DIPERMAINKAN OLEH BUNIAN KAFIR

78 4 0
                                    

Kisah yang aku ingin kongsikan di sini adalah berkaitan dengan pengalamanku ketika diganggu oleh bunian kafir suatu ketika dahulu. Peristiwa ini berlaku di dalam tahun 2008 dan ianya merupakan pengalaman yang kedua ketika berhadapan dengan mereka.

Alkisahnya begini, ketika itu aku dan sepupuku iaitu Zard berkelah ke air terjun Ulu Yam untuk menghilangkan tekanan kerja yang sedang kami hadapi. Kami berdua sampai di lokasi perkelahan itu pada jam 11 pagi @ 12 tengahari.

Pada awalnya kami mandi seperti biasa dan bergurau senda sambil bergelak ketawa di situ. Kemudiannya akibat kelaparan kami bercadang untuk makan tengahari lalu kami naik ke darat untuk mencari bekalan makanan yang kami bawa bersama pada sebelumnya.

Kami terkejut apabila mendapati pakaian, telefon bimbit, dan beg yang mengandungi bekalan makanan kami tiada di situ lalu kami pun memulakan pencarian di kawasan tersebut. Pada mulanya kami beranggapan bahawa mungkin terdapat pencuri ataupun kera yang melarikan barang-barang kami tetapi setelah diselidiki tiada sebarang tapak kaki yang kelihatan di kawasan itu.

Ketika itu aku perasan bahawa kami berdua sedang berpusing-pusing di tempat yang sama beberapa kali dan mula mengesyaki bahawa mungkin terdapat gangguan daripada makhluk halus. Aku mengesyaki bahawa kami sedang disorok dan dipermainkan oleh bunian kerana beberapa bulan sebelum itu aku pernah juga ditimpa masalah yang sama cuma di tempat yang berbeza.

Aku memberitahu Zard bahawa mungkin jin sedang menyakat dan mengganggu kami dan berkemungkinan besar jin tersebut adalah bunian Islam ataupun bunian Kafir. Dia hanya tersenyum sinis apabila mendengar penjelasanku itu.

Kami bersama-sama membaca surah 3 kul berselang seli dengan ayat Qursi dan berdoa semoga kami menemui jalan keluar dan dapat pulang dengan selamat.

Akibat tertekan dan keletihan yang melampau, aku tidak mampu mengawal emosiku dan aku mula menyalahkan Zard kerana dialah punca kami tersesat di situ. Kami berdua bertekak sambil tuduh menuduh sesama sendiri dan hampir bergaduh.

Aku kemudiannya bermuhasabah diri sambil beristighfar dan menyedari bahawa itu adalah salah satu dari taktik jahat mereka iaitu melaga-lagakan dan melemahkan semangat kami berdua. Kami berdua mengambil keputusan untuk berehat di sebuah batu besar di tepi air terjun itu dan dalam masa yang sama kami berulang kali melaungkan azan.

Tatkala kami selesai melaungkan azan untuk kali ketiga, aku melihat dengan jelas susuk tubuh seorang lelaki yang berketinggian dalam 4 kaki, berkepala botak, bermata sepet, memakai seluar pendek, tidak berbaju dan memakai kasut seperti kasut kung fu sedang berjoget-joget sambil tersengih di depanku seolah-olah memerli keadaan kami ketika itu.

Sah tekaan aku, seorang bunian kafir sedang mempermainkan kami. Aku berlakon seolah-olah aku tidak nampak kewujudan dirinya. Mungkin dia beranggapan bahawa aku tidak sedar akan kehadirannya walhal aku nampak dengan jelas wajah dan kelakuan bodohnya ketika itu.

Zard tidak nampak kehadiran bunian tersebut. Aku berbisik pada Zard lalu memberitahunya supaya jangan panik dan berlagak selamba sahaja ketika itu. Bunian tersebut semakin melampau apabila dia melondehkan seluarnya dan berjoget-joget sambil menayangkan bontotnya betul-betul di depan muka Zard.

Aku hampir terkencing menahan gelak ketika itu. Zard pula dengan selamba menangguk dagunya di hadapan bontot bunian tersebut. Andaikata dia dapat melihat apa yang aku sedang lihat ketika itu barangkali bunian tersebut hanya tinggal sejarah sahaja.

Tanpa membuang masa, aku berdiri lalu menyepak celah kelangkang bunian tersebut dan dia jatuh tersungkur sambil menjerit kesakitan. Aku menindih belakang badannya sambil memijak kedua-dua tangannya dan meminta supaya ditunjukkan jalan keluar.

Dia menjerit-jerit kesakitan dan aku menggertaknya dengan mengatakan bahawa aku akan menyeru nama sahabat-sahabatku yang merupakan bunian Islam untuk datang ke situ sekiranya kami tidak dilepaskan ke alam nyata.

Dia menjerit meminta maaf sambil memujukku supaya melepaskannya dan dia berjanji untuk membawa kami keluar dari situ sekiranya aku melepaskan dia. Zard ketawa terbahak-bahak dan menganggap aku seperti orang tidak siuman kerana pada waktu itu dia hanya melihat aku terjerit-jerit seorang diri dan membuka langkah silat tanpa sebab.

Aku membiarkan sahaja gelagatnya itu kerana aku faham bahawa dia adalah manusia normal seperti insan lain dan matanya tidak dapat melihat menembusi alam ghaib seperti diriku ini. Aku redhakan sahaja diri ini ditertawakan sebegitu rupa.

Aku melepaskan bunian tersebut dan ketika itu mulutnya terkumat kamit membaca mantera/jampi serapah sambil menuding jarinya ke arah sebuah pohon ara yang terdapat di situ.

Tatkala itu suasana di sekitar kami sudah berubah dan hari sudah bertukar menjadi malam. Tempoh masa yang kami rasakan ketika berada di alam sana adalah seperti 1-2 jam walhal kami sudah berada di alam sana selama hampir 10 jam.

Hujan gerimis mula membasahi tubuh kami dan Zard bersorak kegembiraan sambil menunjukkan beg bekalan makanan kami yang belum terusik lagi sejak dari siangnya. Aku tidak sempat berkenalan dengan bunian tersebut kerana dia telah menghilangkan dirinya ketika Zard sedang bersorak keriangan.

Kami berdua akhirnya selamat keluar dari kawasan tersebut ketika jam sudah menghampiri 2 pagi. Semenjak berlakunya peristiwa tersebut, Zard mula percaya bahawa aku sememangnya mampu melihat dan berinteraksi dengan makhluk-makhluk dari alam ghaib.

Kisah di atas adalah hanya secebis pengenalan pengalamanku ketika berada di alam mereka dan aku akan berkongsi kisah yang lain berkaitan dengan alam bunian Islam pula di edisi yang lain. Pesananku adalah jangan terlalu banyak ketawa dan bergurau senda ketika korang berhibur kerana di sebalik kegembiraan itu bakal muncul suatu malapetaka dan bala yang korang akan mengalaminya sendiri.

Dan jangan sesekali lupa bahawa kita semua sedang diperhatikan oleh mereka kerana mereka sentiasa berkeliaran untuk bergurau senda dengan diri kita ini. Di dalam bilik, di dalam tandas, dan waima di atas katil mereka hadir tanpa diundang dan dipesan.
Mereka tidak diundang dan selalu sahaja datang bertandang. Bagi yang pernah menyaksikannya ketahuilah bahawa itu adalah anugerah dan sentiasalah berfikir positif walaupun dirimu di dalam ketakutan. Akhir kata dari saya Assalamualaikum...

Cerita seram...2Where stories live. Discover now