Walaupun pagi tadi suasana di rumah serba tak kena dengan pergaduhan Nazrin dan Nazira di ruang tamu, aku senyum saja dan mengamalkan konsep 'jaga tepi kain sendiri'. Sampaikan Kak Nazira pun perasan dengan perangai aku yang ceria. Dia ada bertanya tapi aku diam saja. Takkanlah aku nak beritahu dia, kan?
Bagi aku ini perasaan syok sendiri yang agak bahagia. Memandangkan rasa seperti ini tidak kekal, jadi aku layankan dan nikmati saja. Nak sedih atau nak apa pun, itu esok punya cerita. Sekarang ni aku nak gembira.
Senyuman aku kekal sampai di tempat kerja. Seperti biasa, aku ditugaskan menambah stok apa yang kurang di rak rak buku. Oleh sebab hari ini mood aku ceria saja, beberapa orang pekerja menegur aku. Tapi yang paling ketara, si Zarif. Dari tadi asyik menyoal aku saja.
"Oi, bagitaulah aku, kenapa happy semacam ni?"
"Kau pergi buat kerja kau lah Zarif... jangan kacau aku..."
"Ada orang pinang kau eh?"
Terbeliak biji mata aku tatkala mendengar tekaan Zarif. Buku yang ada ditangan terus aku campakkan ke arah dia. Cekap saja dia menyambut sambil tersenyum senget dan mengangkat kening berkali-kali.
"Pergi berambus boleh? Tak ada siapa yang nak kan aku, kau tau tak?"
"Ha'ah. Sedar diri pun kau ni. Memang takde pun..." selamba saja Zarif menjawab sebelum meninggalkan aku ternganga di situ. Kurang asam betul. Bukan nak sedapkan hati aku. Boleh pulak cakap macam tu. Hish. Tak guna punya kawan.
Aku merenung jam di tangan setelah selesai membebel. Berkerut dahi tatkala melihat jarum jam. Tak bergerak. Jari telunjuk mengetuk-ngetuk jam beberapa kali namun tak berhasil.
Nafas dihela perlahan. Aku rasa jam lima belas ringgit aku ni dah 'arwah'. Masa tengah sengkek ni lah kau nak rosak jam oi! Jam aku tanggalkan dan masukkan ke dalam poket. Buat apa pakai benda yang dah rosak.
Tak lama selepas itu, waktu dimana orang ramai akan berkunjung sudah tiba. Iyalah, hari ini hari Ahad, jadi apabila masuk jam 12 tengah hari, orang akan mula membanjiri kedai buku ini. Hujung tahun memanglah dipenuhi dengan ibubapa dan anak-anak yang datang untuk membeli peralatan sekolah.
Aku menggosok pergelangan tangan kiri, rasa tidak selesa apabila tidak memakai jam. Aku menyusun buku-buku untuk menulis nota, diari, planner yang diletakkan di atas meja. Taulah buku-buku ni ada diskaun lebih tapi nak ambil pun janganlah sampai sepahkan. Bebel aku sambil melihat kertas yang tertulis 'diskaun 25%' yang terdapat di situ. Tenang Hanina tenang. Ini kerja kau, buat saja tanpa banyak bunyi.
Selesai semua kerja tadi, aku berdiri di tempat biasa. Tempat di mana terdapatnya novel-novel Inggeris. Sambil menolong pelanggan mencari buku yang mereka inginkan, bolehlah aku 'menyelam' sekali. Aku ni bukanlah kategori minat membaca sangat, tapi bolehlah... aku selalu juga mencuri baca blurb yang ada di belakang buku, kalau ada yang menarik aku akan beli dan baca.
Tidak terkecuali juga dengan novel melayu. Tapi tak adalah setiap bulan aku beli. Satu buku pun aku mengambil masa hampir dua bulan untuk habiskan. Itu paling cepat, kalau paling lama, makan masa hampir lima bulan. Bergantung kepada ketebalan dan kalau novel Inggeris, bergantung kepada kepantasan aku memahami maksud ayat. Aku ni bukan pandai Bahasa Inggeris sangat. Apa kata orang, benda basic tu taulah.
Usai baca, buku aku letakkan kembali ke tempat asal, dan aku berjalan perlahan mencari buku baru sambil merenung dan meneliti tajuk-tajuk yang menarik.
Entah apalah nasib aku, aku terlanggar orang lagi. Berlanggar punggung pulak. Ya Allah, malunya!
Aku terus berdiri tegak. Tidak berani memandang belakang. Aduh, macam mana aku boleh tak perasan yang ada orang sedang mencari buku di rak bertentangan dengan rak dimana aku mengadap sekarang ini?!
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...