Bab 18
Azril membuka mata. Aneh...
Dia berada di rumah flat lamanya. Ketika itu, hidup mereka anak-beranak sangat melarat. Rumah tanpa perabot ataupun televisyen. Kelihatan Umi sedang menghampar toto pemberian pusat zakat. Ada sesuatu yang aneh tentang Umi. Matanya... mata Umi...
"Umi nampak Azril?" Tanya Azril dalam nada suara yang tersekat dan menggeletar. Dia tak tersalah nampak kan? Mata Umi memberi respond kepada cahaya.
Wajah Umi berkerut mendengar soalan Azril.
"Mestilah nampak. Sayangku, bukankah kamu yang bayar pembedahan mata Umi, dengan asbab itu sekarang Umi dapat melihat lagi. Abahnya tengok budak ni, pelik pula soalan dia hari ni." Jawab Umi sambil menggeleng kepala.
Mendengar jawapan itu, Azril terus merangkul Uminya dalam pelukan yang erat. Menangis dia di pangkuan Umi kerana akhirnya setelah dua puluh satu tahun, Umi dapat melihat semula wajah Azril.
"Abah, kenapa kita ada dekat sini? Rumah kita sekarang kan dekat Damansara." Soal Azril kepada abahnya pula.
"Bukan kami tak hargai pemberian kamu nak, tapi rumah dekat Damansara itu terlalu besar. Kosong. Jadi kami berpindah semula ke sini. Di sini ada banyak kenangan dengan kamu. Rumah di Damansara kurang kenangannya." Jawab Abah dalam nada agak serba salah.
Azril tersentap.
Sungguh benar, bila difikirkan kembali sebaik sahaja mereka berpindah ke rumah di Damansara, Azril jarang sekali ada. Masa bersama keluarga seakan boleh dibilang oleh kanak-kanak darjah satu.
"Umi, Abah... Azril rasa dah cukup Azril kerja. Azril tak akan tinggalkan Abah dengan Umi lagi. Jadi marilah balik ke Damansara. Di sana lebih selesa." Azril berjanji.
"Belum cukup lagi anakku, berapa kali Abah pesan niatkan kerja kamu Lillahi taala dan segala gerak kamu adalah ibadah. Setiap titik peluh kamu itu pahala. Kalau Azril kata dah cukup kerja, seolah-olah Azril menutup pintu untuk meraih pahala. Azril faham maksud Abah?" Lembut sahaja suara Abah mengingatkan anak tunggalnya itu.
"Faham Abah." Azril mengangguk bagai budak darjah satu.
Umi dan Abah saling berpandangan. Kemudian mereka tersenyum. Sejuk hati melihat Azril membesar dengan sangat baik dan cemerlang.
"Umi... Umi nak pergi mana? Umi nak tengok apa? Beritahu sahaja Azril akan bawa Umi ke mana sahaja yang Umi mahu." Bersungguh Azril mempelawa Umi untuk pergi bercuti. Dia mahu membawa Umi melihat dunia.
Umi berfikir sejenak.
"Dulu masa Azril kecil, anak Umi ni selalu minta nak pergi ke pantai sebab nak tengok laut kan abang?" Umi tergelak kecil apabila teringat semasa Azril kecil, dia selalu berguling-guling kononnya memberontak sebab terlalu teringin untuk pergi ke pantai. Gara-gara rakan-rakannya di sekolah selalu bercerita mengenai percutian mereka di pantai.
"Tapi masa tu kita tak mampu..."Abah dan Umi dihambat rasa pilu.
"Alah, sekarang ni hari-hari Azril menghadap laut. Mesti dah muak kan? Kita pergi sahaja kemana yang Azril nak okay?" Umi memberi Azril peluang untuk membuat keputusan.
"Umi... Alhamdulillah berkat kata-kata Umi, dengan ilmu yang Azril tuntut, kehidupan kita dah berubah. Azril dah jejak bermacam bentuk muka bumi. Azril dah alami semua musim yang wujud dalam kitaran atmosfera kita. Sekarang Azril nak bawa Abah dan Umi ke mana sahaja." Azril tetap mahu Umi dan Abah yang membuat keputusan.
"Kalau begitu, bawa kami ke pulau paling cantik dalam Malaysia ini. Boleh?" Pinta Umi. Kenal sungguh dia dengan perangai Azril yang jelas dengan matlamatnya, kalau dia cakap A selamanya akan jadi A tidak akan berubah pendiriannya.
Abah yang sentiasa berada di sebelah Umi turut mengangguk setuju. Abah lebih banyak berdiam setapi dalam diamnya tersimpan rasa terkilan. Ayah mana yang tidak mahu membahagiakan keluarga dan memenuhi setiap permintaan anak? Dek kesempitan hidup, dia tidak mampu untuk menunaikan seluruh permintaan Azril walaupun anak nakal itu tidak banyak meminta.
