Darah

47 2 0
                                    

Suasana begitu sunyi tatkala malam tiba, tidak seperti siangnya. Makmal Tabung Darah Hospital Besar Bandar Merah begitu meriah.Malam itu, giliran Haris dan teman sekerjanya Rafiq untuk bekhidmat menyediakan keperluan darah bagi pesakit-pesakit di Hospital Besar itu.
Beberapa kali Haris menguap, matanya berair menahan rasa mengantuk. Jam di dinding dijelingnya, waktu sudah menunjukkan pukul 1pagi. Beberapa botol sampel darah pesakit disusunnya di dalam kotak menandakan sampel itu telah pun selesai dilakukan ujian keserasian dengan darah penderma.Tidak banyak permintaan darah diterimanya malam itu.
Haris mengintai temannya, Rafiq yang duduk di kaunter. Tiada pengunjung yang bertandang di situ, Rafiq hanya duduk termangu. Sekali sekala dia membelek telefonnya untuk membuang rasa bosan. Haris melebar senyuman sendirian, masa untuknya berehat telah tiba.
“Rafiq, aku tidur jap.” Beritahu Haris sebaik sahaja selesai mengemas peralatan di atas meja.
“okey, pergilah, nanti pukul 3 aku pulak nak tidur” Balas Rafiq tanpa memandang Haris, matanya hanya tertacap pada skrin telefon pintarnya.
Haris terus sahaja menapak ke bilik rehat. Dia harus gunakan masa rehat yang pendek itu dengan sebaiknya. Sesampai sahaja di dalam bilik itu Haris segera memadamkan lampu bilik itu dan melabuhkan tubuhnya di atas tilam. Terasa lega, otot-ototnya yang lesu direhatkan. Matanya dipejam rapat, sudah bersedia untuk lena. Suasana sejuk menambah keselesaan buat Haris, membuatkan dia semakin cepat bertamu ke alam mimpi.
“weh! Bangun weh dah pukul 3 dah ni, aku pula nak tidur” suara Rafiq mengetuk gegendang telinga Haris. Haris membuka matanya, terasa begitu berat untuk dia meninggalkan lenanya. Dia bangun dan duduk di birai katil, masih mamai. Dia mendongak memandang Rafiq yang berdiri di hadapanya. Mata Haris terkebil-kebil memberi isyarat bahawa dia masih mengantuk dan perlu untuk terus lena untuk beberapa ketika lagi.
“tak payah nak buat muka seposen, aku pulak nak tidur” ujar Rafiq apabila melihat Haris mempamerkan wajah kasihan memohon belas untuk terus dia dibenarkan menyambung tidurnya.
Haris tunduk, dia terpaksa akur. Dia bingkas bangun dari katil, kepalanya terasa pusing. Dia melangkah longlai ke arah pintu, sementara itu Rafiq pula mengambil alih tempat Haris dia atas katil empuk. Haris mengeluh pendek, masih tidak puas baginya. Dia masih lagi terbelenggu dengan rasa mengantuk.
“kenapa, lampu banyak terpadam ni, on load ke ape ni?” getus Haris sendirian tatkala menyedari suasana kelam dan suram menyulubungi makmal tabung darah. Dengan hati yang berat, Haris berjalan kembali ke meja kerjanya untuk meneruskan tugasan yang ditinggalkan oleh Rafiq. Sebaik tiba di mejanya, Haris melihat Rafiq berada masih di situ mengelap meja, membersihkan sisa tumpahan darah. Bau hanyir darah mula menusuk ke dalam hidung Hanis, namun dia endahkan sahaja. Sudah lali dengan bau sebegitu.
“aik! Tadi bukan kau masuk bilik rehat ke tidur?”kebingungan mula bertandang dan bersarang di benak Haris. Tangan Rafiq berhenti mengelap tumpahan darah, mukanya di angkat memandang Haris.
“aku memang nak masuk tidur tadi, tapi beg darah ni tadi bocor, tak tahu kena apa”beritahu Rafiq menambah rasa bingung buat Haris. Haris mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal, sudah menjadi tabiat dia bila berhadapan dengan kemusykilan yang mengacau fikirannya.
