Bab 9
Persidangan sudah masuk hari ke-4. Selepas menikmati secawan kopi yang baru sahaja dibancuh, Azril menuju ke dewan persidangan dengan penuh keyakinan. Walaupun dia bukan watak utama dipentas pada hari ini tetapi sekadar watak pembantu, dia masih mahu melakukan yang terbaik. Manalah tahu satu hari nanti dia juga berpeluang untuk membentangkan penyelidikannya di hadapan puluhan pakar seluruh dunia.
Puas Azril berdoa agar tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini pada hari ini. Kumpulan penyelidikan yang Azril sertai akan membuat pembentangan projek untuk mendapatkan dana tambahan daripada Liga Neurologi. Walaupun dia hanyalah pembantu tambahan bebas bukan ketua atau penggerak utama projek tetapi dia tahu projek yang digerakkan oleh Dr. Janet Kwok pakar daripada Veitnam itu sangat bermakna secara peribadi kepada ketuanya itu.
Azril duduk bersama kumpulan penyelidikannya di bahagian hujung kanan pentas. Matanya tertangkap susuk Violet yang duduk pada barisan ketiga bahagian tengah di tepi tangga. Violet melilit pashmina hitam bermotif rama-rama putih di sekeliling lehernya dan menutup sehingga bawah dada. Rambut disanggul kemas dan dibiar sedikit terjurai di bahagian hadapan.
Dr. Janet berdiri di atas pentas dengan senyuman termanis sepanjang kerjayanya. Dia memulakan pembentangan mengenai penyakit epilepsy ataupun lebih dikenali sebagai sawan di Malaysia.
Azril menemani Dr. Janet pentas bagi membantu kelancaran pembentangan Dr. Janet seperti yang telah mereka putuskan semalam selepas persiapan akhir dibuat.
Pembentangan bermula seperti biasa. Telinga Azril mendengar pembentangan sambil membantu mana yang perlu. Tiba-tiba dia merasa tidak sedap hati. Sepeti ada sesuatu yang mengganggu. Telinga sensitifnya menangkap bunyi 'krikkk' halus sejak mula pembentangan lagi.
Dia teringat pesanan Ace. "Ikut gerak hati dan naluri kau manusia ni Allah cipta dah cukup elok kejadiannya ingat dalam badan kita ada flight or fight reaction sebelum kau sempat nak memilih badan kau sendiri akan bagi reaksi. Ikut rasa tu."
Dr. Janet begitu bersemangat menyampaikan penyelidikannya bersama tiga orang professor dan Azril sebagai pembantu bebas mereka.
Azril mendongak ke atas seketika. Pada saat itu juga, sebuah lampu yang terpadam mungkin kerana sudah lama dan rosak hendak jatuh. Terus ditarik Dr, Janet yang berada betul-betul di bawah lampu itu. Lampu itu jatuh sangat hampir dengan tempat Dr. Janet berdiri. Dr. Janet terlalu terkejut dan keadaan menjadi kecoh.
Pengacara majlis menjadi panik dengan situasi itu terus meminta semua bertenang dan berjuta kali perkataan maaf dipohon bagi pihak pengurusan.
Rakan sepasukan terus mendapatkan Dr. Janet. Lemah lutut Dr. Janet tetapi digagahkan juga untuk dia berdiri semula di atas pentas. Mikrofon yang terlepas dari tangannya tadi diambil semula bersama alat kawalan jauh yang berfungsi sebagai tetikus.
"Saya akan teruskan pembentangan ini demi anak saya, semua diharap agar dapat memberi tumpuan." Wanita besi. Sungguh gelaran itu memang padan dengan personaliti Dr. Janet.
Kasih seorang ibu... Walaupun nyawanya terancam, dia masih meneruskan pembentangan untuk mendapatkan dana tambahan penyelidikan terhadap penyakit yang telah meragut nyawa anak tunggalnya.
Dr. Janet Kwok menamatkan slaid terakhir dengan segaris senyuman disambut dengan tepukan gemuruh semua yang hadir di situ. Kejadian lampu studio jatuh itu bagaikan hilang dalam kesungguhan Dr. Janet menyampaikan pembentangannya.
Laporan rasmi telah dibuat mengenai kejadian itu. Dr. Janet berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Azril yang menyelamatkannya tadi. Dalam nada bergurau Azril menjawab, sudah memang tugasnya menjadi pembantu termasuk membantu untuk menghalang lampu jatuh dari langit.
YOU ARE READING
Garis Masa
ActionSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...