Entah mengapa hari ini hati tiba-tiba menjadi begitu rapuh, sebak, mudah tersentuh. Tidak sedikit airmata tertumpah selepas solat Subuh dan Zohor tadi, menginsafi dosa-dosa aku yang telah lalu. Mungkin sudah masuk 10 hari kedua Ramadhan (11-20) yang penuh dengan keampunan, maka sebab itulah hati dilunakkan untuk memohon keampunan dariNYA..
Malam tadi bermimpi berada di Masjidil Haram, memimpin tangan sahabat dan jiran belakang rumah sedari kecil; Azman bersama menunaikan umrah di Makkatul Mukarramah. Hari PRU14 baru-baru ini berjumpa dengan dia yang pulang dari Kuala Lumpur menunaikan tanggungjawab mengundi, mengesahkan khabar bahawa dia sedang diuji hebat dengan Kanser Tahap 4.
Aku tidak tahu Ya Allah apakah maksud mimpi malam tadi, tetapi aku berdoa setulusnya supaya Engkau memberikan dia kesembuhan dan mempermudahkan segala urusannya. Insya Allah, Amin.
29-05-2018 / 13 Ramadhan 1439
KAMU SEDANG MEMBACA
DIARI DARI HATI
Non-FictionCatatan apa saja yang aku rasa, aku lihat, aku dengar sepanjang masa..