Dayu tersedu-sedan menangis. Menangis bukan kerana lemah tetapi gembira. Setelah cuba menunggang kuda tersebut selama sebelas kali dan terjatuh tujuh kali, akhirnya dia berjaya.
Andi ketawa terbahak-bahak sambil menepuk tangan. Lucu melihat wajah sembab gadis itu.
"Aku ngerti kowe sing ngganggu kene. (Aku sedar kau yang menjengkelkan di sini.)" Putera Ibhar berdiri di sebelah Andi yang sudah surut tawanya.
Andi tersenyum kecil, "Aku mung guyon. Aku kelingan adhine saben ketemu. (Aku bergurau saja. Aku teringat adik aku setiap kali aku lihat dia.)"
Putera Ibhar melirik ke sisi wajah Andi buat seketika sebelum menghembus nafas berat. Andi mempunyai seorang adik perempuan, mungkin hanya muda beberapa tahun daripada Dayu. Awina namanya. Adiknya itu sudah meninggal dunia kerana kecuaian Andi sendiri. Andi keluar bekerja pada waktu malam dan terlupa mengunci pintu. Malang menyebelahi Awina, rumah mereka diceroboh dan gadis itu telah menjadi mangsa culik. Selang beberapa hari, sekujur mayat Awina ditemui mati di belakang rumah Andi sendiri.
Sejak itu, Andi menyertai pasukan pegawai istana kerana dia tidak mahu perkara yang sama berulang lagi kepada rakyat Kirana terutama rakyat yang bergelar kaum wanita. Dia mahu melindungi kaum hawa.
"Apa kowe isih sedhih? (Kau masih sedih?)" soal Putera Ibhar.
"Saben dina. (Setiap hari.)" Andi senyum kelat. Walau pada dasarnya, dia sudah menerima kematian Awina cuma dia masih terkilan kerana kematian adiknya itu berpunca daripada dirinya sendiri.
Putera Ibhar menepuk bahu Andi perlahan, menyalur kekuatan.
"Andi! Tengok! Aku lagi hebat daripada kau!"
Serentak Andi dan Putera Ibhar memandang Dayu yang sudah melambai-lambai riang dari atas kuda yang ditunggang.
"Aku lagi hebat daripada kau." Andi pantas berjalan menuju ke arah Dayu yang tersenyum bongkak. Dia menggeleng kepala dan tergelak.
"Tahniah, Dayu." Andi menghulur tangan kanannya yang berlapik sarung tangan hitam. Laju Dayu menyambut dan menggoncang tangan itu. Puas hati dia dapat berlagak di hadapan lelaki itu.
Tidak semena-mena, Putera Ibhar memutuskan jabatan tangan mereka dengan menarik tangan Andi.
"Sudah hampir Maghrib. Semua bersurai. Selesai Isyak, semua berkumpul di sini semula dengan kuda masing-masing." Putera Ibhar berpaling dan serentak itu, semua pengawal istana yang lain tunduk dan beredar.
"Andi, ajak Jun dan Karti solat berjemaah sekali. Aku imam solat Maghrib dan Isyak hari ini."
"Hah, Karti?" Dayu melopong.
"Ya, Karti pembantu tukang masak di istana. Kenapa?" soal Andi sambil mencabut sarung tangan.
"Aku tahu kau kenal dia. Sekejap lagi, kau jumpalah dia." jawab Putera Ibhar senada.
Dayu mencebik. Semua benda dia tahu.
.....
"Karti!" Dayu melompat teruja dan terus melompat mendapatkan Karti yang sedang duduk bersimpuh di tepi dinding. Karti tidak menyertai solat Maghrib dan Isyak kerana sedang uzur. Jadi hanya dia dan Jun yang menjadi makmum wanita di belakang.
"Dayu!" Karti membalas pelukannya perlahan-lahan. Tidak sampai 30 saat, belakang badan gadis itu ditampar kuat.
Dayu leraikan pelukan dan mengaduh kesakitan.
"Aku fikir kau lari! Rupa-rupanya diculik orang istana!"
Dayu tersengih dan garu kepala. Telekung yang masih tersarung dibuka perlahan-lahan lalu dilipat.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantasy"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...