Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah

151 2 0
                                    

Salam.

Biar aku bongkarkan satu rahsia mengenai blog ini. Bila kalian ada terjumpa entri tanpa komik dan panjang lebar macam entri ini, ataupun entri tulis tangan macam entri sebelum ini, maknanya sama ada aku sedang sibuk dengan urusan duniawi ataupun aku malas nak melukis. Sebab entri sebegini aku banyak buat secara bundle dan simpan di dalam draft untuk senang di-schedule di kemudian hari.

Dalam kes kali ini, ianya kedua-duanya; aku sibuk dan aku malas.

Sebagai pendahuluan, aku mahu beritahu bahawa aku dahulu bersekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikelilingi hutan dan ladang sawit. Juga menurut sejarah, daerah sekolah aku itu memang terkenal dengan cerita askar Jepun potong kepala dan yang paling baru, kisah Mona Fendi. Dengan setting yang sebegitu hebat, sekolah itu mempunyai pelbagai cerita angker dan 'urban legend' yang kebanyakannya diturunkan secara lisan dari para senior. Lagenda Budak Hitam, Lagenda Tangga 13, Perbarisan Askar Jepun, semuanya menarik untuk dicerita, tapi tidak seronok untuk didengar.

Namun, ustaz sekolah aku pernah berkata bahawa orang yang selalu diganggu itu bermakna imannya sedang diuji. Lagi tinggi imannya, lagi kerap dia akan diganggu. Selama 5 tahun aku bersekolah di situ, hanya sekali sahaja aku pernah merasakan pengalaman angker sendiri. Nampak sangat tahap iman aku tak berapa nak tinggi (mengeluh).

Ini adalah kisah pengalaman angker aku sendiri. Tapi tak seseram pengalaman orang lainlah.

Okey, selesai mukadimah. Kita masuk bahagian memperkenalkan watak yang terlibat.

Semasa aku di tingkatan empat, aku dilantik sebagai Presiden bagi Persatuan Kadet Bomba dan Penyelamat sekolah. Semasa perlantikan, walaupun berasa penuh bangga tapi jelas kelihatan satu muka yang tidak berpuas hati. Namanya Luqman (nama separuh benar) dan dia memegang jawatan sebagai timbalan kepada aku.

Dari segi fizikal dan kredibiliti, aku rasa Luqman lebih layak memegang jawatan presiden berbanding diri aku. Luqman berbadan sasa dan tegap, sentiasa kemas dengan baju masuk ke dalam seluar sedangkan aku kerempeng, tiada otot dan kurang kacak. Aku rasa satu-satunya kelebihan aku yang membolehkan aku dilantik sebagai presiden ialah aku hafal semua arahan (command) dalam kawad dan aku cepat ingat amali dan teori yang diajar Cikgu Bomba. Oh ya, suara aku juga kuat dan sesuai sebagai komander perbarisan.

Berbalik kepada Luqman, walaupun dia tidak membantah, tapi di wajahnya jelas tidak puas hati. Walaupun aku tidak kisah kalau mahu bertukar jawatan, tapi jawatan itu diamanahkan mengikut kiraan undi dan pemilihan, maka nak tak nak aku terpaksa menerimanya. Jadi, aku berkeputusan ingin berbaik-baik dengan Luqman. Rasanya susah kalau presiden dan timbalan bermasam muka, kan?

Seterusnya ialah isi sebenar cerita.

Ceritanya bermula pada suatu malam pada waktu kelas prep. Bagi yang tidak tahu, kelas prep ialah kelas persediaan (preparation class = prep class) di mana para pelajar sekolah asrama wajib naik ke kelas pada waktu malam (biasanya selepas Maghrib atau Isyak) sehingga ke lebih kurang pukul 11 bagi tujuan menyiapkan kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran ataupun kadang-kadang menghadiri kelas tambahan. Walaupun itu tujuan sebenarnya, tapi kebanyakan pelajar menghabiskan masa dengan berbual sesama rakan, tidur, atau dalam kes aku, baca komik GTO.

Setelah habis satu jilid komik GTO aku baca (aku minat Kanzaki Urumi), aku berasa lapar dan dahaga. Lalu aku keluar ke kelas dengan alasan konon mahu ke tandas, tapi sebenarnya aku menuju ke belakang kantin sekolah dan memesan mee goreng sambal bungkus dalam plastik dan sebungkus air sirap ikat tepi untuk dibedal secara bersembunyi di belakang kelas.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kantin, dengan mata yang melilau mencari takut-takut ada cikgu disiplin meronda, aku ternampak satu susuk tubuh sedang berjalan ke arah bertentangan dengan aku di koridor sekolah. Koridor itu gelap tak berlampu, maka dari jauh memang tak dapat cam siapakah gerangan yang sedang berjalan itu. Setelah diamati, alham

dulillah, pemilik susuk tubuh itu bukanlah cikgu disiplin tapi milik Luqman. Alaa, Luqman si timbalan aku tu...

Jadi aku fikir adalah lebih baik kalau aku bertegur sapa mesra dengan Luqman bagi mengurangkan ketegangan di antara kami, tambahan lagi kami bukan satu kelas yang sama, maka masa itu merupakan masa terbaik untuk berbaik dengan Luqman.

Bila Luqman berada di dalam kawasan julat suara, aku tegur dia.

"Yo, Luqme. Sihat? Pergi mana?"

Luqman dengan muka tidak berekspresi, terus berlalu berselisih dengan aku tanpa jawapan.

"It's okay. Mungkin dia tak sihat kot. Atau mengantuk nak pergi tandas cuci muka..."

Sepatutnya aku berfikiran positif seperti itu, tapi sebenarnya tidak. Aku mencarut memaki hamun dia di dalam hati.

"Dah tak dapat jawatan tu janganlah nak masam muka dengan aku. Sombong betul..."

Aku meneruskan langkah menuju ke kelas. Cerita seterusnya hanyalah rutin biasa; aku makan sembunyi di belakang kelas, habis makan sambung baca komik Kindaichi pula, kemudian bunyi loceng kelas prep habis, semua pelajar bergerak ke dewan makan untuk minum malam (supper) dan seterusnya pulang ke dorm masing-masing dan bersiap untuk tidur sebelum 'light off' pukul 12 malam.

Di dorm, aku berbual dengan seorang lagi kawan yang bernama Redha (ya, ini nama sebenar).

"Yo Redha. Tadi aku jumpa Luqme masa prep. Dia diam semacam je. Dia tidur dalam kelas ke?" Redha merupakan rakan sekelas Luqman. Sebenarnya soalan itu sekadar mahu buka perbualan, aku tak jangka pun sebarang jawapan dari Redha.

Tapi Redha berdiam diri seketika sambil tepat memandang ke wajah aku. Tangan dia yang sedang meletakkan kemeja ke penyangkut baju pun terberhenti seperti ada tertekan butang 'pause' dalam DVD.

"Kenapa?"

Aku tanya Redha melihatkan reaksi dia yang semacam itu.

"C, Luqme mana naik prep. Dia sakit perut salah makan. Dia berehat dekat bilik sakit sepanjang malam tadi. Aku sendiri yang hantar dia ke bilik sakit."

Mengenali Redha yang sentiasa serius dan tidak suka berjenaka, aku tahu dia tidak menipu. Tapi persoalannya, kalau Luqman tak naik kelas prep malam itu, siapa yang aku selisih dan tegur semasa di koridor tadi?

Cerita seram...2Where stories live. Discover now