BAB 16

1.5K 93 21
                                    

"Eloklah bawak lelaki datang ke rumah. Nanti apa cakap orang kampung? Hah? Hari tu datang pun dah jadi buah mulut orang. Jenuh nak menjawab. Buat apa dia nak datang?"

"Dia datang nak jumpa mak cik dulu, nanti barulah dia bawak ibu dan ayah dia. Dia..."

"Kiranya nak kahwin la ni?"

"Itulah perancangannya mak cik."

"Kalau aku tak izinkan?"

Masing terngiang-ngiang kata-kata yang dihamburkan kepada aku beberapa hari lepas. Jelingan Mak Cik Sarah masih jelas terbayang di depan mata. Nampak sangat yang dia tak sukakan dengan berita yang aku khabarkan.

Telefon bimbit di tangan aku renung. Jam menunjukkan pukul tujuh setengah pagi. Wajar ke tidak aku telefon dia sekarang. Walau bagaimanapun, aku kena bagitau dia, sebab aku tak nak dia terkejut dengan layanan mereka semasa dia ada di sini nanti. Sekurang-kurangnya dia akan lebih bersedia dengan segala kemungkinan, bukan? Apa yang melegakan sedikit hati aku ni, hari ini ibu dan ayah tak datang lagi.

Nombor Wafiy aku dail. Lama aku menunggu namun talian tak dijawab. Hairan jugak kerana jarang sekali Wafiy tidak menjawab panggilan aku. Aku menunggu beberapa minit sebelum mendail lagi. Panggilan tidak bersambung.

Takkan tidur tak bangun lagi kut? Aku mencuba lagi sekali. Jika kali ni tidak berjawab jugak, aku membuat keputusan untuk menelefonnya pada pukul sembilan nanti.

Nasib baik dia angkat!

"Helo Wafiy, saya ada benda nak bagitau awak ni. Penting," sapa aku sebaik saja talian bersambung sampaikan salam pun aku tak sebut.

Diam.

"Wafiy?"

"Sorry... sorry, tadi saya mandi. Dengar telefon bunyi tapi masa tu syampu atas kepala. Awak nak bagitau apa?"

"Pasal hari ni..."

"Kenapa dengan hari ni?"

"Sebenarnya... mak tiri saya... dia cakap..." Terus aku jadi gagap. Jantung memang sudah sedia berdetak kencang. Aku tak mahu Wafiy tau apa yang mak cik katakan pada aku tapi dari sudut lain, aku rasa aku harus memberitahu Wafiy agar dia tidak rasa terkejut nanti.

"Tenang Nina, bagitau saya satu-satu, kenapa ni? Awak bagitau saja saya semua."

"Dia cakap tak manis kalau awak datang sorang-sorang." Akhirnya ayat itu keluar dari mulut aku. Aku rasa inilah ayat terbaik yang aku mampu karang.

"Oh, ye ke? Kalau macam tu, apa kata saya bawak Siddiq sekali. Boleh, kan?"

"Hah?"

Terbeliak biji mata aku apabila dia menyebut nama Siddiq. Ya Allah, aku dahlah malu dengan dia tak habis lagi ni dan sekarang Wafiy nak bawak Siddiq?!

***

Makin gementar aku dibuatnya apabila memandang jam di dinding. Hanya mampu menggigit bibir sampai lekat bekas.

Satu, sebab Wafiy baru saja memberitahu yang dia hampir sampai.

Dua, sebab aku fikir apa yang bakal disoal Mak Cik Sarah dan Nazira.

Tiga, sebab Siddiq ada sekali!

Ya Tuhan, macam mana aku nak berdepan dengan semua ini serentak?

Aku mundar-mandir di ruang tamu sendirian. Sesekali kepala menjenguk ke luar tingkap. Kemudian Mak Cik Sarah muncul dari biliknya bersama-sama Nazira.

Melihat pakaian Nazira aku mula rasa menyampah dan menyumpah di hati. Dah kenapa dia ni nak melawa melebih-lebih pulak ni? Aku ni pakai t-shirt je pun. Dia siap dengan blouse dan skirt. Mekap tak usah kata, berapa inci pun aku tak taulah. Kening tu tajam benar lukisannya. Apa motif dia ni? Takkan dia nak mengorat Wafiy kut? Siddiq? Ehh, panas pulak hati aku.

PromiseWhere stories live. Discover now