٢٥

60 5 0
                                    

IRENG tersenyum lebar.

"Kau masih mahu lawan aku, Ibhar Uzziq," kata Ireng senada. Bukan persoalan tetapi sebuah kenyataan. Putera Ibhar masih mahu bertarung dalam keadaan yang semakin teruk.

"Masih," jawab Putera Ibhar tenang.

"Kalau kau mampu bunuh aku." Ireng ketawa seraya menghilangkan diri di sebalik tubuh Afhan. Sesaat itu, Afhan terus tertunduk dan mengangkat wajah dengan tatapan kosong. Tawa dihambur.

Tubuh Afhan dan Ireng bersatu semula.

Melihat itu, tubir mata Dayu berair sekali lagi. Dia seperti sudah menjangka apa pengakhiran hidup Afhan, pengakhiran kisah mereka berdua.

"Jangan menangis. Semua makhluk korbankan sesuatu untuk sesuatu." Putera tersenyum nipis. Hambar dan kelam.

"Berdiri belakang aku, Dayu. Kalau aku mati, kau sambung bertarung bagi pihak aku."

Dayu terpempan. "Putera..."

Putera terus mengalihkan wajah menatap Ireng semula. Pedang di tangan dikejapkan.

"Hasbunallah wa ni'mal wakil ni'mal maula wani'mannasir." Sejurus itu, Putera Ibhar terus menghunus pedang tajamnya ke hadapan, berserta Ireng yang turut mara menyerang.

Buat seketika, hanya bunyi dentingan bilah pedang Putera Ibhar dengan kuku tajam Ireng yang memeriahkan suasana.

"Dayu, belakang kau!"

Dayu segera berpaling ke belakang lalu melindungi dirinya sendiri dengan pedang. Nasib sahaja dia cepat memberi reaksi.

Bayang-bayang Hitam.

Dayu mengetap gigi. Mereka masih ada.

"Arjuna, kiri!"

Dayu mengetap bibir tatkala mendengar arahan singkat daripada Andi itu. Ternyata, Arjuna masih sudi menolongnya walhal dalam keadaan lemah, marah dan terasa hati.

Ting! Ting! Ting!

Buat seketika, hanya bunyi pedang menemani. Bising namun sebenarnya, amat sunyi.

"Sampai bila kau mahu terus bertarung, Ibhar Uzziq? Kau tahu jawapannya. Kau dan tentera-tentera bodoh kau akan mati malam ini."

"Tidak. Kau dan tuan kau akan mati," jawab Putera Ibhar berserta sebuah senyuman tipis.

Ireng tertawa mengejek. Jari panjang hitamnya digerakkan ke depan dan ke belakang, seakan-akan mencabar Putera Ibhar untuk menyerang lagi.

Putera Ibhar meluru ke hadapan sekali lagi, pedang diangkat tinggi bersama bibir yang terkumat-kamit menyebut nama Tuhan sekalian alam.

Tawa Ireng semakin kuat bergema. Serangan Putera Ibhar dielak bagai langsung tidak memberi kesan untuknya.

"Ibhar Uzziq, kau tidak akan menang. Tidak akan!" Ireng berseru, suaranya serak dan bergetar seolah ditarik dari kedalaman jiwa yang gelap.

Namun, Putera Ibhar tidak gentar; dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa saja.

Tiba-tiba, Ireng merangkak dengan cepat, gerakannya seolah-olah seekor harimau yang bersiap untuk menerkam mangsanya. Otot-ototnya menegang dan Putera Ibhar merasakan aura yang mengerikan memancar dari Ireng. Aura tidak enak.

Dalam sekelip mata, Ireng meluncur ke depan, melepaskan cakar tangannya dengan gerakan yang menyerupai harimau yang mengaum.

Putera Ibhar mengelak dengan pantas, pedangnya berkilau di udara saat dia mengayunkannya ke arah Ireng. Tetapi, Ireng dengan cekap mengubah arah, menghindari serangan itu dan kembali merangkak dengan lincah.

"Kau tidak faham, kan?" Ireng berbisik dengan suara yang dalam. "Aku takkan mati. Aku tetap akan jadi pujaan keturunan aku. Keturunan dia!" Ireng menepuk dada sendiri; menepuk dada Afhan.

Putera Ibhar tidak mengendahkan kata-kata Ireng lalu terus menyerang. Dia melancarkan serangan bertubi-tubi, pedangnya dilibas sekejap ke kiri dan ke kanan.

"Teruskan, Ibhar Uzziq!" Ireng berteriak nyaring sambil melompat ke samping, mengelak daripada satu serangan yang hampir mengenai bahunya.

"Tetapi kau perlu ingat, kau tidak akan dapat kalahkan sesuatu yang telah ada sejak berabad-abad lagi!"

Putera menggenggam pedangnya dengan lebih erat, geram dengan keangkuhan Ireng. "Kekuatan yang kau miliki hanya memudaratkan keturunan kau sendiri!" balas Putera Ibhar sebelum melancarkan satu serangan sekali lagi.

Ireng bersiap sedia, membongkok rendah dengan laju, dan tiba-tiba menyerang balik. Cakar tangannya meluncur ke arah Putera Ibhar, tetapi dia cepat mengangkat pedangnya untuk melindungi diri.

Dengan satu ayunan, Putera Ibhar memanfaatkan peluang ketika Ireng melompat ke atas. Dia memutar pedangnya dan mengarahkannya ke arah perut Ireng.

"Ini untuk semua kekacauan yang kau buat untuk semua rakyat aku!" Putera Ibhar berteriak, tetapi Ireng lekas membalikkan tubuhnya, mendarat dengan cakar menembusi tanah.

"Belum berakhir, Ibhar Uzziq!" Ireng mengaum garang, tetapi gerakannya semakin perlahan. Barangkali penat dengan pertempuran tanpa henti mereka.

Putera mengambil kesempatan itu untuk melangkah maju dengan semangat yang tidak pudar. Dia tahu ini adalah saatnya. Dengan satu serangan terakhir yang kuat, dia melancarkan pedangnya ke arah Ireng.

Ketika pedangnya terarah ke leher Ireng, Ireng melompat ke atas, memanfaatkan kekuatan saki-baki yang mengalir di dalam badan untuk mengelak. Dengan pantas, dia menendang bahu Putera Ibhar kasar, lantas membuatkan Putera terhuyung-huyang dan jatuh tertiarap ke tanah. Darah mengalir dari luka di bahunya.

"Nampak, Ibhar Uzziq? Makhluk lemah seperti kau takkan pernah dapat kalahkan aku." Ireng tersenyum sinis penuh angkuh.

Irama Kirana [ايرام كيران] ✓Where stories live. Discover now