Intipati khutbah Jumaat lepas; 22 Jun2018 / 8 Syawal 1439.
Ibubapa boleh menjaga dan membesarkan 10 orang anak. 10 orang anak belum tentu boleh menjaga ibu atau bapa dengan baik.
Ibubapa menjaga dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, mahu mereka sihat dan hidup selamanya. Anak-anak menjaga orang tua dengan perasaan bercampur-baur; ada kalanya sayang, ada waktunya rimas, ada masanya kerana terpaksa. Walau pun anak-anak tidak pernah mendoakan secara lisan, tetapi ada waktunya terdetik di hati kalau cepat matinya orang tua, senanglah hidup mereka.
Mana-mana pasangan yang berkahwin biasanya tidak mahu tinggal bersama orang tua. Alasan paling klise adalah mahu berdikari. Keduanya kerana mahu bebas dari pemantauan dan campurtangan orang tua. Ketiganya kerana tidak mahu terbeban menjaga orang tua.
Orang tua, pelbagai kerenahnya. Hanya sesiapa yang pernah melalui akan memahaminya. Semakin tua, semakin kebudak-budakan perangainya. Semakin pelbagai kerenah dan kehendaknya. Kalau mahukan sesuatu, masa tu jugak la mahunya. Exactly the same masa kita budak-budak dulu! Tapi mak ayah kita tak pernah give-up kan? Kita? Melenting la kot..
Aku pernah menjaga arwah nenek, arwah ayah dan sekarang menjaga emak yang sudah berusia 90 tahun. Bagaimana ayah dan emak menjaga arwah nenek, begitu jugalah aku dan isteri Rozi cuba menjaga emak sekarang.
Rozi adalah seorang menantu yang hebat! Biarlah aku memuji isteri aku sendiri. 25 tahun tinggal bersama dan menjaga arwah ayah dan sekarang emak yang bermacam ragamnya adalah satu pengorbanan besar di dalam hidupnya; demi cinta dan tanggungjawab. Sudah semestinya langit tidak selalu cerah, berliku-liku kehidupan kami bersama emak. Ada masanya bergelak ketawa, ada masanya masam mencuka, ada juga ketikanya berendam airmata.
Makan minumnya macam-macam pantang, very specific. Menunya sentiasa berbeza dengan apa yang menjadi kegemaran anak-anak kita. Terlambat merajuk, tercepat pun marah. Pakaian OK, tak kesah sangat. Kalau nak ke mana-mana, sebut aje mesti nak pergi. Kalau kita ada hal lain, merajuk. Anak-anak yang lain yang jarang-jarang balik, itulah yang dipuji-puji. Kalau musim buah, yang elok-elok disimpan untuk anak cucu yang lain. Aku, Rozi dan anak-anak? Dapat la yang lebih-lebih hehe
Marah dengan mak? Kecik hati dengan mak? Sejujurnya, ada masa-masanya ya, ada masa-masanya senyum sendiri. Tetapi tidak pernah aku luahkan kemarahan itu, aku buang jauh-jauh. Maafkan aku mak. Give-up dengan mak? Tidak sekali-kali. Aku mahu mak hidup sihat dan gembira di samping aku, Rozi dan anak-anak selamanya..
Ironinya, khutbah Jumaat hari itu dibacakan oleh Pak Imam dan solat Jumaat pula diimamkan oleh anaknya sendiri. Sejuk perut ibunya mengandung, berbahagialah Pak Imam sebagai bapanya. Betul, iman tak boleh diwarisi, tetapi anak-anak boleh dibentuk dan dicorakkan menjadi manusia yang beriman.
Wallahua'lam
KAMU SEDANG MEMBACA
DIARI DARI HATI
Non-FictionCatatan apa saja yang aku rasa, aku lihat, aku dengar sepanjang masa..