Setiap kali Azril bercerita tentang pantai, dia akan mengeluarkan buku dan pensil. Dua beranak itu akan melukis dan berimaginasi seolah oleh mereka berada di pantai yang tercantik di dunia.
Abah sendiri berikrar pada dirinya. Setiap sen yang diperoleh daripada hasil dia membanting tulang empat kerat akan dibahagikan sedikit cukup untuk mereka makan dan selebihnya akan ditabung untuk memberi Azril pendidikan bertaraf dunia kerana dia percaya hanya ilmu yang dapat merubah kehidupan Azril. Dia tidah mahu anaknya hidup susah seperti dirinya.
"Umi dan Abah bersiap, Azril nak uruskan kerja sikit nanti Azril datang balik kita pergi ke pulau paling cantik di Malaysia." Azril tersenyum lebar.
Kebahagiaan jelas terpancar di wajah Azril. Setelah sekian lama tidak membawa keluarganya bercuti, kini dia tidak akan melepaskan peluang itu.
Azril segera menyemak journalnya. Kosong. Langsung tidak bertulis apa-apa untuk minggu ini sedangkan bulan-bulan yang lepas terlalu padat sehingga ada yang bertindih. Biarlah, malas hendak menyerabutkan kepala janji dia sudah bersama Umi dan Abah semula.
Kalau diikutkan hati, Azril ingin membawa ibu dan bapanya ke Sabah kerana pulau dan pantai di sana baginya adalah yang terbaik di Malaysia tetapi mengenangkan mereka yang sudah tua, takut tidak larat pula hendak naik kapal terbang dengan perjalanan yang panjang kasihan pula. Dia berkira-kira lagi. Pantai atau pulau yang tarikan utamanya menyelam memang sudah ditolak awal-awal. Takkan nak suruh Umi dengan Abah menyelam pula? Macam tak kena je...
Pening pula kepalanya. Tidak tahu ke mana hendak bawa Umi dan Abah ke mana.
"Ya ibni, kenapa berkerut dahi? Habis kedut muka anak teruna Umi nan seorang ni." Umi duduk di sebelah Azril yang sedang termenung di ruang tamu.
"Azril bingung tak tahu nak bawa Umi dengan Abah ke mana. Umi takkan tak ada satu tempat spesifik nak pergi." Jawab Azril sambil melentokkan kepalanya di atas bahu Umi. Manjanya bukan main lagi. Mengalahkan kucing rumah!
"Pulau Pangkor." Jawapan Umi menyebabkan Azril tertoleh.
Pulau Pangkor je? Cantik memanglah cantik tapi kalau nak dibandingkan dengan Pulau Sipadan ataupun Pulau Langkawi hmmm...
"Umi teringin nak tengok tempat anak Umi kerja dengan mata Umi sendiri. Tapi Umi tahu dalam kepala kamu mesti tengah mempersoalkan permintaan Umi. Takkan Pulau Pangkor je? Betul tak?"
Azril tersengih sambil kepalanya mengiyakan. Sungguh Umi memang boleh membacanya seolah-olah sedang membaca buku.
Itulah ibu, dia yang membawa kita di dalam rahimnya selama 9 bulan 10 hari. Lahirnya dijaga dengan penuh rapi bagai menatang minyak yang penuh. Sangat cermat dan berhati-hati kerana seorang anak itu terlalu berharga. Dia yang pertama belajar untuk mengenal diri anaknya sebelum anak itu sendiri belajar tentang dirinya.
"Ibni, mungkin bagi kamu tempat itu tak ada apa yang menarik, sebab kamu dah terlalu biasa dengan persekitarannya. Umi bagi contoh mudah. Kita ibaratkan Pulau Pangkor itu tubuh kita dan Azril yang memandang tempat itu biasa sahaja kita ibaratkan sebagai diri, roh dan akal tubuh itu. Kadang, bila kita tengok tubuh kita sendiri kita tak rasa ada benda yang istimewa terlalu biasa. Tapi sayangku, boleh jadi dalam kamu fikir kamu itu terlalu biasa, tiada apa yang istimewa, ada orang lain yang melihat diri kamu dan merasakan bahawa kamu cantik. Macam mata Umi yang melihat banyak keistimewaan anak teruna Umi ni. You are so used to your features you don't realize that you look so beautiful in the eyes of a stranger. Jadi sayangku, boleh ke kalau Umi minta nak pergi Pulau Pangkor?" Panjang lebar Umi memberi peringatan dan nasihat kepada Azril.
Abah memandang dua beranak itu dari jauh. Segaris air mata yang mengalir mengikut lekuk di pipi tuanya pantas diseka. Sungguh, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang cerdik dan solehah, anak yang taat dan berjasa serta keluarga yang sakinah.
YOU ARE READING
Garis Masa
ActionSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...