Kegembiraan aku benar-benar terganggu apabila pagi-pagi lagi Mak Cik Sarah menyuruh aku ke pasar untuk membeli bahan basah.
Bermacam-macam dia suruh aku beli. Namun, satu sen pun dia tidak berikan kepada aku. Gaji aku pula separuh aku berikan kepada dia. Yang tinggal ada aku cukup-cukup makan saja setelah aku tolak segala hutang yang perlu aku bayar. Mujur saja sekarang bukan musim hujan, kalau tidak habislah aku hendak membeli semua barang-barang laut ni, pasti harga naik melambung memandangkan susahnya para nelayan hendak ke laut.
Aku hanya mampu berdiam diri. Sudah tidak mampu bersuara lagi. Hanya menurut saja dengan patuh dan dalam hati kesabaran memang tidak utuh.
Usai membeli kepala ikan, ketam, udang, sotong, ikan kembung dan beberapa jenis sayuran, aku kembali ke motosikal. Dengan sedaya upaya aku cuba penuhkan raga hadapan dengan bahan basah yang aku beli. Sayur-sayuran pula aku letakkan di box motosikal. Bukan tak mahu letak semuanya di dalam box tapi nanti jenuh pula kalau box itu berbau.
Dengar macam sikit saja barang yang aku beli tapi semuanya itu mencecah seratus ringgit juga. Nampaknya aku perlu ikat perut lagi bulan ini. Ini saja cara yang ada.Entah apalah nasib aku, pulang-pulang saja aku disuruh siang semua barang yang aku beli tadi. Aku bersuara juga kali ini. Bukan niat melawan tapi aku hanya meluahkan. Aku bercakap dengan penuh santun pada Mak Cik Sarah.
"Mak cik, boleh minta Kak Nazira bersihkan kepala ikan tak? Yang lain Nina boleh buat... tapi kepala ikan tu, nak bersihkannya lambat sikit..."
"Kak Nazira tengah tidur. Sakit kepala. Alah, kamu buat apa salahnya? Sikit je kan?"
"Tapi..."
"Buat je. Ni, mak cik nak keluar kejap. Kamu masak jugak ye? Masak sambal udang je nanti... nasi jangan lupa pulak..." belum sempat aku membalas Mak Cik Sarah sudah keluar dari dapur. Terduduk aku dibuatnya. Air mata akhirnya gugur.
Allah... Allah... itu saja perkataan yang terbit di mulut seiring dengan tanganku mengurut dada yang kian sesak dan berat.
Kalau semalam aku gembira hari ini aku bercuti, tapi hari ini aku rasa menyesal kerana bercuti. Biarlah saja aku kerja setiap hari jika begini yang harus aku tempuh. Temujanji aku dengan Wafiy pun sudah tidak mampu mengembirakan hati lagi.
Perlahan aku bangun dan melangkah ke arah peti sejuk. Hati sedikit lega kerana cili kering yang dikisar sudah sedia ada di dalam peti sejuk. Tanpa membuang lagi masa, aku terus rendam kepala ikan ke dalam bekas plastik. Kemudian aku letakkan di tepi. Aku harus fokus kepada udang dulu kerana itu yang perlu aku masak. Nasi pula aku akan masak setelah aku selesai siang semua bahan ini memandang masih terlalu awal.
Selesai siang udang, aku memotong beberapa ketul bawang merah dan bawang putih. Aku kisarkan semuanya, lalu aku tumis. Sesudah naik bau, aku masukkan beberapa sudu cili kisar, dan aku biarkan ia mendidih setelah masukkan air. Aku masukkan sedikit gula, garam dan sos cili. Buat ala kadar sudahlah, janji ada rupa sambal tumis udang.
Aku kecilkan api dan biarkan agar cili dimasak dengan sempurna. Sementara menunggu aku menyiang sotong dan ikan yang aku beli hanya kuantiti yang sedikit. Selesai semuanya, baru aku masukkan udang ke dalam periuk. Udang selalunya dimasak tidak terlalu lama. Aku matikan api setelah aku yakin udang sudah dimasak sempurna. Kini, aku perlu bersihkan kepala ikan pula. Aku paling tak suka buat benda ni sebab aku bukannya makan kari kepala ikan. Lama juga masa diambil untuk bersihkan dua ketul kepala ikan yang sudah siap dipotong ni. Apa yang boleh aku cakap, renyah!
Terhela nafas lega apabila selesai. Hampir dua jam aku berdiri tanpa duduk untuk selesaikan semua ni. Semua bahan yang dibeli dan disiang sudah aku letakkan di dalam bekas aiskrim recycle lalu masukkan ke dalam peti sejuk. Air kosong di dalam peti sejuk aku ambil dan aku duduk berehat seketika. Jam di dinding aku kerling. Terbeliak biji mata aku apabila memandang jam sudah menunjukkan pukul sebelas setengah. Tergesa-gesa aku bangun untuk menamatkan kerja dengan memasak nasi.
YOU ARE READING
Promise
عاطفيةKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...