Pagi tadi aku hadir satu forum yang membincangkan halatuju kehidupan anak-anak muda. Moderator berkisah tentang seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Julaybib. Fizikalnya, dia seorang yang pendek dan hodoh dan sering menjadi bahan ejekan dan hinaan orang di Madinah. Tidak dikenali ramai di kalangan sahabat, tetapi sebenarnya salah seorang sahabat yang disayangi oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang mencarikan jodoh untuknya dengan seorang gadis yang cantik. Walau pun pada mulanya ditentang keras oleh ibu gadis tersebut kerana fizikal Julaybib, tetapi diterima oleh gadis tersebut kerana keimanan dan ketaqwaan Julaybib. Kerana sayangnya kepada Julaybib, Rasulullah SAW sendiri yang memasukkannya ke liang lahad apabila dia mati Syahid Fiisabilillah.
Apabila moderator bertanya secara rambang kepada 3 anak muda yang hadir mengenai kriteria yang diambilkira apabila memilih pasangan hidup, ini jawapan mereka :
1-Responden perempuan – nak pasangan dengan kedudukan kewangan yang baik.
2-Responden lelaki – nak pasangan yang boleh menerima & menghormati ibubapanya, cukup solat lima waktu dan menepati masa.
3-Responden perempuan – nak pasangan yang boleh membahagiakannya.Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: "Perempuan dinikahi karena empat faktor. Karena hartanya, nasabnya, kecantikannya dan karena agamanya. Maka menangkanlah wanita yang mempunyai agama, engkau akan beruntung." (Riwayat Bukhari, Muslim, Al-Nasa'i, Abu Dawud Ibn Majah Ahmad Ibn Hanbal, dan Al-Darimi dalam kitabnya daripada sahabat Abu Hurairah ra)
Tak salah memilih yang cantik. Mana ada orang nak yang tak cantik kan? Tetapi kalau cantik rupa tapi perangai teruk, takyah la. Jangan sesekali fikir kita boleh jadi Superman, nak mengubah perangai orang jadi baik lepas kahwin kononnya. Perangai kita sendiri pun payah nak ubah, nak ubah orang pulak? Hampehhh hahaha.Kaya tapi dermawan, OK. Keturunan baik-baik tapi merendah diri, OK. Cantik rupa, cantik perangai, OK. Beriman dan bertaqwa, itu yang paling baik.
Dalam banyak keadaan, ramai antara kita kelabu asap bab membuat pilihan. Jadi, seelok-eloknya, jangan tergopoh-gapah. Perhatikan sifat dan sikap bakal pasangan kita. Buatlah Solat Istikharah untuk memohon petunjuk yang benar dari Allah. Apa yang perlu kita perhatikan?
Pasangan kita mengutamakan solat atau meringankannya? Tergopoh-gapah cari masjid bila masuk waktu solat atau tangguh solat bila sampai rumah nanti?
Mengelak atau menggalakkan maksiat? Asyik duk goda kita ajak dating dan beromen atau galakkan kita pergi masjid?
Fikiran kita makin tenang atau makin serabut? Asal jumpa gaduh, asal gaduh jer jumpa! Hahaha
Selalu komplen penampilan dan rupa paras kita atau menerima kita seadanya?
Sangat menjaga batas pergaulan atau sangat bebas?
Jujur atau hipokrit? Cakap pasal agama siang malam tapi tiap kali jumpa mesti nak ringan-ringan!
Peringatan untuk diri sendiri. Aku ada ramai anak-anak lelaki dan perempuan. Semoga Allah memberikan hidayah dan petunjuk yang benar kepada mereka apabila sampai masanya mereka memilih jodoh nanti. Amin.
KAMU SEDANG MEMBACA
DIARI DARI HATI
Non-FictionCatatan apa saja yang aku rasa, aku lihat, aku dengar sepanjang masa..