Aku sudah hilang punca dan hanya berdiri di tepi dinding dengan esakan. Air mata ku seka dengan kasar. Hidung yang berair aku hanya bersihkan silih berganti dengan lengan baju cardigan coklat dan tudung bawal maroon yang aku pakai. Aku sedar orang sekeliling mula memandang ke arahku, tapi saat ini, aku sudah tidak pedulikan semua itu.
Fokusku cuma satu. Aku perlu pulang dengan kadar segera!
Tapi masalah utama aku, tiket bas untuk pulang pada waktu paling awal untuk hari ini sudah habis. Untuk naik kapal terbang, aku tak mampu.
Aku akhirnya duduk di atas lantai sambil memeluk beg galas belakang. Apa yang perlu aku buat sekarang? Rasa ini buat aku buntu dan sukar untuk aku berfikir.
"Abah, Nina nak tengok wajah abah buat kali terakhir..." ucapku sendiri sebelum aku menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangan. Menyebut ayat itu menyebabkan air mataku menjadi semakin murah. Beratnya dada ni. Memikirkan aku tidak mampu melihat senyuman abah lagi.
Allah, bantulah aku... kuatkanlah aku.
Setelah beberapa minit aku berkeadaan begitu, duduk dalam dunia sendiri... mencari sisa-sisa kekuatan sebelum aku bangun, menarik nafas. Air mata aku lap dengan hujung cardigan. Aku berdehem beberapa kali sebelum ke kaunter tiket buat kali yang ke tiga. Aku kembali beratur.
"Kak, betul ke takde langsung tiket ke Penang sekarang ni?" sekali lagi aku menyoal soalan yang sudah sedia maklum aku tahu jawapannya sejak 20 minit lepas. Namun aku masih tidak mampu untuk menerima hakikat. Aku perlu cuba lagi.
"Akak mintak maaf sangat dik... tiket yang ada cuma pukul 12 suku..."
Aku meraup wajah dengan kedua-dua belah tangan. Sekarang pukul 8 setengah pagi. Takkanlah aku nak tunggu? Apa pilihan yang aku ada? Tapi kalau aku ambil pukul 12 tu mesti aku tak sempat untuk menatap abah untuk kali terakhir... Ya Allah...
"Akak mintak maaf dik... adik nak ke tiket pukul 12 suku ni? Seat tak banyak ni adik..." soal kakak itu apabila aku hanya mendiamkan diri dari tadi.
Belum sempat aku mengangguk seorang lelaki yang berdiri di belakangku menghulurkan tiketnya pada kakak di kaunter dan satu diberikan kepada aku.
"Saya beli tiket two way masa nak datang KL haritu. Tapi saya tak tau nak tunggu di gate mana..." ucapnya pada kakak di kaunter. Aku masih tercengang. Aku memandang tiket tertera nama syarikat bas ekspres di tangannya.
"Adik kena tukar tiket dulu. Bagi tiket tu, dengan IC sekali... di TBS semua tiket dah disamakan..." kakak itu tersenyum ke arahku sambil mengambil tiket bas yang berada di hadapanku.
"Adik pun bagi IC adik ye..."
Kad pengenalan yang sudah sedia ada di dalam poket aku keluarkan dan hulurkan kepada kakak di kaunter. Urusan lelaki itu selesai terlebih dahulu, dan lelaki itu pergi terus ke Gate 1. Aku mengekori dari belakang. Aku perlu mencari lelaki itu dan ucapkan terima kasih kepadanya.
Usai menuruni eskolator, aku melilau memandang sekeliling di kawasan Gate 1. Setiap kerusi aku teliti. Tiada langsung kelibat dia. Anak mata kemudian terpandang di bahagian tandas. Aku hanya menebak yang dia berkemungkinan berada di situ. Aku perkemaskan beg galas belakang dan duduk di salah satu kerusi berdekatan Gate 1. Telefon bimbit aku capai dan nombor kakakku aku dail. Namun tidak dijawab. Aku cuba sekali lagi, namun masih tidak berjawab.
Nafas aku hela perlahan. Aku mati akal dan hanya merenung skrin telefon bimbit. Tak lama selepas itu, nama Nazira tertera di dada skrin. Laju saja aku menjawab.
"Assalamulaikum kak, Nina dah ada di stesen bas, tolong bagitau Mak Cik, tunggu Nina... Nina nak tengok jenazah abah..."
"Waalaikumussalam. Jenazah kebumi selepas Asar, balik cepat sikit..."
"InshaAllah kak... Nina cuba..."
Tatkala terkenangkan pesanan abah sebelum aku balik ke universiti dua minggu lepas, aku menangis semahu-mahunya. Tidak menyangka bahawa itu merupakan kali terakhir aku mendengar suaranya. Kali terakhir mendengar dia ketawa dan gurauannya.
Seminggu kemudian abah dikejarkan ke hospital. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana risaunya aku di sini. Aku mahu pulang tapi menurut Mak Cik Sarah, abah cuma demam biasa dan mengalami tekanan darah tinggi. Ikut hati, aku rasa ralat sangat sebab aku tidak pulang. Tapi apa boleh buat, benda dah jadi.
Tak lama selepas itu talian dimatikan. Beg galas aku letakkan di atas riba, tuala kecil yang berada di poket hadapan aku ambil. Wajah aku lap. Sejak dari tadi aku hanya lap air mata dan hingus dengan lengan cardigan dan tudung saja. Sudah tidak peduli dengan pandangan orang.
Kemudian baru aku sedar, lelaki tadi sudah duduk di hadapanku. Tuala kecil aku letak di sebelah dan dompet aku capai.
"Encik..."
Lelaki itu berpaling. Terangkat keningnya memandang aku sebelum dia tersenyum sehingga menampakkan giginya. Manis.
"Terima kasih, sebab bagi saya tiket ni. Berapa harga tiket ni ye?" soalku sambil mengeluarkan sekeping not 50.
"Takpe... awak bernasib baik sebab saya ada tiket lebih. Tuan punya tiket tu tak dapat balik sekali, jadi apa salahnya saya tolong orang yang dalam kesusahan dari biarkan tiket tu tak digunakan. Hari ni hari awak, mungkin esok hari saya... saya bagi tiket tu ikhlas..."
Terkedu aku dibuatnya usai ayat lelaki itu menemui noktah. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang sangat baik hati dan sudi membantu di saat genting begini.
"Simpan la duit tu..." sekali lagi lelaki itu menghadiahkan senyuman kepada aku sebelum berpaling ke hadapan memandang gajetnya.
Selepas itu aku hanya mendiamkan diri, menunggu dalam gelisah yang semakin lama semakin menguasai. Aku harap tak ada orang lain yang akan mengalami nasib seperti aku. Peritnya hanya Allah yang tahu. Sampaikan rasa hendak pitam, namun walaubagaimanapun aku perlu kuatkan diri.
Tak lama kemudian bas muncul. Sedikit lega walaupun gementar. Harap-harap jalan raya tidak sesak hari ini. Mengenangkan sekarang musim cuti sekolah, aku jadi risau. Ya Allah...
Abah, tunggu Nina balik ye abah...
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...