Setahun kemudian...
'Itik' yang dikayuh oleh beberapa orang manusia di tasik aku renung sekilas. Nafas dihela perlahan dan aku mula termenung. Dengan sedaya upaya aku cuba menahan air mata yang galak mahu keluar. Dada yang berat, aku cuba ringankan dengan menarik nafas sedalam-dalamnya berkali-kali.
Hari ini, segala benda yang aku lakukan, tetap ada celanya. Memandangkan aku sudah habis belajar jadi aku mengambil keputusan untuk bekerja di kedai buku yang boleh dikatakan berdekatan dengan kawasan rumah sementara menunggu tawaran untuk bekerja tetap. Untuk orang dapat pointer tinggi pun susah untuk mencari kerja tetap, apatah lagi orang yang dapat pointer sedang-sedang macam aku. Aku akui aku ni bukanlah pandai mana pun tapi syukurlah yang aku lulus.
Memang rezeki orang lain-lain, mungkin rezeki aku datang dengan cara lain. InshaAllah... aku hanya perlu percaya dan bergantung kepada Allah. Pemberi rezeki. Aku perlu usaha... doa... usaha lagi... lepas tu tawakal.
Mujurlah hari ini aku bercuti, itupun MC sebab deman teruk kelmarin semasa kerja. Alhamdulillah hari ni demam dah kebah. Walaupun bercuti dan baru sembuh dari demam, aku tetap tidak dapat berehat dalam erti kata yang sebenarnya. Ada saja kerja rumah yang harus aku buat. Memanglah Mak Cik Sarah minta tolong dengan cara baik, tapi... takkanlah dia tak ingat... hari ini merupakan hari yang sedih bagi aku.
Setahun lepas, hari ini merupakan hari aku kehilangan abah. Walaupun masih terasa kehilangan itu seakan-akan baru terjadi semalam, tapi aku bersyukur sempat bertemu dengan abah walaupun sebentar, menatap dan mencium wajah abah buat kali terakhir.
Ini semua jasa lelaki itu. Lelaki yang aku tidak tahu akan namanya. Selama ini aku hanya mengingati wajahnya, paling utama... senyumannya yang lebar menampakkan giginya itu, manis sangat. Namun dek peredaran masa, bayangan wajah lelaki itu semakin lama semakin pudar. Jauh di sudut hati yang paling dalam, terbit rasa di dalam hati, aku berharap dapat berjumpa dengan dia lagi.
Kepala yang berlapik tudung aku garu bersama senyuman nipis. Lama-kelamaan senyumanku kian pudar.
Setelah aku siapkan semua kerja, aku menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum menziarahi kubur abah.
Menghadiahkan abah sesuatu yang mampu aku berikan untuk dia di sana. Kemudian, aku ke sini, sebab aku tidak mahu pulang ke rumah. Sepanjang aku tinggal di rumah setelah habis belajar, aku langsung tak rasa bahagia. Mak Cik Sarah dan Nazira sering saja memberi arahan itu ini kepada aku. Walaupun secara halus tapi aku tetap rasa tertekan. Itu belum dicampur dengan perangai Nazrin. Aku harus bersabar dengan karenah mereka dan Alhamdulillah tahap kesabaran aku sehingga kini, masih ada walaupun kian nipis saban hari.
Telinga mendengar bunyi yang terhasil dari buaian sejak dari tadi bercampur dengan gelak tawa dari kanak-kanak menggamit tumpuanku. Sesekali aku berpaling, tersenyum senang memandang kanak-kanak riang bergembira bersama ibubapa mereka di taman bermainan di Vision Park.
Ada juga beberapa manusia sedang berjogging. Ada jugak yang membawa binatang kesayangan iaitu kucing dan ada juga beberapa pasangan pengantin yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Musim cuti sekolah boleh dikatakan musim berkahwin juga. Gerai yang menjual perbagai minuman dan makanan ringan juga tidak terkecuali.
Selalunya aku akan termenung di tepi pantai dan merenung bahagian pulau saja. Namun hari ini, aku tukar selera. Kawasan Vision Park Bertam, bersebelahan dengan Masjid Abdullah Fahim merupakan tarikan baru di sini sejak beberapa tahun lepas. Pembangunan di kawasan berdekatan juga saban hari semakin berkembang pesat dengan munculnya tempat membeli belah dan kawasan perumahan.
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...