamanya.
Dayu jatuh terduduk bersama pedang yang terhempas ke tanah. Tangis dan raungan terus bergema. Tangan turun menumbuk-numbuk tanah bersama mulut yang tidak henti-henti meluah kata benci untuk diri sendiri. Sesak nafas, tetapi tidak mengapa. Jika malaikat mahu menarik nyawanya juga tidak mengapa.
"Dayu."
"Shhh, shhh... Jangan macam ni, Dayu..." Andi menepuk bahu Dayu. Jelas, wajahnya turut penuh dengan luka di sana dan di sini.
"Kita dah menang... Kita dah menang..."
Dayu menutup wajah dengan kedua-dua belah tapak tangan. Selain Andi di sebelahnya, dia juga turut merasakan kehadiran yang lain. Mungkin Putera Ibhar. Mungkin Arjuna.
Entahlah. Hidupnya jadi kelam tiba-tiba.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Viễn tưởng"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...