Special - 0

6.5K 340 23
                                        

6 bulan selepas kejadian Teratak Kejora.

      "Aku minta maaf, Ya Allah. Ampunkan dosa syirik yang aku lakukan padamu. Aku bertaubat. Dengan sebenar-benarnya taubat."

Entah buat kali ke berapa ungkapan itu meluncur dari bibir Niyaz. Khafi sendiri lelah menghitung. Jari-jarinya pada awal mengira seiring dengan doa yang Niyaz ucapkan tidak lagi bergerak. Kakinya tegak berdiri di samping Niyaz sudah lenguh dan mahu menyerah. Tangan kanan terulur memegang sekaki payung semakin kematian rasa.

"Aku hamba yang hina. Aku hamba yang bodoh. Aku terlalu leka dengan nikmat dunia sampai aku berpaling dari rahmatmu."

Khafi meneguk liur, mengusir rasa dahaga. Hampir sejam dia menjadi benteng bagi melindungi Niyaz dari kepanasan dan dilanggar orang. Dalam keadaan yang sedikit berbahang dan agak sesak Khafi setia memayung sang adik yang berteleku di sampingnya. Menanti Niyaz mengadu-domba pada Sang Pencipta tanpa sebarang keluhan.

"Bukannya matikan aku dalam kesyirikan dan dalam keadaan aku tak sempat bertaubat tapi Engkau beri aku peluang untuk aku terus bernyawa dan kembali padamu."

Niyaz masih di posisi duduk di antara dua sujud. Masih mengekalkan kedudukan selepas menunaikan solat sunat taubat tadi. Kedua tangannya terbuka luas menadah ke dada langit. Kepalanya lurus menghala ke hadapan. Matanya yang membengkak itu terus menerus menatap Kaabah yang tersegam indah tak  jauh dari kedudukan mereka.

"Ya Allah, terima kasih bagi aku peluang untuk datang ke rumahmu. Sesungguhnya aku rasa tak layak. Tak layak datang sini setelah apa yang aku buat padamu dan keluargaku. Sesungguhnya aku malu."

Tangisan bersilang-seli bersama doa. Terdengar begitu pilu bagi Khafi. Titisan demi titisan air mata terus mengalir membasahi wajah dan kain irham yang dikenakan menyatakan betapa dalamnya kesedihan yang Niyaz tanggung.

"Terima kasih bagi peluang kedua buat aku di dunia ni."

Baris doa itu Niyaz baca sekali lagi. Besi payung di tangan Khafi semakin erat digenggam. Sudah entah kali ke berapa ayat itu diulang dalam masa sejam, tapi setiap kali tiba di bait ini, Khafi tetap tersentuh.

"Terima kasih bagi peluang merasa jadi anak mak dan abah lagi. Bagi aku peluang berbakti pada mereka berdua."

Dada Khafi kian terasa sempit dan sesak. Sakitnya mencucuk-cucuk hingga dia hampir menitiskan air mata.

"Terima kasih bagi aku peluang jadi adik buat along dan angah lagi. Bagi aku peluang untuk balas jasa depa yang selalu lindung aku."

Khafi lelah sendiri. Lelah berpura-pura kuat di depan manusia sekeliling. Lelah memikul beban yang tak pernah dia kongsi dengan sesiapa. Dalam tampang keras yang selalu menjadi perisai, ada sisi lembut yang disimpan rapi. Sisi yang dia jarang biarkan orang lain lihat kian tersingkap sedikit demi sedikit.

"Ya Allah cekalkan hati aku agar aku tak melakukan kemungkaran lagi. Aku tak mau kecewakan mereka yang sayang aku. Aku tak mau usaha mereka bimbing aku berakhir sia-sia. Tuntun aku ke jalan lurus dan benar agar aku boleh jadi anak yang disenangi mak dan abah. Adik yang baik buat along dan angah. Sesungguhnya depa banyak berkorban untuk kesembuhan aku terutama sekali... angah."

Khafi tunduk, membiarkan dirinya hancur dalam emosi yang tak tertahan. Bendungan air mata yang lama dipertahankan akhirnya pecah, mengalir deras, tak mampu lagi disekat. Kedua bahunya bergetar kuat, payung yang dipegangnya turut bergoncang sebelum terlepas begitu sahaja.

"A... dik... pe... nat."

Khafi jatuh melutut. Kepalanya berdentum mengenai permukaan keras. Dahinya tercium lantai. Tidak begitu kuat tapi terasa sakit nyerinya.

C| MANUSKRIPTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang