Aku dah terlibat dalam permasalahan dua beradik ni. Sekarang aku sudah terperangkap, tak ada jalan keluar lagi. Malah aku langsung tak berguna untuk membantu Siddiq. Makin menyusahkan dia lagi, adalah! Dia kena bertanggungjawab ke atas aku pulak disebabkan gambar-gambar tu.
"Saya... saya mintak maaf Siddiq."
Siddiq langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Jadi, aku hanya mampu mendiamkan diri selepas itu untuk memberi ruang kepadanya untuk bertenang. Aku hanya mampu merenungnya tanpa bersuara.
Selepas beberapa minit keadaannya begitu, Siddiq mengangkat kepala. Dia meraup wajah sebelum bangun dan membetulkan bajunya. "Saya hantar awak balik."
Suara seraknya menerjah gegendang telinga. Siddiq langsung tidak memandang aku. Aku terasa sebenarnya. Dia dah bencikan aku ke?
Pelahan-lahan aku bangun, mengutip anak tudung, beg silang dan melangkah ke arahnya. Hadiah yang diberi Wafiy aku tinggalkan. Itu bukan hadiah sebenarnya, tapi racun! Racun yang membunuh aku dan Siddiq.
Usai kad kunci ditarik, aku mengekori saja langkah Siddiq. Apabila dia menuju ke bahagian receptionist, aku menunggu di muka pintu hotel.
"Tunggu sini, saya pergi ambik kereta."
Perlahan aku mengangguk. Aku termenung lama sambil memeluk tubuh. Apa aku nak buat sekarang ni? Segala rancangan yang aku angan-angankan, yang aku impi selama ini hancur berkecai dengan sekelip mata.
Bukan itu saja. Pasti Siddiq juga mempunyai rancangannya sendiri. Masa depan yang dia impikan hancur disebabkan Wafiy.
Jadi selama ini Siddiq memang risau kalau-kalau Wafiy apa-apakan aku sepertimana perempuan lain. Patutlah sikap Siddiq lain sejak pertama kali bertemu. Dia cuba melindungi aku dalam diam.
Wafiy pula dengan berjaya mengaburi pandangan mata kami semua dengan lakonan kononnya dia sudah berubah. Aku juga telah jatuh cinta dengan kepura-puraannya. Setiap masa mulut memuji kebaikan dan ketenangan Wafiy yang hakikatnya semua palsu semata-mata. Janji-janjinya... dusta.
Rupanya itu yang ibu maksudkan dulu. Berubahlah sangat. Makin kejam dan bertambah kejam lagi adalah!
Sekarang ini, aku dan Siddiq tidak punyai pilihan lain selain... kahwin. Takkanlah begini kisah hidup aku. Aku mahu berkahwin atas dasar cinta dan bukan dipaksa!
"Luthfia..."
Lamunan aku lari. Aku pandang Siddiq yang sedang berdiri di hadapan aku. Mata kami bertemu. Mengalir air mata aku ketika itu. Renungan matanya juga redup memandang aku. Tak lama sebelum Siddiq melarikan pandangan. Jantung aku mula berdetak kencang. Rasa yang setelah sekian lama menghilang kini muncul lagi.
"Masuk dalam kereta. Dah lewat ni."
Ketika berada di dalam kereta, aku melihat jam sudah menunjukkan pukul dua setengah pagi.
Ya Allah, habislah aku, apa yang aku harus jawab nanti?
Kepala aku tunduk dan merenung kosong ke arah tangan. Kami berdua langsung tidak bersuara, malah radio pun tidak dihidupkan sehinggalah berada di atas jambatan.
"Saya mintak maaf... sebab berkasar dengan awak tadi." Tiba-tiba Siddiq bersuara.
Apalah nak dibandingkan itu dengan apa yang Wafiy telah buat pada kita, Siddiq? Aku langsung tidak marah akan hal itu, kerana aku tahu dia dalam keadaan panik.
"Apa... apa kita nak... buat Siddiq?"
Soalan yang berlegar-legar di dalam kepala sejak dari tadi akhirnya terluah juga. Kepala menoleh memandang Siddiq. Aku kena buat keputusan dan aku perlu berbincang dengan Siddiq, sekarang.
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...