Bab 8

1.6K 84 17
                                    






Air liur ditelan berat. Belum sempat aku membuka kunci pintu rumah, pintu dikuak dari dalam. Terjegul wajah serius Mak Cik Sarah depan mata aku. Aku tertunduk, merenung kasut sambil memikirkan alasan untuk diberikan kepada Mak Cik Sarah. Kalau aku beritahu perkara sebenar pun belum tentu Mak Cik Sarah percaya.

"Pergi mana sampai sekarang baru nak balik?!"

Terenjut bahu aku apabila ditengking begitu. Sudah lama dia tidak menengking aku sebegini.

"Tayar motor pancit mak cik..." jawab aku perlahan.

"Selalunya kalau tayar motor pancit, masih balik sebelum pukul dua belas. Tapi, sekarang ni dah pukul berapa?"

Aku langsung tidak berani menatap matanya. "Mak cik, sebenarnya Nina..."

"Kau keluar dengan lelaki mana? Kau dah buat bukan-bukan ke, hah?!"

Kepala aku angkat. Dahi aku berkerut. Aku ketap gigi. Sampai hati Mak Cik Sarah fikir begitu. Laju saja aku menggeleng kepala.

"Dengar sini. Kau jangan buat malu aku, faham tak? Menjaga kau pun dah cukup membebankan, jadi jangan nak bebankan aku lagi dengan benda macam tu! Kalau kau nak buat malu aku, baik kau keluar dari rumah ni, kau faham tak?"

Kelibat Mak Cik Sarah yang melangkah untuk kembali ke biliknya aku renung tanpa berkelip. Aku sudah hilang kata-kata. Dada mula berasa sebak.

Tak, aku tak boleh menangis. Dia silap. Silap besar sebab tuduh aku tanpa usul periksa!

"Mak cik!" panggil aku sekuat hati. Kali ni, memang aku sudah hilang sabar.

"Apa?!"

"Mak cik tau tak sebenarnya mak cik yang membebankan saya." Sengaja aku senyum sinis.

Riak wajahnya langsung berubah.

"Kalau saya keluar dari rumah ni, saya tak rugi apa-apa pun mak cik. Saya langsung tak rugi. Dan saya rasa, mak cik dah boleh kut suruh Kak Nazira mula cari kerja. Cari dari awal sebab sekarang ni bukan senang nak dapat kerja. Dan tak semua orang sanggup kerja balik lewat macam saya. Contohnya dah ada dalam rumah ni," kataku serius lantas terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menutup pintu rumah. Aku terus tuju ke bilik aku tanpa menoleh sedikit pun ke belakang.

Badan aku sandarkan pada pintu setelah aku mengunci pintu. Perlahan-lahan badanku melorot ke bawah dan aku terduduk di atas lantai. Air mata aku menitis juga. Mengigil badanku menahan tangis. Aku menangis bukan kerana sedih tapi aku terlalu geram, geram!

Aku menggenggam kuat kedua-dua belah tangan. Jauh di sudut hati, aku rasa sedikit  bersalah kerana bersikap begitu, namun sekarang aku sudah tak peduli. Tudung yang berbalut di kepala aku tarik dan baling. Aku tumbuk dada sendiri berkali-kali.

Sabar.

Ada satu suara halus terngiang-ngiang di kepala.

Tapi dah banyak kali aku sabar, kali ni dia memang melampau! Aku pun ada hati. Aku pejam mata. Terbayang-bayang wajah abah. Rindunya aku pada arwah abah sekarang ini. Terngiang-ngiang akan kata-kata yang pernah dia ucapkan pada aku dulu.

"Dalam dunia ni, kita boleh jumpa orang yang baik, orang yang senyum, orang yang ketawa tapi susah untuk jumpa orang yang sabar terutama dengan orang yang pernah berbuat jahat dengannya. Selain sabar, marah adalah satu perasaan yang susah jugak kita nak kawal dan dengan marah boleh buat kita melukakan hati seseorang dengan kata-kata tanpa niat, berbuat sesuatu tanpa sedar. Sebab tu, bila marah, kita kena beristighfar. Dan diam sebenarnya lebih baik."

Kelopak mata aku buka. Air mata aku biarkan mengalir. Macam mana ni abah? Nina dah terlepas marah. Nina jahat ke abah? Nafas aku hela perlahan sambil memikirkan kemungkinan itu.

PromiseWhere stories live. Discover now