Bab 2
Pengkalan Armada Laut DiRaja
Papan tanda semegah namanya terpampang hebat di pintu utama. Kelajuan kenderaan diperlahankan, Azril terus memandu ke blok berhampiran padang sasar.
Kedatangan Azril disambut oleh satu tumbukan padu di perut. Tak sempat Azril mengelak. Ace yang memberi 'hadiah' itu ketawa.
"Yo, Big Bro. Laju juga kau datang." Victor pula menyapa.
"Pizza?" Romeo terus membuka pintu penumpang dan mengambil makanan yang beradda di situ. Sudah tahu Azril kalau dipanggil tidak pernah datang dengan tangan kosong.
"Mana Felcon yang beriya nak aku datang? Cuti kut. Beragaklah!" Sengaja Azril buat bengang.
"On call." Jawab Ace.
"Bini call." Sambung Romeo.
Mereka masuk ke dalam gudang yang kini sudah menjadi tapak latihan Skuadron Trodaire. Suasananya masih sama. Terang mentari senja. Sekejap lagi gelaplah. Azril perasan ada dua susuk tubuh dalam samar cahaya.
"Selamat 28 tahun Big Bro." Ucap Felcon.
Lampu dipasang biar lebih jelas pandangan.
Trodare meninggalkan Azril sendiri.
Automatik Azril berlari dan melutut di hadapan dua tubuh itu. Menangis si Azril seperti seorang bayi persis 28 tahun dahulu di ribaan seorang umi. Kepalanya pula diusap lembut oleh Abah dengan penuh kasih.
Ubat rindu sudah berada di depan mata.
"Assalamualaikum ya ibni. Angkat kepala biar umi tatap wajah kamu."Pinta Umi.
Terus Azril mengangkat kepala. Dibawa tangan umi menyentuh rambut, dahi, kelopak mata, hidung, kemudian pipinya. Tangan umi keras di situ.
"Azril makan cukup tak ni? Ya Allah kenapa makin kurus?" Umi bernada risau. Deria tangannya mengesan sesuatu yang basah. Air mata anak yang soleh itu tumpah.
"Cukup umi, kalau Azril gemuk nanti tak boleh berlari. Anak umi kan suka berlari. Nanti Azril guling-guling macam bola pula." Azril meredakan hati Umi.
Kemudian eksplorasi wajah Azril disambung ke bibir, rahang dan dagu. Tangan Umi berakhir di bahu tegap Azril.
Abah memerhatikan sahaja. Sudah 34 tahun usia rumah tangga mereka tetapi tidak pernah walau satu detik terkurang rasa cinta kepada si isteri. Mata umi mungkin tidak dapat melihat tetapi mata hatinya cukup terang.
"Salam Abah lekas." Arah Umi.
Azril bersalaman dengan Abah.
"Terima kasih umi, abah sanggup besarkan Azril Aqil yang buas ni. Sekarang Azril dah kerja. Azril kerja kuat. Cakap apa sahaja yang umi abah nak Azril akan tunaikan." Sebak nada suara Azril bercampur dengan air mata.
Membesarkan seorang Azril Aqil bukan tugas yang mudah. Dibesarkan oleh seorang ibu yang buta akibat kemalangan jalan raya ketika Azril baru mencecah usia dua tahun dan seorang ayah yang bekerja pelbagai pekerjaan kerana menjadi mangsa pembuangan kerja beramai-ramai akibat kilang muflis. Ditambah pula dengan Azril yang agak kuat meragam sewaktu membesar.
Mereka menjalani kehidupan yang sukar selepas kejatuhan ekonomi yang teruk beberapa tahun dahulu, Daripada golongan berpendapatan sederhana mereka jatuh tersungkur bawah paras kemiskinan. Ah, itu kata orang. Di mata Azril, merekalah orang terkaya di dunia. Yang cukup segala-galanya. Dia memperolehi kasih sayang yang melimpah. Walaupun pernah tiga bulan makan bihun rebus direncah dengan garam semata sewaktu Abah masih lagi mencari pekerjaan, mereka tetap hidup bahagia kerana umi sentiasa memberi semangat.
YOU ARE READING
Garis Masa
AcciónSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...