BILIK 314

66 1 0
                                    

Kalau sebelum ini, arahan untuk berkursus di luar daerah selalu sahaja aku tolak tetapi arahan kali ini aku terima dengan tangan terbuka. Siapa yang tidak mahu berkursus di Cameron Highlands? Lagi pula, sememangnya aku sudah lama tidak menjejakkan kaki ke sana. Kalau dikira-kira, mungkin hampir 10 tahun sejak kali terakhir aku sampai ke tanah tinggi itu.

Aku memberitahu isteriku dan dia turut teruja untuk ikut sama. Kebetulan pula hari berkursus jatuh pada Isnin dan Selasa, jadi bolehlah kami ke sana lebih awal, pada Jumaat atau Sabtu untuk berjalan-jalan dan bercuti satu keluarga.

Hari yang dinanti-nantikan pun tiba dan kami memulakan perjalanan menuju Cameron Higlands melalui laluan Simpang Pulai. Ia atas saranan rakan-rakan sepejabat. Jalannya lebih baik walaupun memakan jarak yang lebih panjang. Namun, yang lebih diutamakan ialah keselamatan kami bertiga. Dan akhirnya, selepas hampir lima jam perjalanan, aku, isteri dan anakku tiba juga ke bandar Tanah Rata.

“Kita nak check in mana bang?” soal isteriku, Madihah.

“Entah, abang tak booking pun lagi. Awak ada idea?”

“Kita try hotel dekat-dekat sini jelah. Dihah penat, tak larat lagi nak duduk dalam kereta ni.”
“Yalah,” jawabku ringkas.

Aku terlihat papan tanda bertulis  “Hotel H, 500 meter”.

Tanpa berfikir panjang, aku terus membuat keputusan untuk menginap di hotel itu sahaja.

Hotel H nampak tersergam indah dengan bangunan berwarna putihnya. Lokasinya di atas bukit, dikelilingi beberapa bangunan rumah apartment yang turun dijadikan rumah tumpangan. Hotel H berdekatan dengan deretan rumah kedai dan kedai makan. Pemandangan bandar Tanah Rata dapat dilihat dari Hotel H. Semua sebab ini membuatkan isteriku tidak membantah. Aku tahu, dia suka dengan hotel pilihanku itu.

Kami diberikan bilik 314, di bangunan yang berada di belakang berhampiran sebuah taman. Walaupun kedudukan bilik kami sedikit tersorok, namun aku tiada masalah kerana ramai pelancong-pelancong asing yang aku lihat keluar masuk dari bilik di lorong yang sama.

Keadaan bilik pun agak memuaskan, berpadanan dengan harga yang ditawarkan. Melihat jenis perabot dan kelengkapan di dalam biik, aku tahu Hotel H sudah lama beroperasi.

Cumanya, apabila aku buka pintu bilik itu, aku lihat keadaannya seperti sudah lama tidak dihuni. Bau usang dapat dihidu daripada bantal dan cadar tilamnya.

“Kita tukar biliklah bang, berbaulah bilik ni,” rungut Madihah.

“Abang penatlah. Masuklah dulu, kalau tak tahan juga nanti, kita tukar ya?” pujukku supaya Madihah bersabar. Aku terlalu penat untuk terlalu memikirkan soal bau.

Anakku yang paling seronok. Dia memanjat katil dan melompat-lompat atas tilam yang empuk. Kemudian, dia berlari ke balkoni mendapatkan aku yang sedang asyik menikmati pemandangan bandar Tanah Rata.

“Abah. Abah. Jom main dekat taman,” ajak anakku sambil menunjuk ke bawah.

“Abah penatlah Anas,” aku memberi alasan.

“Anas nak main taman, abah,” pintanya berkali-kali sehinggakan akhirnya aku tidak dapat menolak.

Madihah sudah terlelap. Aku biarkan isteriku berehat sementara aku membawa Anas turun ke taman bunga di bawah. Taman bunga itu pun kelihatan seperti sudah lama tidak dijaga sebaiknya.

“Anas pergilah main, abah nak duduk sini sekejap,” kataku membiarkan dia berjalan-jalan sekitar taman bunga.

Anas yang baru menjangkau umur empat tahun terus berlari menuju kolam air pancut yang berada tidak jauh dari situ. Dia seronok bermain-main dengan percikan air yang terkena mukanya. Aku mengambil kesempatan untuk duduk di bangku batu sambil memerhatikan Anas berlari-lari mengelilingi air pancut itu.

Cerita seram...2Where stories live. Discover now