Belum

32 1 0
                                    

Bot yang dinaiki Halijah dan Yunus diarah berhenti di pos kawalan tentera yang dibina di satu pulau kecil di tengah Tasik Temenggor. Lelaki beruniform askar yang memakai Rayban Aviator itu memandang mereka bertiga. Tiada langsung senyuman di wajahnya. Penat barangkali berpanas di tengah-tengah tasik membuat pemeriksaan keselamatan berpuluh kali sehari.

"Bawak orang KL ni ha, tengok hutan" terang pemandu bot sambil mengesat mukanya yang bermanik peluh dengan tuala Good Morning yang kelihatan lusuh dan hapak. Askar itu kemudian memandang Halijah dan Yunus.

"Pagi Tuan, saya dengan wife first time datang sini. Celebrate anniversary ke-40 kami dalam hutan pulak hehehe" jelas Yunus tanpa dipinta, ada sedikit rasa cemas di dalam suaranya. Halijah yang berkacamata hitam dan bertopi besar cuba memaksa wajahnya yang ketat untuk tersenyum.

Lelaki itu mengangkat tangan memberi isyarat membenarkan mereka pergi. Pantulan cahaya matahari pada air tasik yang tenang itu menyebabkan Halijah dan Yunus sudah lencun bermandi peluh, walaupun baru jam 9 pagi. Ketika bot mereka meninggalkan jeti Pulau Banding pagi tadi pun, hanya ada beberapa orang pelancong asing sahaja, kerana kebanyakannya memilih hujung minggu untuk ke hutan berusia 130 juta tahun itu.

Bot Halijah dan Yunus terus meredah empangan menuju ke Sungai Kejar yang jarak perjalanannya memakan masa dua jam dengan merentasi beberapa kem kecil tentera dan sesekali berselisih dengan bot yang berlegar membuat rondaan.

Sesampai sahaja ke destinasi, beg mereka dipunggah ke darat oleh pemandu bot sebelum meninggalkan dua warga emas yang masih sihat bertenaga itu mendongak memandang pokok-pokok yang melangit tingginya.

"I'm not sure about this anymore, Joe" kata Halijah sambil menyimpan kacamata hitam di dalam poket seluar linennya. "We are in the middle of nowhere! Line telefon pun tak ada!"

"Oh come on Eli. We are in this together. That guy will come and fetch us in two days. Bagus pun tak ada line telefon dalam ni. Your boutique and your clients can wait" kata Yunus sambil tersengih, ada sedikit nada perli dan mengejek di dalam suaranya. Bukannya dia tak tahu Halijah bingung tak boleh berWhatsapp dengan anak ikannya. Dia tahu. Dan dia yakin isterinya juga tahu tentang kekasih gelapnya yang sebaya cucu mereka. Selepas 40 tahun mendirikan rumahtangga, sudah tentu sahaja selera pasangan berubah. Bila hidangan di rumah tidak lagi membuka selera, pandai-pandai lah mencari sajian lain di luar. Open relationship, kata orang KL. Memandangkan Halijah dan Yunus aktif bersukan dan gemarkan aktiviti lasak, anak-anak mereka mencadangkan supaya ulangtahun ke-40 perkahwinan mereka disambut di Royal Belum untuk 'soul-searching'.

Petang itu, selepas melelapkan mata seketika di resort, Halijah dan Yunus keluar berjalan-jalan sebelum matahari terbenam. Ketika melalui lorong trek yang disediakan, Yunus terpandang sebuah pintu gua yang tersorok di celah-celah kesuraman hutan. Hatinya digaru rasa ingin tahu. Dia berjalan keluar dari trek menuju ke gua itu seolah-olah dipukau.

"Hey Joe, where do you think you're going?" soal Halijah.

"Tak nak tahu ke apa ada dalam tu? Kot ada harta karun ke, boleh jugak you pakai" jawab Yunus sambil menuding jari ke arah gua itu.

"You pergi lah sorang. I tak nak masuk" jawab Halijah.

"Suka hati you lah Eli. Kalau nampak Nenek Kebayan penjaga ikan toman, you jangan menjerit dalam hutan cari I" usik Yunus sambil terus berjalan menghampiri pintu gua. Halijah yang tiba-tiba ketakutan berlari mengekori suaminya sambil mendengus.

Pintu gua yang menghadap ke barat daya itu agak tersorok dari jalan trek tetapi boleh dilihat oleh sesiapa yang datang dari arah selatan bila matahari sedikit condong sebelum terbenam. Mungkin ini hari bertuah Yunus!

