[EDITED]
"Dayu! Jangan kejar!" Dayu meneruskan larian walaupun dia dengar dengan jelas Andi melaung namanya.
"Kabeh wis ngenteni ing kene. Andi, kowe pimpinan. (Semua tunggu di sini. Andi, kau ketua.)" Sejurus itu, Putera Ibhar buka langkah seribu mengejar Dayu yang sudah semakin jauh jaraknya. Dia tidak mahu menggunakan kuda kali ini, dia rasa tidak sedap hati.
Dayu toleh ke belakang sesekali lalu perasan akan susuk tubuh Putera Ibhar yang juga sedang mengejarnya.
"Putera, jangan ikut!" Dayu melaung sambil tercungap-cungap.
"Kau yang jangan ikut makhluk itu!"
"Tak... tak boleh..." Dayu terus pandang ke hadapan semula dan melajukan larian sehingga tiba di sebuah pondok kecil. Gelap dan tersorok. Terus tubuh kecilnya memasuki pondok gelap tersebut.
Dahi Dayu berkerut-kerut lalu mengepit hidung dengan jari.
Busuk dan hanyir!
"Bau apa ni? Busuknya..." Dayu telan liur berkali-kali, rasa hendak termuntah.
Matanya meliar ke kiri dan kanan, tangannya meraba-raba sekeliling. Sambil melangkah, kakinya tidak sengaja menendang sebuah benda keras.
Perlahan-lahan Dayu tunduk dan mengutip benda tersebut lalu mengetuk permukaan benda tersebut.
"Benda apa ni?" Dayu angkat benda tersebut dan dekatkan pada wajahnya, mahu melihat dengan lebih jelas.
"Ah!" Dayu menjerit lalu membaling jauh benda tersebut.
Tengkorak.
"Siapa izinkan kau masuk tempat ini?"
Dayu terkaku. Dia baru sahaja perasan yang daripada awal dia masuk ke sini, ada seorang lelaki di penjuru.
"Ini tempat makan aku. Kau ceroboh tempat makan aku."
"Kau siapa?" Dayu memotong, pedang di seluar kiri dikeluarkan perlahan-lahan. Dia yakin lelaki itu tidak sedar kerana lelaki itu sedang berdiri membelakanginya.
"Soalan itu sepatutnya disoal oleh aku kerana kau ceroboh tempat aku."
"Ini tempat apa? Busuk!"
"Tempat untuk aku makan. Oh, memandangkan kau tetamu, kau mahu makan?" Lelaki itu ketawa perlahan. Daging di tangan kirinya digigit perlahan dan syahdu. Menikmati segenap rasa puas di setiap gigitan daging mentah berbau hanyir itu.
"Marilah. Aku jarang berkongsi makanan dengan tetamu yang hadir. Mari." Lelaki itu akhirnya pusing ke belakang. Pakaiannya serba hitam semuanya. Wajahnya ditutup dengan topeng hitam, hanya menampakkan mata.
Dayu kerut dahi saat lelaki itu tiba-tiba kaku. Matanya membulat di sebalik topeng muka. Kakinya mengundur perlahan-lahan dan menggeleng.
Melihatkan itu, langkah Dayu mara beberapa tapak ke hadapan, enggan mencipta jarak.
"Kenapa... kau ada di sini?" Suara garau itu terketar-ketar.
"Kenapa? Kau kata kau mahu beri aku makan, bukan? Mana makanan? Aku lapar." Dayu menyoal selamba. Pedangnya diangkat lalu diacu ke hadapan.
"Itu apa?" Mata Dayu turun memandang daging merah di tangan kiri lelaki itu. Makin dekat dengan lelaki itu, makin dekat bau hanyirnya.
"Keluar..."
"Tak nak. Aku nak duduk sini. Boleh?" soal Dayu sinis.
"Aku kata keluar!" Lelaki itu lantas membaling daging tersebut ke sisi dan menarik pisau di belakang seluarnya lalu diacu.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
خيال (فانتازيا)"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...