"DIORANG dah putus tunang empat hari lepas, tapi saya tau sehari selepas tu..."
Tak terkunyah ban bilis di dalam mulut sebaik sahaja mendengar berita daripada Wafiy tentang pertunangan Siddiq itu. Aku yakin adegan yang aku nampak seminggu lalu memang punca kepada semua ini.
Namun, suara Wafiy kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya. Sebenarnya sudah tiga hari Wafiy hanya menelefon aku sehari sekali dan durasinya hanya lima minit. Selalunya Wafiy pasti akan menelefon aku tiga kali, dengan durasinya lebih dari setengah jam. Itupun belum campur dengan Whatsapp. Tapi sepanjang tiga hari ini, WhatsApp pun dia jarang.
Sudahlah sekarang aku sudah berhenti kerja. Jadi bosan ya amat bila dia tak berhubung dengan aku. Jadi kerja aku sekarang... tidur, dan buat hati kering je bila kena marah. Namun kerja rumah tetap aku yang buat.
Mungkin semua yang berlaku ni ada kaitan dengan berita Siddiq putus tunang ataupun dia benar-benar sibuk. Jadi, aku tidak bertanya dengan lebih lanjut kerana aku tidak mahu soalanku menimbulkan rasa apa-apa di hati dia. Aku cuba untuk memahami dia sepertimana dia memahami aku.
"Nina, kalau saya nak jumpa awak malam ni boleh?"
Permintaan Wafiy buat kening aku terangkat namun aku gembira sebenarnya. Sudah tiga hari kami tak berjumpa. Rindu sebenarnya, tapi aku malu untuk meluahkan disamping tak mahu dia rasa terkongkong dan fikir aku mengada-ngada.
"Nak jumpa?" aku menjeling jam di dinding. Pukul tujuh setengah malam. "Boleh, tapi nak jumpa..."
"Saya pergi ambik awak. Pukul lapan saya sampai, boleh?" cantas Wafiy.
"Boleh, tapi kita nak ke mana?"
"Saya nak bawak awak ke satu tempat."
Kening aku mula bertaut.
Selesai memberi salam, aku segera menunaikan solat Maghrib dan bersiap dengan hanya memakai t-shirt, jean dan mengenakan tudung bawal. Aku menunggu di dalam bilik sambil memegang telefon bimbit yang baru dikeluarkan dari beg silang yang aku akan bawa nanti. Setelah mendapat WhatsApp dari Wafiy, barulah aku keluar. Nafas dihela perlahan ketika aku melihat Nazira berada di ruang tamu.
"Kau nak ke mana ni malam-malam ni?"
"Keluar," aku langsung tak pandang wajahnya. Kaki terus melangkah ke muka pintu.
"Ewah, bercakap tak pandang aku pun! Kau jangan nak berlagak sangat, ek!"
"Bila masa pulak aku berlagak? Yang kau nak hangin tiba-tiba ni kenapa? Aku buat salah apa pada kau yang kau dengki sangat dengan aku ni? Kau cakap sekarang."
"Kau jangan nak berlagak sangat!"
Dah kenapa dia ni ulang ayat yang sama? Ada masalah pendengaran ke macam mana ni?
"Kalau aku dah benci, semua benda yang kau buat aku tetap benci."
"Lantak kau lah. Kau hidupkah dengan rasa benci kau tu sampai bila-bila. Tapi satu kau lupa, rasa tu takkan buat kau tenang selamanya."
Aku terus keluar dan menunggu ketibaan Wafiy di buaian besi di hadapan rumah.
Sesak nafas aku dibuatnya kerana Nazira. Dada aku tepuk sekadar mahu mengurangkan sikit rasa itu. Memanglah aku nampak tenang ketika sedang bertikam lidah tapi hakikatnya aku akan rasa begini akhirnya.
Sedang aku asyik melayan rasa, kelihatan samar-samar cahaya lampu kereta. Aku bingkas bangun, senyuman tak lekang di bibir.
Aku melangkah perlahan sambil memandang Wafiy keluar dari perut kereta. Senyumannya buat aku tenang. Dia melangkah ke pintu bahagian penumpang, dan pintu dibukakan untuk aku.
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...