SEPANJANG hari aku hanya mendiamkan diri. Semua kerja aku buat serba tak kena. Sampai boleh tersalah memberi duit baki kepada pelanggan ketika aku menjaga kaunter tadi. Mujur ada pelanggan yang menegur aku bila aku terlebih memberikan wang baki. Tak pasal-pasal aku kena marah.
Sekarang ni aku ditugaskan membuat perkata seperti biasa. Meletakkan sticker diskaun pada buku-buku yang terpilih.
Entah bila, Zarif datang.
"Kau ada masalah ke, Nina?"
Geleng.
"Sahlah kau ada masalah. Tak pernah aku tengok kau diam macam ni. Selalunya mulut kau pot pet memanjang, paling koman pun kau senyum. Bukan macam sekarang ni, masam je. Dah tu, kau buat kerja slow gila."
Kata-kata Zarif buat aku hentikan semua kerja ketika itu. Aku termenung lagi dan mula fikirkan hal dua hari lepas. Aku cuba elak untuk fikir semua tu. Semakin aku elak, makin teringat pulak. Sesak dada aku dibuatnya.
Kau sukakan Siddiq sebenarnya, sebab itulah kau rasa kecewa begini bila kau tahu dia bakal berkahwin.
Ayat itu terlintas di kepala menyebabkan aku terus terduduk di atas lantai.
"Weh, kau kenapa ni?" Zarif menjadi kalut apabila melihat keadaan aku.
"Takde apa-apa. Aku lenguh je."
Wafiy sukakan aku, tapi aku pula sukakan orang lain. Aku tak tau kenapa hati aku lebih rasa cinta pada Siddiq. Astaghfirullahalazim! Kenapa kau tamak sangat ni Hanina? Hati, kenapa kau begini? Tolonglah bagi kerjasama pada aku. Jangan seksa aku boleh tak?
Dalam keadaan sekarang, aku rasa aku patut terima saja Wafiy. Wafiy tu ikhlas nakkan aku. Dia pun baik, lemah lembut dan sering menjaga kebajikan perut aku. Ciri-ciri suami idaman memang ada sepenuhnya pada Wafiy.
Cinta boleh dipupuk, kan? Mungkin aku hanya 'crush' pada Siddiq, bukan cintakan dia seperti yang aku fikir tadi. Aku mengangguk sendiri.
"Oi, yang kau termenung ni kenapa? Dari tadi kau tenung je buku tu kenapa?"
Sergahan Zarif mengembalikan lamunan aku.
"Tak ada apa-apalah..." jawabku sambil menggeleng kepala.
Terdengar suara Zarif mengeluh. "Kau cover aku kejap eh, aku nak ke toilet jap. Tak tahan ni. Masa ni pulak la perut ni nak memulas."
Aku hanya mengangguk. Kerja yang tertangguh aku sambung kembali. Sedang aku kusyuk membuat kerja seseorang memanggil aku dari belakang. Dengan sekelip mata aku menjadi kaku.
"Luthfia."
Mata dipejam rapat. Aku boleh agak itu siapa. Dia, orang pertama yang memanggil aku dengan nama itu. Tidak tahu bagaimana harus aku bersemuka dengan Siddiq. Hakikatnya bukan salah dia, dan bukan salah aku jugak. Aku pun tak sedar bagaimana aku boleh tersuka pada dia.
Pasal perkahwinan dia tu, takkanlah dia terus nak bagitau aku yang dia sudah berpunya semasa baru kenal, kan? Masalah aku sekarang ini, aku tak boleh pandang wajahnya. Aku malu apabila mengenangkan reaksi aku pada malam itu. Entah apalah yang dia fikir.
"Luthfia... saya nak cakap dengan awak sikit, boleh tak?"
Aku berdehem sekadar untuk mengawal suara.
"Maaf. Tak nampak ke saya tengah busy ni? Jangan ganggu kerja saya," jawabku tanpa pandang wajah Siddiq dan berpura-pura sibuk.
Selepas itu tiada lagi suara Siddiq menyapa halwa telinga. Setelah hampir seminit lebih aku membuat kerja tanpa memandang kiri dan ke kanan, barulah aku mengangkat kepala. Bangun dan menarik nafas dalam-dalam. Sedikit lega kerana Siddiq sudah pergi.
Aku mengeluh berat sebelum aku menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya aku bila melihat Siddiq sedang berdiri di situ dan memandang aku. Aku terus hilang punca dan tidak tahu bagaimana reaksi yang harus aku berikan kepadanya. Mati-mati aku ingat dia dah beredar dari sini.
"Dah habis buat kerja ke? Sekarang, awak dah ada masa?"
Soalannya buat aku makin kalut. Aku menoleh ke kiri dan berpura-pura menyusun buku yang sedia tersusun di situ. Mulut masih terkunci rapat. Apabila menyedari Siddiq kini sudah berdiri di sebelah aku, aku terkaku. Air liur ditelan berat.
Siddiq mencapai satu buku yang ada di depan mata aku sekarang. The Universe Of Us karya Lang Leav. Antara buku puisi bestseller setakat yang aku tahu tapi aku tak pernah baca pun.
"Saya mintak maaf sebab tak bagitau yang saya dah bertunang. Saya tak sangka yang..." Dia berhenti seketika dan berdeham. "Saya betul-betul mintak maaf."
Lantas buku yang diambil tadi diletakkan kembali di tempat asal.
Kenapa dia mintak maaf dengan aku? Bukan salah dia pun. Aku ni yang syok sendiri. Tamak pulak tu. Hmm. Dia perasan ke riak wajah aku malam tu? Malunya!
"Saya cuma nak cakap benda tu pada awak. Saya pergi dulu."
"Ke... kejap."
Aku pusingkan badan. Mata kami bertaut beberapa saat sebelum aku memandang ke arah lain.
"Hari tu masa di Subway, sebenarnya awak takut tunang awak tau kan?" Tebak aku dengan lancar sebelum kembali memandang wajahnya.
Siddiq menggeleng. Reaksi wajahnya aneh. Dia seolah-olah mahu berkata sesuatu namun tidak terluah. Dia hanya merenung aku dengan pandangan yang sukar untuk aku ungkapkan dengan kata-kata. Pandangannya buat aku kaku.
Tanpa menjawab soalan aku, Siddiq terus beredar dari situ. Jadi apa yang boleh aku simpulkan, Siddiq memang tidak mahu tunangnya tahu dia berjumpa dengan aku.
Siddiq beriak begitu mungkin sebab lain. Hanina Luthfia, kau wanita yang tidak boleh rampas kebahagiaan wanita lain, faham?! Kalau kau buat benda macam tu, tak mustahil orang lain akan buat benda yang sama pada kau.
Wafiy nakkan kau pun dah kira cukup bagus dah. Bersyukur dengan apa yang kau ada sekarang.
***
Terima kasih sudi baca karya saya. Memandangkan Penang sekarang dalam keadaan agak membimbangkan disebabkan banjir, jadi saya update TJD dan PROMISE saja ya. Novel lain, saya akan update minggu depan.
Tapi, jangan risau... pemenang GIVEAWAY saya akan beritahu hari Isnin, seperti yang dijanjikan. <3
![](https://img.wattpad.com/cover/121102457-288-k968927.jpg)
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...