Ketika berdiri di hadapan pintu gua, bau bunga melati yang bercampur-baur dengan bau tanah lembab berlumut menyucuk-nyucuk hidung Yunus dan Halijah. Yunus menggunakan iPhonenya sebagai lampu suluh untuk melihat kawasan dalam gua yang lembab dan kosong. Kedengaran bunyi air mengalir seolah-olah ada mata air di dalam

nya tetapi gua yang berbentuk L itu menghalangnya daripada melihat lebih lanjut.

"Okay, I nak masuk dalam sekejap. Kalau you tak nak join, you tunggu sini" kata Yunus sambil membetulkan beg sandangnya. Halijah memandang sekeliling yang sunyi sepi dan gelap walaupun belum pukul 6 petang. Dah terlanjur dia ke pintu gua mengikut suaminya, takkan lah dia nak menunggu di pintu gua seorang diri. Dia bergegas mengikuti suaminya yang sudah lima meter di hadapan.

Lorong gua berbentuk L itu menuju ke sebuah takungan air sebesar kolam renang plastik kanak-kanak. Mengalir dari celah rekahan dinding gua, air jernih itu seperti memanggil-manggil untuk diteguk. Lubang sebesar penumbuk di atas siling gua membenarkan cahaya matahari masuk ke dalam ruang kecil ini dan meneranginya dengan kilauan warna pelangi setelah dipantulkan oleh air kolam. Halijah terpandang kain kuning bertulis cat hitam yang diselitkan di celah rekahan tempat air itu meleleh.

BARANGSIAPA MINUM DARI AIR INI, DIA AKAN MUDA SELAMA-LAMANYA

"Fountain of youth!" bisik Halijah. Jika benar ini air pancut remaja, impiannya untuk memikat semula anak ikannya akan membuahkan hasil. Tak perlu lagi dia berulang-alik ke Bangkok mendapatkan suntikan botox. Payudaranya akan kembali anjal, perutnya akan kembali kempis dan ramping, lehernya akan kembali tegang. Datin Seri Halijah yang baru!

"Kalau betul, you bayangkan kita berdua kembali muda macam tahun 70an dulu Eli" kata Yunus yang berdiri di belakangnya, turut terkesima dengan penemuan ini. Tapi Halijah ada Plan B. Sekiranya dia kembali muda dan bergetah seperti 40 tahun lalu, dia ingin memulakan hidup baru. Dengan orang lain.

Dia melutut di hadapan kolam kecil itu, bersedia untuk meneguk airnya ketika matanya terpandang sehelai lagi kain kuning yang diselitkan di celah batu.

HANYA SEORANG SAHAJA. PILIH

Halijah menoleh ke sisinya. Yunus masih berdiri di belakangnya. Halijah tahu suaminya juga pasti ingin meneguk air ini. Keputusan harus dibuat segera dan tindakan harus diambil sebelum terlambat. Dia mencapai batu sebesar kasut di tepi lututnya dan belum pun sempat dia menoleh ke belakang, seketul batu dihempas tepat ke dahinya di antara dua mata. Memancut-mancut darah keluar dari retakan di tengkoraknya sebelum dia rebah di atas lantai, menggelupur - dan mati.

Yunus melepaskan batu berdarah yang digenggamnya. Seperti juga Halijah, keputusan harus dibuat segera dan tindakan harus diambil sebelum terlambat. Dia melutut di hadapan kolam itu di sisi isterinya yang mati terjelepuk. Dia menadah tangan dan meneguk airnya yang segar. Tangannya yang berkedut dan dipenuhi bintik-bintik penuaan kembali tegang dan remaja. Dia kembali mencelupkan tangannya ke dalam kolam yang jernih dipermukaan tetapi suram dibawah. Sepantas kilat juga pergelangan tangannya digenggam makhluk yang hanya tinggal tulang belulang. Dalam sekelip mata tubuh Yunus menjadi kering setelah otot-ototnya berpindah dari tubuhnya ke tubuh makhluk tadi.

Makhluk yang keluar dari kolam dalam keadaan bogel itu menyerupai Yunus ketika dirinya masih muda belia. Rambutnya hitam. Bulu matanya lebat. Dadanya bidang.

Sambil memandang Halijah dan Yunus yang terbujur kaku, dia berkata "Dua ratus tahun aku tunggu giliran aku dalam kolam ni.  Kalau aku boleh tunggu, takkan kau tak boleh?"

End

Cerita seram...2Where stories live. Discover now