Bab 19
Lumut, Perak
Angin di sini masih sama sejak pertama kali Azril menjejakkan kaki di sini. Lembut menyapa seperti menyambut kedatangan seluruh keluarga Azril. Disebabkan Umi ingin melihat tempat kerjanya, Azril membawa Umi dan Abah ke pengkalan terlebih dahulu. Sekadar melihat apa yang terzahir.
Mereka menuju ke Jeti Lumut untuk menaiki feri yang akan membawa mereka ke Pulau Pangkor. Sempat Azril mengusik pakcik penjual tiket supaya memberinya potongan harga. Umi terus memukul lengan Azril ingat ini pasar malam boleh main tawar menawar?
Azril hanya mampu tergelak sambil mengusap lengannya.
Feri yang dinanti sudah tiba.Azril naik terlebih dahulu kemudian tangan Umi disambut. Berhati-hati Umi melangkah masuk ke dalam feri begitu juga dengan Abah. Memanglah bukan kali pertama Azril membawa mereka ke sini tetapi bagi Umi, ini merupakan kali pertama dia mampu untuk melihat dengan matanya sendiri. Bukan sekadar membayang dan berimaginasi.
Perjalanan daripada Jeti Lumut ke Jeti Pangkor tidaklah begitu lama, hanya dalam setengah jam perjalanan. Azril ingin mengajak Umi dan Abah ke bahagian luar feri tetapi Umi tidak mahu. Takut terjatuh ke dalam laut katanya. Azril akurkan sahaja tidak mahu memaksa walhal sepanjang dia berada di sini tidak pernah lagi berlaku kejadian orang jatuh feri.
Azril menyewa sebuah kereta daripada kenalannya di situ. Lokasi pertama mereka pastinya Chalet Bayu. Kasihan melihat Abah dan Umi. Pasti penat kerana mereka tidak biasa berjalan jauh.
Kelihatan Ace sedang menanti bersama anak-anak dan isterinya. Mereka disambut dengan tangan terbuka. Gembira sekali Ace menyambut kedatangan mereka. Daripada Zohor membawa ke Asar tidak habis mereka bersembang. Banyak benar cerita yang dikongsi.
Selepas Isyak berjemaah, Azril menatap wajah kedua ibu bapanya. Entahlah, tiba-tiba muncul rasa sayu. Wajah mereka bercahaya tetapi tidaklah menyilaukan. Terasa lain sekali senyuman mereka malam itu. Ditepis jauh rasa tidak enak yang muncul di lubuk hatinya senyuman mereka dibalas dengan senyuman termanis di dunia.
Pagi itu kelihatan Umi dan Abah begitu bersemangat sekali. Azril sudah dikejutkan seawall jam lima pagi. Tubuh galah Azril dipimpin ke bilik air persis kanak-kanak yang pertama kali dikejut subuh cuma bezanya Azril tinggi menggalah sahaja. Terus Umi menyuruh Azril mengambil wuduk. Sempat lagi Umi menyampaikan tazkirah sebelum subuh.
"Ya ibni, kalau kereta kamu boleh tambah aksesori kenapa tidak solat yang fardu kamu tambah solat sunat? Bangunlah, sekurang-kurangnya 2 rakaat tahajjud cukuplah. Nanti tambah pula yang lain lagi." Lembut suara Umi.
Tepat jam 0700, mereka keluar mencari sarapan di gerai-gerai yang berada di tepi jalan.
Azril sudah tahu gerai mana yang hendak dituju. Gerai nasi lemak terbaik di pulau ini. Mesra sahaja dia menegur Mak Tijah yang sudah tiga puluh tahun menjual nasi lemak. Umi dan Abah daperkenalkan kepada Mak Tijah.
Umi dan Abah memilih Nasi Lemak Sambal Kerang dipadankan dengan teh 'o' suam kurang manis. Azril memilih kegemarannya Nasi Lemak Sambal Sotong dan air suam.
Azril bercadang ingin membawa mereka ke sekitar pulau terlebih dahulu kemudian barulah pergi ke laut. Umi dan Abah menurutkan sahaja pemandu pelancong mereka.
Destinasi mereka yang pertama ialah Kota Belanda. Ia hanyalah tinggalan kubu belanda di pulau itu yang dibaikpulih untuk dijadikan tarikan pelancong. Bergambarlah mereka dengan meriam dan kubu. Entah berapa banyak kali Azril membaca lampiran sejarah yang berada di situ sehingga dia sudah hafal sebahagian daripadanya. Kalau dah jenis suka membaca, hatta surat khabar pembungkus nasi lemak hendak dibacanya!
YOU ARE READING
Garis Masa
ActionSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...