Bab 22
Dia menunggu pintu lif terbuka. Malas untuk berusaha lebih menuruni tangga dengan tongkat. Lif kosong. Azril terus masuk ke dalam perut lif. Belum sempat lif itu tertutup rapat...
"Tahan lif!!!! Sekejap!!!"Terdengar suara perempuan menjerit. Sebelah kaki yang tersarung dengan kasut Dr. Martin dan seluar jeans jenis potongan lurus menahan lif daripada tertutup.
Pintu lif terbuka. Seorang doktor perempuan yang hijabnya hanya melilit leher masuk bersama dua buah kotak yang hampir menutupi meluruh kepalanya.
"Pakcik tolong tekan tingkat tiga. Terima kasih."
Tertoleh Azril mendengar doktor perempuan itu memanggilnya pakcik. Apa kelas panggil pakcik? Kau tunggu bila aku siap bercukur nanti. Kacak dan bergaya layak untuk jadi muka depan majalah maskulin.
Tingkat tiga ditekan. Tingkat tiga dikhususkan untuk jabatan neurologi. Azril yakin sekali inilah doktor yang menegurnya di atas bumbung hospital pagi tadi. Dr. Hana.
Lif mula bergerak turun.
Pap! Gelap. Lif bergegar sedikit. Kemudian terus terhenti.
Lima saat kemudian lampu kecemasan menyala.
"Ya Allah Ya tuhanku... dugaan apakah ini? Dah la lambat, sesat sampai tingkat tujuh pula tu. Sekarang lif pula rosak!" Rungut Dr. Hana yang sudah kepenatan. . Kotak diletakkan di atas lantai. Dr. Hana duduk bersila. Mulutnya masih juga berbunyi.
"Macam mana ni? Dah la baru masuk berapa hari dah lewat macam ni mesti orang pandang teruk. Ya Allah." Mukanya diraup dengan tangan.
"Anybody there? Hello!!!" Doktor itu mengetuk pintu lif pula. Apa kau ingat ini pintu rumah orang? Boleh terbuka macam tu je?
"Ha inilah sebabnya aku tak suka naik lif. Dah la kecil sempit pula tu. Ada sahajalah halnya. Kalau tak kerana kotak-kotak ni, memang tidaklah nak berlif bagai." Mulalah mulutnya hendak membebel seperti bertih jagung. Ada pula hendak menyalahkan lif yang jarang sekali rosak. Kewujudan Azril di dalam lif itu langsung tidak diperduli.
"Takkanlah macam ni pengakhiran hidup aku... mati kering di dalam lif. Oh tuhan, kalau nak tarik nyawa, biarlah gempak sikit. Kena tembak peluru ke, meninggal sebab selamatkan orang ke apa ke..." Terlebih pula drama Dr. Hana yang seorang ini.
Azril menggeleng kepalanya. Daripada sudut lif dia terus menekan butang kecemasan yang bersambung dengan unit keselamatan hospital.
"Lif D rosak antara tingkat lima dan tingkat empat, tolong hantar bantuan segera." Azril berkata dengan tenang.
"Aduan diterima, Dalam lif ada tiga orang sahaja kan encik?" Tanya suara yang datang daripada speaker.
Azril terdiam sejenak. Tiga? Kau nak main-main pula sekarang...
"Mata saya cuma nampak seorang doktor perempuan dengan mulut bertih jagung yang bawa kotak bertimbun je." Azril bernada datar.
Dr. Hana terus kecut perut apabila mendengar kata-kata pegawai unit keselamatan hospital daropada corong kecil pembesar suara di dalam lif itu. Masa ni la nak ada budak bagai... tak cukup terperangkap dengan lelaki takkan nak tambah pakej terperangkap dengan hantu budak pula? Telefon segera dihidupkan. Tangannya mencari sesuatu laju. Dia membaca ayatul Qursi... Doktor kuat membebel yang takut hantu tapi berani nak terima peluru. Azril menggeleng kepala.
"Saya bergurau je. Sekejap lagi bomba datang jangkaan masa setengah jam. Jadi bawa bertenang ya. Jangan buat benda pelik-pelik, CCTV malaikat kanan kiri memerhati." Sempat pula pegawai bertugas itu memberi pesanan penaja.
YOU ARE READING
Garis Masa
ActionSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...