Pedang perlahan-lahan diselit ke tepi seluar. Segelas air diteguk perlahan. Nafas dihela kasar, lelah.
"Piye kabare Dayu saiki? (Macam mana keadaan Dayu sekarang?)"
"Padha. (Sama.)"
Putera Ibhar mengeluh. "Dia sudah makan?"
"Sudah, tetapi selepas itu dia akan tidur semula. Macam tak ada tenaga," jawab Karti lagi.
"Sarungkan selendang. Aku mahu tengok dia."
Karti mengangguk patuh dan menghilang masuk ke dalam bilik. Selesai menyarungkan selendang hitam pada Dayu, Karti keluar semula dan membiarkan Putera Ibhar masuk ke dalam bilik pula.
"Dayu Andira," panggil Putera Ibhar perlahan. Dayu terus memaling wajahnya menghadap wajah Putera Ibhar sebelum perlahan-lahan menukar posisi daripada berbaring kepada duduk. Wajah Putera Ibhar dipandang atas dan bawah.
"Kau rasa apa sekarang? Makin sihat?"
"Kau pencuri," balas Dayu, tegang. Tidak menjawab soalan itu, sebaliknya mata mencerlung tajam menikam sepasang mata Putera Ibhar yang penuh dengan kekeliruan itu.
"Kau pencuri! Kau ambil hak aku! Perempuan ni..." Baju di bahagian dada dicengkam kasar. "Hak aku! Kau curi hak aku!"
Putera Ibhar mendengus kasar.
Ireng.
Aura gelap Ireng benar-benar sudah meresap masuk ke dalam jiwa Dayu.
"Dia bukan hak kau," jawab Putera Ibhar tenang.
"Tak, dia hak aku!" Dayu menjerit sekali lagi dan pantas menolak tubuh Putera Ibhar menjauhinya. Cucuk sanggul di sebalik tudung yang elok ditusuk di sanggul rambutnya pantas ditarik dan ditusuk pada lengan kiri Putera Ibhar.
"Kau..." Putera Ibhar tunduk menekap lengan kiri yang baru ditusuk cucuk sanggul tajam itu. Dia memang sengaja tidak mahu berlawan atau bergelut kerana di hadapannya ini ialah Dayu. Batinnya memang bukan Dayu, tetapi zahir tetap Dayu.
"Kowe arep gelut karo aku, Ibhar Uzziq? Ayo, nanging yen aku menang... Prawan iki bakal dadi duwekku. Abdi dalem ngantos pejah. (Kau mahu berlawan dengan aku, Ibhar Uzziq? Mari, tapi kalau aku menang... Perempuan ini akan jadi milik aku. Hamba sampai mati.)" Dayu tersenyum sinis dan menepuk-nepuk dada sendiri.
"Dheweke ora pantes dadi bature makhluk ala kaya kowe. (Dia tak layak jadi hamba kepada makhluk keji kepada kau.)"
"Dia hamba Tuhan. Dia hamba Allah," sambung Putera Ibhar lagi.
Dayu terus ketawa terbahak-bahak. "Tuhan?"
"Tak, dia akan jadi hamba aku juga lambat-laun. Dan kau..."
"Kita akan jumpa lagi suatu hari nanti di medan pertempuran untuk aku pancung kepala kau. Kemudian... makan daging-daging rakyat di sini." Dayu tersenyum menyeringai dan menjilat baki darah Putera Ibhar di batang cucuk sanggul tadi.
Kesempatan itu, Putera Ibhar terus menepis kasar cucuk sanggul itu lalu tangannya mendarat pada kepala Dayu sementara gadis itu sudah mula meronta-ronta.
"Qul a’udzu birobbil falaq. Min syarri ma kholaq. Wa min syarri iza waqab. Wa min syarrinnaffatsati fil ‘uqad. Wa min syarri hasidin iza hasad."
"Argh!" Dayu terus meronta-ronta dan menjerit kesakitan. Nyaring.
"Sakit... sakit..."
