TURUN sahaja daripada perut teksi, aku melangkah laju masuk ke dalam rumah. Punyalah aku risau dengan so kembar selepas Mien telefon aku tadi. Dalam hati, tak berhenti aku berdoa supaya tiada apa-apa yang berlaku pada mereka.
Buka sahaja pintu rumah itu, aku melangkah laju menaiki tangga, menuju ke bilik Mien. Tanpa mengetuk pintu, aku pulas tombol pintu biliknya dan menolaknya tanpa meminta izin dahulu.
"Mien! Mana Mia dengan Mizal?" Soalku penuh kerisauan sebaik sahaja aku melihat wajah Mien di atas kerusi roda itu. Tidak pula aku melihat sebarang riak pada seraut wajah itu.
Mien mengangkat wajahnya, menatap aku seketika sebelum mengalihkan pandangan ke suatu arah. "Tu." Aku alihkan pandangan mengikut arah mata Mien. Hampir jatuh rahang aku ke tanah apabila melihat Mia dan juga Mizal yang sedang ketawa terkekeh-kekeh berdua di atas katil sambil memandang aku dan juga Mien. Seolah-olah seronok melihat aku yang gelabah. Pantas sahaja aku menghampiri mereka dan menyentuh wajah mereka berdua.
Tiada.
Tiada langsung muka-muka macam baru lepas menangis. Pipi dan mata si kembar kering. Puas aku menelek wajah mereka. Siap tersengih-sengih melihat wajahku. Aku alihkan pandangan ke arah Mien semula.
"Mien kata Mia dengan Mizal menangis?" Soalku sedikit keliru sambil memandangnya. "Elok je saya tengok?" Soalku lagi dengan nada pelik.
"Air mata dia orang dah kering lah kot." Balas Mien secara acuh tidak acuh. Hampir jatuh rahang aku. Aku... dipermainkan ke apa ni? Nak kata Mien tengah bergurau, mukanya serious sahaja. Tiada tanda-tanda bergurau.
Habis tu, ini... apa?
"Mien tipu saya ke?" Aku sudah bercekak pinggang sebelum berjalan ke arahnya dengan riak tidak puas hati. Sebaik sahaja aku berdiri di hadapannya, aku tenung tajam wajahnya, seolah-olah hampir membahamnya. "Mien ingat kelakar ke? Saya rushing balik sini sebab ingat kembar betul-betul menangis. Mien ingat saya ada masa ke dengan gurauan bodoh macam ni?" Soalku sedikit kasar.
Mien mengukir senyum sinis sebelum menjawabku, "Kau yang setuju untuk jaga aku kan? Untuk jadi adultsitter aku kononnya. Jadi, kau tanggunglah semua ni. Sebabnya..." Suara Mien semakin perlahan, seakan-akan berbisik dengan sinis. "...Taraf kau sekarang ni bawah aku, aku majikan kau. Jadi, aku ada hak untuk arahkan kau buat apa yang aku nak. Dan kau... tak dibenarkan untuk persoal apa yang aku suruh."
Suara penuh kesinisan itu, cukup menjengkelkan hati aku. Penumbuk aku gemggam erat di sisi. Ikutkan hati, ingin sahaja aku biarkan penumbukku ini singgah tepat pada batang hidungnya. Supaya dia tahu.
Mawar Esmeray bukan seorang yang mudah dibuli.
Kalau aku tahu inilah permainan Mien, aku tak akan pulang awal. Aku boleh menemani Cahaya di hospital lebih lama kalau bukan sebab Mien minta aku balik.
Pembetulan.
Bukan minta, tapi paksa secara halus.
"Kalau..." Suaraku mula bergetar menahan perasaan. "Kalau Mien tak suka saya jaga Mien, kenapa Mien tak bantah? Kenapa terima tanpa cakap apa-apa?" Soalku sedikit kasar. Mien hanya tersenyum senget memandangku.
"Kenapa aku tak bantah? Heh, aku dah bantah, kau tahu. Tapi kau ingat, papa nak dengar? Entah apa yang kau bagi makan dekat keluarga aku sampai semua orang dengar cakap kau." Mien ketawa sinis sebelum menyambung. "Jangan ingat aku akan jadi bodoh sekali lagi untuk dengar cakap kau."
Aneh.
Ada sesuatu yang tidak kena pada ayat Mien itu.
Apa maksud Mien 'sekali lagi' itu?
YOU ARE READING
MIEN ESMERAY
RomanceONGOING || SLOW UPDATE Mawar Esmeray. Dia hilang ingatan. Dia tak ingat apa-apa tentang dirinya. Dia mulakan hidup sebagai orang baru tanpa mengetahui hidupnya yang dulu. Dia terpaksa tinggal di rumah kawan ayahnya selama sebulan. Hidupnya berubah...