AKU hanya menunduk sambil menggenggam jari-jemari sendiri. Tak sanggup nak menatap pandangan mata ibu mereka yang seperti sedang meratah aku hidup-hidup. Mujur saja ayah mereka kini berada di masjid untuk menunaikan solat maghrib yang bakal masuk waktu tak lama lagi. Wafiy pula baru saja naik ke bilik untuk membersihkan diri.
Ini salah satu sebab kenapa aku rasa macam nak hangin satu badan.
Sanggup dia tinggalkan aku sorang-sorang terkapai-kapai bersama ibunya. Sekurang-kurangnya temanlah aku masa sesi soal jawab ni. Ke... dia sengaja nak bagi aku berdua-duaan dengan ibunya? Kata orang agar lebih mesra. Isy. Kamonlah, ni pertama kali kut! Sekarang ni rasa macam nak menangis pun iya jugak.
Degupan jantung bagaikan mahu melompat keluar. Anak tekak rasa berpasir sampaikan aku nak telan air liur pun susah. Wajah wanita berjubah biru gelap, bersanggul elok di kepala di hadapan aku curi pandang beberapa kali. Dari tadi wanita itu asyik saja senyum sambil memandangku.
"Wafiy ada bagitau yang dia nak bawak seseorang yang sangat istimewa jumpa ibu. Cantik orangnya. Tapi kenapa diam je ni? Ibu nak dengar suara kamu. Nama apa, sayang?"
Lembut saja suara itu menyapa halwa telinga. Perkataan 'sayang' sudah mampu buat aku dihargai. Dari gaya bicara saya aku boleh agak yang ibu mereka ini penyayang. Rasa gemuruhku beransur hilang dengan sifat lemah lembutnya. Perlahan-lahan aku mengangkat kepala, bertentang mata dan mengukir senyuman yang paling manis.
"Hanina Luthfia." Aku menjawab dengan selembut mungkin.
"Ibu panggil Nina, boleh?"
Perlahan aku mengangguk.
"Sedap betul nama kamu. Sebenarnya Wafiy dah bagitau ibu. Tapi sengaja ibu tanya, nak dengar suara. Diam je dari tadi. Janganlah malu dengan ibu,"
"Terima kasih puan."
"Tak payahlah panggil puan. Nama ibu, Rohani. Nama ayah diorang, Muhammad. Panggil ibu dan ayah aje... ye? Tak perlu puan-tuan bagai ni, okey sayang?"
"Baik... ibu." Perlahan saja aku menyebut perkataan 'ibu'. Walaupun tidak biasa dan pertama kali memanggilnya begitu, tapi aku rasa senang.
Telinga aku cepat saja menangkap tawa seseorang. Anak mata meliar memandang suasana sekeliling dan aku melihat Siddiq yang sedang makan buah epal dan cuba menahan tawa. Hesy, dia ni! Dahlah mulut penuh dengan makanan. Makan berdiri pulak tu. Yang peliknya aku ada buat lawak ke sampaikan dia nak gelak? Aku malu-malu je pun.
"Kenapa ni Siddiq?"
"Kelakar tengok orang tu acting malu, tapi hakikatnya garang macam Aslan. Sekali mengaum, meremang bulu roma."
"Aslan mana pulak ni, Sid?"
"Singa dalam The Chronicle Of Narnia tu."
Aku menggigit bibir. Dia ni! Depan-depan ibu, dia sedap-sedap mengata aku? Aku menjeling pandang ibu yang sedang menggeleng kepala.
"Jangan nak menyakat orang lain. Ni tetamu kita tau. Yang Sid duduk sini lagi tu kenapa? Balik-balik je terus pergi dapur. Tiap-tiap hari macam tu."
"Saja je nak tengok ibu masak apa harini."
"Dah, pergi mandi. Lepas tu solat maghrib. Kejap lagi nak makan." Bebel ibu.
Kini giliran aku pula menahan tawa. Aku mencuri pandang wajahnya. Mata kami bertaut. Laju aku mempamerkan senyuman puas hati, pakej dengan mengangkat kening berkali-kali.
Dia menghadiahkan aku jelingan sebelum dia berdeham dan terus melarikan pandangan, begitu juga dengan aku. Siddiq meminta diri untuk ke biliknya.
"Siddiq tu memang macam tu. Balik-balik je terus ke dapur cari makan. Soalan favourite dia, ibu masak apa hari ni? Lepas tu suka sakat orang lain jugak." Cerita ibu sambil tersenyum lebar.
YOU ARE READING
Promise
RomanceKetika berada dalam keadaan terdesak, seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dan telah menolong Hanina Luthfia. Tanpa mengetahui nama, hanya senyuman saja yang menjadi memori. Takdir menemukan mereka sekali lagi. Malah lebih mengejutkan, lelaki itu...