“a..aku nak ambil phone aku tertinggal di bilik rehat sekejap” Haris memberi helah, sebenarnya dia ingin memastikan bahawa Rafiq yang ditemuinya di bilik rehat tadi hanyalah ilusinya yang masih mamai selepas terjaga dari tidur.
“pergilah, nanti aku pula nak tidur” jawab Rafiq seraya kembali menyambung kerja membersihkan sisa tumpahan darah di atas meja.
Haris melangkah dengan lebih deras, dia mahu segala kebingungannya dihapuskan segera. Tombol pintu bilik rehat dipulasnya denga rakus dan kemudian pintu bilik rehat ditolaknya dengan kuat. Debaran di dadanya kencang. Alangkah terkejutnya Haris apabila melihatkan Rafiq masih lagi diperbaringan, lena melayari mimpinya. Kini bukan sahaja bingung yang bersarang di fikiranya, takut turut mula menjengah.
Haris kembali menutup pintu dengan perlahan, dia tidak mahu menganggu Rafiq yang masih lena diulit mimpi. Dia menapak dengan berhati-hati menuju ke arah meja kerjanya. Jantungnya berdegup kencang, tangannya terasa sejuk. Apabila tiba di meja kerjanya, tiada lagi kelibat Rafiq di situ. Kesan sisa darah masih kekal di atas meja. Haris merapati meja, fikirannya ligat memikirkan sebarang kemungkinan yang logik untuk menjelaskan situasi itu.
Sedang Haris sibuk merungkai apa yang terjadi tadi, dia terasa seperti ada sesuatu menitik di atas kepalanya. Haris segera meraba-raba dengan tangan di atas kepalanya.
“darah?” desis Haris sendirian sebaik sahaja dia melihat cecair likat berwarna merah di jemarinya. Haris mendongak ke atas. Jantungnya bagai luluh tatkala melihat ada satu lembaga dengan susuk manusia tergantung secara terbalik memandangnya. Lembaga itu menyeringai menampakkan giginya yang mengerikan. Darah pekat menitik-nitik dari mulutnya terus ke atas meja kerja haris.
Haris dicengkam perasaan takut,lidahnya kelu. Peti suaranya bagai terbeku menyebabkan suaranya tersekat dikerongkong, dia tergamam dan terus terduduk lantaran kakinya kian lemah dan tidak mampu berdiri lagi. Dia cuba mengingati segala ayat suci Al Quran yang di pelajarinya sejak kecil, namun di saat genting sebegini tiada satu pun terlintas di benaknya.
Lembaga mengerikan itu bergerak menghampirinya, Haris semakin cemas. Dia mengesot ke belakang sehingga dia terhenti dikekang almari. Lembaga itu kini berada betul-betul di atas kepalanya, Haris terlalu takut untuk terus bertentang mata memandang lembaga itu. Haris tunduk dan memejamkan matanya. Darah menitik di atas kepala Haris, aroma darah kian kuat menusuk hidungnya. Keringat membasahi tubuhnya meskipun suhu makmal tatkala itu sangat sejuk.
“Haris! Bangun woi! Aku pula nak tidur” Haris tersentak lalu terjaga apabila kerdengar suara Rafiq mengejutnya. Badannya berpeluh. Dia menoleh ke arah Rafiq yang berdiri di sisi katil.
“astaghfirullah..”Haris menghela nafas lega rupanya dia hanya bermimpi. Dia bangun dari baringannya untuk memberi peluang kepada Rafiq pula untuk tidur.
“Rafiq..”panggil haris sebaik sahaja dia berhenti di muka pintu bilik rehat.
“ya?”
“tidur bace doa..”pesan Haris seraya terus melangkah keluar dari bilik rehat. Rafiq melebar senyuman melihat pemergian Haris.
“Kau yang patutnya baca doa ” ujar Rafiq sedirian seraya tersengeh menampakkan giginya yang ngeri dan berdarah. Lampu terpadam tiba-tiba di makmal dan kedengaran suara Haris menjerit kesakitan.
-TAMAT-

Cerita seram...2Where stories live. Discover now