Salam.
Biar aku mulakan dengan memberitahu bahawa aku kurang pandai nak bercerita, apatah lagi nak bercerita kisah seram. Jadi, jangan buat andaian bahawa cerita yang bakal aku sampaikan ini akan membuatkan kalian tidak dapat lelap mata tidur malam ini.
Ceritanya bermukadimahkan aku pada usia 12 tahun. Pada usia tersebut, aku mula perasan yang mata aku semakin rabun bertitik-tolak dari peristiwa aku gagal untuk fokuskan penglihatan apabila sedang cuba skodeng crush aku dari jauh. Walaupun aku tahu aku rabun, tapi aku hanya mula pakai cermin mata (secara sambilan - on and off) pada 5 tahun kemudian, itupun disebabkan aku terpaksa bertungkus lumus belajar untuk SPM.
Seperti orang buta, walaupun cacat penglihatan namun deria-deria yang lain menjadi tajam.
Lima tahun bergelumang dalam arena kerabunan tanpa cermin mata menyebabkan aku mampu mengasah beberapa kemahiran istimewa: Telinga, hidung dan penglihatan periferal (peripheral vision) aku menjadi tajam. Aku mampu dengar dengan baik, aku mampu hidu dengan baik, malah aku mampu kenalpasti objek bergerak dengan baik.
Tapi aku masih rabun. Rabun membuatkan aku sangat gagal dalam cam muka.
Okey, cukup mukadimah. Terus ke isi utama.
Aku tinggal di tingkat paling bawah sebuah kuarters empat tingkat. Bilik yang aku tinggal sekarang dihuni dua orang termasuk aku. Walaupun bilik agak sempit, tapi disebabkan jadual kehidupan kami selalu berbeza, maka aku dan rakan sebilik aku (si Roommate) jarang berada di dalam bilik pada masa yang sama. Bila seorang kerja malam, seorang lagi kerja siang, dan sebaliknya.
Satu malam, aku berseorangan di dalam bilik. Aku nak bagitahu yang aku sedang membaca buku tapi kalau aku bagitahu, mesti kalian tak percaya sebab kalian tahu betapa tak suka membacanya aku ini. Maka, anggaplah aku sedang melayari internet seorang diri di dalam bilik.
Tiba-tiba, ada bunyi benda bergolek dari siling atas bilik aku. Bunyi datang dari lantai bilik atas bilik aku.
Seperti yang panjang lebar aku cerita dalam mukadimah tadi, telinga aku sangat tajam apatah lagi bawah suasana malam yang sunyi dan kurang pencemaran bunyi. Dari bunyi tersebut, aku dapat menaakul bahawa bunyi bergolek itu datang dari objek berbentuk sfera, keras dan berat dengan diameter objek tersebut lebih dari lima inci dan kurang dari sepuluh inci. Objek terbaik untuk ciri-ciri tersebut, pada aku, ialah bola boling.
"Neraka apakah yang difikirkan oleh jiran di atas bermain golek bola boling pada malam hari nan syahdu begini," aku mengomel seorang diri.
Bunyi bergolek itu tidak berhenti sekali, malah ianya bersambungan setiap selang beberapa saat sehingga hampir sepuluh minit seolah-olah cukup untuk meliputi keseluruhan lantai bilik. Golek ke utara, patah balik ke selatan, pusing ke timur, kemudian kembali ke utara, dan giliran barat, dan selatan, dan utara dan seterusnya dan seterusnya....
Bercita-cita hendak menjadi jiran yang baik, aku batalkan niat aku untuk menjerit kuat sebagai amaran supaya jiran di atas hentikan apa sahaja yang dia sedang lakukan. Bunyi golekan itu agak menjengkelkan walaupun tidaklah bingit. Pada aku, ianya lagi menjengkelkan daripada bunyi katil bergoncang malam jumaat. Namun, aku kekal positif dengan memberitahu diri sendiri bahawa jiran di atas sedang praktis balingan bola boling untuk pertandingan yang akan disertainya esok hari. Dia perlu menang kerana jika dia kalah, tanah pusaka arwah bapanya di kampung akan tergadai dek hutang piutangnya kepada lintah darat. Lagipun crush-nya, si Daiyan anak ketua kampung juga bakal datang memberi sorakan semangat untuknya. Gagal bukan pilihan, sebab itu dia perlu berlatih.
Sedang aku asyik mereka back story untuk jiran atas tersayang aku itu, bunyi golekan berhenti. Aku sangka ianya akan bersambung lagi, tapi kali ini ianya berhenti terus. Tiada sambungan.
Aku senyum. Aku lega. Aku mengantuk. Aku tutup lampu dan aku tidur.
Keesokan pagi, aku bertembung dengan si Roommate di dalam bilik. Aku bersiap untuk pagi, dia baru pulang dari kerjanya. Selaku teman sebilik yang baik, aku mulakan perbualan kosong,
"Bro, jiran atas rumah kita ni ada tournament boling ke? Malam tadi giat betul dia praktis golek-golek bola..."
Perlahan, si Roommate menoleh pandangannya ke arah aku. Mukanya jelas tertulis tidak tidur malam. Namun, dia kelihatan seperti perlu beritahu sesuatu kepada aku. Dia buka mulutnya dan bertanya,
"Kau dengar apa malam tadi?"
"Jiran atas kita golek bola boling," jawab aku.
"Atas bilik ni?"
Aku angguk.
Si Roommate terdiam seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum sambung berkata.
"Bro, atas rumah kita ni tak ada orang tinggal. Dekat empat bulan dah kosong."
Kami berdua berdiri tegak bertentang mata tanpa kata-kata. Perlahan-lahan aku berpusing badan dan meneruskan rutin bersiap aku. Si Roommate pun dengan perlahan merebahkan diri ke atas katilnya untuk menggantikan waktu tidurnya.
Tiada lagi perbualan tentang bilik rumah atas atau mana-mana tournamentboling.
Hurm..rase tikus buat tournament bowling kot..pakai kelapa ehh kepala..eh😱😱😱
YOU ARE READING
Cerita seram...2
HorrorHighest raking in horror story #134- 16/11/17 #68- 2/7 #8-7/7 dlm pengajaran #37-8/7 dlm hantu #4-30/9 dlm sejarah # 3- 30/9 dlm pengajaran Ye aku tahu copy paste dari buku pertama soo what.. xde benda lain aku nak bagi sinopsis. . Cerita benar dar...