Hari ini hadir ke majlis akad nikah cucunda saudara dengan pasangannya di masjid kampung kelahiran aku. Alhamdulillah, Pak Imam masih mampu menyempurnakan majlis akad nikah walau pun sudah bertongkat dan selalu sakit-sakit.
Sepertimana biasa, sebelum khutbah nikah dibaca dan pasangan pengantin diijabkabulkan, Pak Imam akan bertanya beberapa soalan kepada pengantin lelaki. Amalan ini kalau zaman dulu-dulu boleh membuatkan bakal pengantin lelaki kantoi, tersangkut dan tertewas. Kalau nak jawab soalan fardhu ain pun sangkut, nak jawab nikah nanti terketar-ketar la jawabnya hahaha.
Zaman sekarang ni aku rasa dah tak banyak Imam yang bertanya soalan itu ini. Alasannya adalah mereka sudah menghadiri kursus perkahwinan, sudah ada sijil perakuan. Tetapi, dengan kursus 1 atau 2 hari, mampukah mereka menguasai kepakaran mengemudi bahtera perkahwinan dan rumahtangga menghadapi gelombang kehidupan nanti? Kita biarkan pakar yang berfikir dan menjawab persoalan tersebut hehe.
Soalan pertama : Solatkah? Cukupkah?
Solat itu tiang agama. Meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama. Runtuh agama, hancurlah kehidupan, hilanglah keberkatan, lenyaplah kebahagiaan. Jika ada yang luput samada secara sengaja atau tidak, qadha lah dengan segera kerana kita tidak tahu bila maut akan datang menjemput kita.
Soalan kedua : Solat sendiri-sendiri atau solat berjemaah?
Solatlah secara berjemaah di masjid, surau, madrasah atau musolla. Jika tidak boleh, berjemaahlah di rumah. Jadilah imam kepada isteri dan anak-anak sebagai makmum. Latih anak-anak lelaki supaya mereka juga boleh menjadi imam satu hari nanti.
Soalan ketiga : Sudah khatam Quran? Bacakah setiap hari? Berapa mukasurat dibaca setiap hari?
Bacalah Quran setiap hari walau pun hanya satu mukasurat. Itulah 'user manual' kehidupan manusia. Baca, fahami dan amalkan apa yang kita baca. Quran membawa rahmat, keberkatan dan ketenangan kepada kehidupan kita.
Soalan keempat : Mandi junub bagaimana?
Niat kena betul, rukun kena cukup. Kalau tak betul dan tak cukup, maka selamanya kita akan berada di dalam keadaan kotor. Segala amalan tidak sah dan tidak diterima. Samalah macam kita tidak beribadah.
4 soalan dan pesanan yang amat signifikan dengan kehidupan berumahtangga yang bakal ditempuhi bakal pengantin. Signifikan juga kepada semua hadirin pada hari ini. Tidak semestinya sudah lama berumahtangga, sudah beranak-cucu, empat perkara di atas sudah diamalkan.
Dunia hari ini ramai yang mengambil ringan kewajipan bersolat, apa lagi solat berjemaah. Kalau lelaki tidak boleh menjadi pemimpin dan pembimbing kepada isteri dan anak-anak, untuk apa kita memegang title 'suami' dan 'ayah'. Solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak besar impaknya kepada kerukunan sebuah rumahtangga. Ramai yang merungut terlalu sibuk dengan kerja, tidak pernah cukup masa, anak-anak keras kepala, isteri menderhaka, suami gagal menjadi nakhoda dan suka berpoya-poya. Kunci penyelesaian semua masalah ada pada solat. Ajaklah mereka solat berjemaah bersama, Insya Allah rukun damailah rumahtangga.
Aku bukan alim ulamak, hanya ulam-ulaman sahaja. Tukang tulis dan sampaikan apa yang baik untuk diri sendiri dan orang-orang yang memerlukan...
KAMU SEDANG MEMBACA
DIARI DARI HATI
Non-FictionCatatan apa saja yang aku rasa, aku lihat, aku dengar sepanjang masa..