Sebaik sahaja turun daripada kapal terbang, Juwita melihat skrin telefon bimbitnya untuk melihat nama hotel yang sudah ditempahnya tempoh hari. Keadaan di Kuching sewaktu kapal terbang mendarat sudah lewat malam. Nasib baik memang ada perkhidmatan teksi 24 jam di sini. Walaupun dia bukannya berani sangat ingin naik teksi seorang diri malam-malam begini, tetapi tidaklah sampai dia ingin menyusahkan Hafeezah yang sekarang ini mungkin sedang sibuk menguruskan hal perkahwinannya. Sudahlah esok akad nikahnya akan berlangsung.
Sekali lagi Juwita memeriksa nama hotel yang sudah ditempahnya. Hilton Hotel. Hotel ini ditempah pun atas cadangan Khal yang pernah menetap di hotel ini ketika dia outstation dulu. Juwita tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Sarawak sebelum ini dan inilah kali pertama dia menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.
Matanya melilau-lilau untuk mencari di bahagian manakah terletaknya perkhidmatan teksi. Ke hulu ke hilir dia berjalan seorang diri dengan bagasinya.
"Lia nak pergi mana ni?"
Terkejut Juwita apabila suara Haris menyapanya dari belakang secara tiba-tiba. Kalau ada sakit jantung ni dah lama aku innalillah tau! Juwita menjeling ke arah Haris yang kini sudah berdiri di sebelahnya. Tanpa sedar matanya melihat lelaki itu atas bawah. Haris masih lagi sama seperti dulu, tidak berubah. Lelaki itu kelihatan segak dan kemas memakai seluar jeans biru gelap dan t-shirt polo merah. Cuma wajahnya sahaja kelihatan seperti penat. Mesti selalu on-call ni...
"Lia..." panggil Haris lagi apabila Juwita tidak menjawab. "Nak pergi mana sebenarnya ni?" Sejak dari tadi lagi dia lihat Juwita mundar-mandir di tempat yang sama sahaja tanpa arah tujuan.
"Nak cari teksi..." jawab Juwita perlahan. Orang berbudi kita berbahasa, kan...
"Teksi kat belah sana." Haris menunjuk ke satu arah. "Where do you want to go actually?"
"Hotel," balas Juwita sepatah.
"Hotel mana?" Haris bertanya selamba.
Juwita mengunci mulutnya. Tahu sangat Haris sebenarnya cuba mengorek rahsia. Takkan dia hendak beritahu dimana dia akan tinggal selama 3 hari dia berada di sini!
Haris hanya senyum apabila Juwita diam tidak menjawab. "Naik teksi dengan abang jelah... dah malam ni, takkan Lia nak naik teksi sorang-sorang. Nanti abang suruh driver tu hantar Lia dulu, baru hantar abang. Okey?" Haris memberi cadangan.
"Tak apalah, saya naik sendiri."
"Lia, kan dah malam ni..." Haris cuba memujuk lagi.
"Siang ke, malam ke, so what? Please-lah Haris, don't act like an angel! Jangan berpura-pura macam tak ada apa-apa yang pernah berlaku pada kita sebelum ni!" Juwita naik angin tiba-tiba. Panas pula hatinya melihat Haris sejak dari dalam kapal terbang lagi berkelakuan biasa sahaja seperti tiada apa-apa pernah berlaku dulu.
"I'm sorry," ucap Haris tiba-tiba. Dia memandang tepat ke dalam mata Juwita.
Juwita merengus perlahan apabila mendengar ungkapan maaf daripada lelaki itu. Asyik maaf, maaf, maaf! Dengan hati yang sebal Juwita terus melangkah pergi meninggalkan Haris dan terus ke arah perhentian teksi.
"Hotel Hilton, pakcik..." ujar Juwita kepada pemandu teksi itu sebaik sahaja dia masuk ke tempat penumpang di bahagian belakang.
Pakcik yang memandu teksi itu mengangguk lalu keretanya mula bergerak meninggalkan perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching itu. Juwita bersandar pada kusyen kereta dan mengeluh berat. Awan yang hitam kelam dipandang melalui tingkap kereta. Sekali lagi dia mengeluh lemah.
Ya Allah... kenapa aku perlu berjumpa semula dengan dia? Kenapa aku perlu bertemu semula dengan dia apabila bayangannya sudah hampir hilang dari fikiran aku? Ya Allah... jangan Kau hadirkan semula perasaan itu di dalam hatiku. Aku tidak mahu dibayangi rasa itu semula, Ya Allah...
YOU ARE READING
Tanya Sama Hati ☑
RomanceCikgu Juwita Natalia dan Doktor Haris Redzuan. Berjumpa buat kali pertama bukan dalam keadaan yang ala-ala seperti cerita Khabi Kushi Khabi Gham. Malah ketika kali pertama mereka bersua mata pun tiada istilah dari mata turun ke hati. Apatah lagi kal...