Andai waktu bisa diputarkan, Alanna mahu kembali ke malam kelam yang telah meragut separuh jiwanya. Andai ada yang bertanya untuk apa dia mengulang waktu, dia mahu menukarkan kalimat tajam yang telah melukakan hati Niyaz Khalif kepada kata-kata berbunga buat menghargai pengorbanan lelaki itu. Mengakui perasaan yang sudah berkembang dari hari ke hari setelah mereka berbual di halaman rumah Daiyan.
Hati ini sudah terjatuh pada lelaki si lesung pipit.
Hati ini sudah mempunyai rasa pada Jiwa si perantara.
Hati ini ingin mengenali Khalif yang begitu berlapis.
Bukan lagi sekadar rakan seperjuangan yang sedang memperjuangkan kepentingan sendiri, bukan sekadar media untuknya mencungkil cerita sebenar Teratak Kejora tetapi mahu menjadi bidadari pujaan Niyaz Khalif.
Namun itu semua hanya angan-angan yang tidak boleh dia gapai lagi. Terlalu sukar dan mungkin tiada lagi peluang untuknya. Kerana dia sendiri yang menghancurkan peluang indah itu.
Kerana dia, seorang ibu kehilangan anak tersayang. Kerana dia, dua orang abang kehilangan adik yang diasuh penuh kasih. Kerana dia seorang rakan kehilangan teman seperjuangan. Sedangkan dia? Si pelaku, masih lagi bernyawa di sela-sela linangan kepiluan mereka.
Alanna menarik udara dingin yang berlegar di sekitarnya, memenuhi paru-paru yang sendat sejak seminggu lalu. Usai mengumpul sisa nyawa yang tidak lagi bermakna, dia mengalih pandang dari lantai bercorak ke pintu masuk ruangan ICU yang tertutup rapat.
Lagi-lagi dia berakhir di sini. Termenung seperti mereka yang lain tanpa berani melepasi pintu automatik itu. Hati ini meronta, mahu menjenguk Niyaz walau sesaat tetapi kakinya tidak cukup kuat.
"Saya balik dulu," ujar Alanna sekadar memadai pendengarannya. Beg tangan disangkutkan ke bahu dan dengan langkah perlahan dia meninggalkan ruangan dingin itu dan akan kembali pada esok hari.
"Alanna."
Kakinya ingin menuju ke lif mendadak membeku. Tali beg digenggam erat. Suara sang pemanggil tepat di belakang.
"Alanna kan tu angah?"
Ah... kali ini dia kurang beruntung. Lambat-lambat dia memusingkan tubuh ke belakang dan menghadap Nuraini. Pantas dia menyelami tangan Nuraini sebelum mencipta jarak di antara mereka. "Ya mak cik, mak cik baru sampai ke?'
"Haa baru ja sampai. Alanna nak balik dah ka?" Ramah wanita awal 50-an itu menegurnya.
Alanna melarikan matanya dari muka Nuraini, tidak sanggup menatap lama-lama. Wajah itu mengingatkannya pada Niyaz. Mereka hampir serupa.
"Dah. Saya dah nak balik dah."
Nuraini menapak selangkah. Beg rotan dalam pegangan diserahkan kepada Khafi di sisi. Alanna kurang selesa, sebolehnya dia mahu pergi dari sini secepat mungkin. Bukan tidak menyukai kehadiran Nuraini tetapi dia tidak sanggup menjadi tumpuan Khafi. Berbanding Nuraini yang memandang seperti seorang ibu, Khafi sedang mengajaknya berperang. Tatapan tajam itu jika boleh melukakan, sudah menghentikan degupan jantungnya.
Jelas Khafi menyimpan dendam besar. Membencinya tanpa batas.
Nuraini menepuk lengan anaknya, "Mak nak sembang dengan Alanna sat, hang pi la sana dulu."
"Hmm," sahut Khafi ringkas. Tatapan pada Alanna putus lalu dia meninggalkan mereka begitu saja.
Dada yang tadinya sesak sedikit lapang. Sentuhan lembut di punggungnya pula menghadirkan ketenangan dan mengusir gusar. Nuraini menyentuh tangan dinginnya, menggenggam kemas. "Jom ikut mak pi taman. Mak dah lama nak sembang dengan Alanna."
Alanna seperti kanak-kanak kecil yang patuh. Mengikuti setiap langkah kecil Nuraini. Sampai saja di taman, mereka memilih tempat duduk yang agak tersorok dari orang ramai. Saling duduk sebelah menyebelah dan menghadap sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.
ANDA SEDANG MEMBACA
C| MANUSKRIP
RomanceUnedited version (may contain typos, repetition, and messy structure 𝐓𝐮𝐧 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬: 𝐓𝐮𝐧 𝐍𝐢𝐲𝐚𝐳 𝐊𝐡𝐚𝐥𝐢𝐟 [PARANORMAL + SLIGHT ROMANCE] "Ketakutan akan membunuhmu. Pertahankan jiwa dan ragamu wahai manusia. Jangan bagi celah untuk aku...