Tubuh kecil gadis itu terus ditarik ke dalam pelukan. Belakang badan Dayu ditepuk-tepuk. Lidah Putera Ibhar tidak henti-henti melantunkan nama suci Allah selepas itu, menenangkan.
"Sakit..."
"Dayu Andira."
"Putera..." Dayu meringis kesakitan. Seluruh tubuhnya bagai ditusuk-tusuk dengan jarum tajam terutamanya pada bahagian alat sulitnya. Pedih dan pijar.
"Karti!" Putera Ibhar bangkit daripada duduk dan menghampiri Karti.
"Buat air mandian untuk Dayu. Satu baldi air, perah tujuh biji limau purut, letak tiga sudu garam kasar dan tiga sudu garam bukit. Jangan lupa selawat semasa kau buat air tu. Beri Dayu mandi guna air tu sebelum Maghrib ni."
"Baik, Putera. Tapi... tangan kau kenapa?" Mata Karti jatuh pada lengan kiri Putera Ibhar yang basah dengan darah.
"Tak apa."
"Aku boleh panggilkan Nur."
"Tak apa, tak perlu. Dayu lebih penting daripada aku. Pergi buat air mandian itu sekarang, Karti. Aku risau tak sempat sebelum waktu Maghrib."
Akhirnya Karti mengangguk akur dan beredar dari situ.
Putera Ibhar paling ke belakang semula dan merenung wajah mendung Dayu. Semangat gadis itu bagai sudah diragut pergi entah hilang ke mana.
"Dayu."
"Putera..." Dayu mengesat air mata yang laju turun dari tubir mata. Ah, dia benci menangis. Menangis hanya menampakkannya sebagai seorang gadis lemah.
"Kenapa... aku jadi macam ini? Aku... tak mampu kawal badan aku. Aku rasa badan aku seperti dikawal. Lengan kau tu..." Dayu tunduk menggigit bibir sendiri. Dia menjadi saksi bahawa tangannya bergerak sendiri menusuk cucuk sanggul di lengan kiri Putera Ibhar. Tetapi dia terlalu lemah. Dia terlalu lemah untuk mengawal diri sendiri. "Aku minta maaf."
"Bukan salah kau, Dayu. Aku tahu tadi itu bukan kau." Putera Ibhar melutut di tepi katil dan menatap sepasang mata sendu itu. Dia berjanji akan kembalikan sinar di mata itu. Dia janji.
"Selepas ini, kau perlu mandi guna air mandian limau garam yang Karti buatkan."
"Untuk apa?"
"Untuk buang segala rasa bisa di badan kau. Badan kau rasa seperti ditusuk, bukan?"
Laju Dayu mengangguk.
"Aku tahu, aku faham. Aku juga pernah rasa apa yang kau rasa. Kau cuba mandi guna air itu dahulu, insya-Allah rasa sakit itu akan hilang. Tapi kalau tak hilang juga, kau bagitahu aku. Aku akan cuba ikhtiar cara yang lain."
"Terima kasih, putera." Dayu menunduk, serba salah. Putera Ibhar bersusah-payah menolongnya tetapi dia rasa dia semakin menyusahkan lelaki itu. Seperti beban.
Putera Ibhar mengangguk sebelum bangun semula. "Luka jahitan di perut kau masih sakit lagi?"
"Tak..."
"Alhamdulillah. Kalau dah tak ada apa-apa, aku pergi dulu. Kau tunggu saja Karti bawakan air itu pada kau. Nanti terus mandi dan jangan berlengah lagi. Mandi sebelum Maghrib. Sebelum mandi, baca bismillah, selawat, Al-Fatihah dan ayat kursi tiga kali." pesan Putera Ibhar lagi.
"Baik, putera." Dayu mengangguk faham dan menghantar tubuh Putera Ibhar yang mula beredar dari situ. Tubuhnya disandar pada kepala katil. Kepalanya yang terasa berdenyut-denyut dipicit perlahan.
Sakit.
☆☆☆☆☆
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ. مِن شَرِّ مَا خَلَقَ. وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ. وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ. وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ.
Maksud:
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."- Surah Al-Falaq.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
פנטזיה"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...