Ketika dia menghampiri R&R Ajil di LPT2 malam itu, sebuah bas Transnasional baru sahaja beredar meninggalkan kawasan parkir. Walaupun sudah menginjak ke 11 malam, bahang petang tadi masih terasa. Sambil mengunyah Pringles original tin merah, dia memberhentikan kereta di bawah satu-satunya lampu yang masih berfungsi di situ. Makanan ringan yang diselang-selikan dengan tegukan air mineral memaksanya untuk melepaskan hajat sebelum meneruskan perjalanan ke KL yang masih berbaki beberapa jam lagi. Dia meneguk lagi air sambil memandang pondok tandas yang terletak kira-kira 20 meter dari keretanya. Dan matanya terpandang sesusuk tubuh bongkok sabut yang sedang jalan berdengkot-dengkot keluar dari tandas wanita.
Dia memandang sekelilingnya yang gelap dan sunyi. Tiada kenderaan lain di situ. Tidak menolak kemungkinan 'warga emas' ini ketinggalan bas, dia hanya memerhati dari dalam kereta. Sebenarnya dia sendiri kurang pasti sekiranya individu itu orang tua, tapi penampilannya yang berjubah hitam, berselendang putih dan terbongkok-bongkok memegang tongkat, menguatkan tekaannya. Cara berjalannya juga nampak menyakitkan. Tempang kah sebelah kakinya? Terbit rasa kasihan, tapi dia masih belum berganjak keluar dari keretanya. Dia kemudian melihat warga emas itu memasuki tandas lelaki. Mungkin kah tiada air di tandas wanita?
Selang beberapa minit selepas itu, sebuah van roti biru-putih memasuki kawasan parkir. Seorang pemuda keluar tergesa-gesa dan meluru ke tandas lelaki. Sepuluh minit. Lima belas minit. Pemandu van roti itu masih belum menampakkan batang hidungnya. Buang air besar kot. Dia berasa semakin tidak sedap hati. Ketika itu, warga emas tadi muncul dari tandas lelaki. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya wanita itu selamat dan tak diapa-apakan. Dia tersengih sendirian kerana takut tak bertempat. Lampu keretanya yang masih menyala menarik perhatian warga emas itu. Dia melambai-lambaikan tongkatnya seolah-olah memberi isyarat meminta pertolongan. Berdengkot-dengkot wanita itu berjalan menghampiri keretanya.
Dalam jarak dua meter, baru lah dia perasan susuk tubuh yang disangka warga emas itu sebenarnya bukan manusia. Rahang bawahnya tiada dan lidah yang terjelir-jelir itu cukup menakutkannya. Yang disangka selendang, cuma rambut putih. Ketika makhluk itu semakin menghampiri kereta, baru lah dia terpandang sesuatu yang menyebabkan dia tergesa-gesa memecut meninggalkan kawasan parkir R&R Ajil itu.
Tongkat di tangannya sebenarnya sebatang hulu kapak yang masih basah dengan darah.
-End
YOU ARE READING
Cerita seram...2
HorrorHighest raking in horror story #134- 16/11/17 #68- 2/7 #8-7/7 dlm pengajaran #37-8/7 dlm hantu #4-30/9 dlm sejarah # 3- 30/9 dlm pengajaran Ye aku tahu copy paste dari buku pertama soo what.. xde benda lain aku nak bagi sinopsis. . Cerita benar dar...