Bab 13
Sebulan sudah berlalu, khabar daripada Violet langsung tidak diterima. Azril juga tidak sempat hendak bertanya khabar. Bimbang mengganggu kerana dia sendiri faham fitrah tugas Violet yang perlu sentiasa berada dalam fokus tertinggi kerana tiga bulan itu terlalu singkat, Azril sendiri pernah berkhidmat seketika di Jepun. Ketika itulah dia belajar seni pedang sambil menimba ilmu perubatan. Trodaire masing-masing kepenatan setelah menghabiskan latihan tempur tanpa senjata untuk sesi sebelah pagi. Sementara menunggu zohor, masing masing merehatkan diri.
"Ha, yang kau ni asyik temenung je kenapa? Dah tersangkut dekat awek London ke?" Tegur Romeo apabila melihat Azril termenung jauh.
"Hah? Guys, bakal adik ipar kita mata biru guys." Victor menyampuk.
"Tak cukup ke perempuan dekat Malaysia ni? Kau pilih sahaja nak yang perawan atau janda asal bukan isteri orang dengan budak bawah usia sudah." Felcon pula menambah.
"Tak kisahlah dia nak pilih sesiapa pun, janji kau dapat cari orang yang sungguh faham kerja kita dan perempuan macam tu tak ramai tahu." Ace juga mahu menambah.
"Aku tak cakap apa pun..." Azril menafikan.
Tepat pada masanya, telefon di gudang mereka berbunyi. Felcon yang paling hampir mengangkat. Kemudian telefon diletakkan kembali ke gangangnya.
"Pusat mel kata ada surat dari Jepun untuk..." Tak habis lagi Felcon memberitahu, Azril sudah lari terlebih dahulu.
Sengih nakal yang sama muncul pada bibir semua orang pantas mereka juga berlari mengejar Azril yang sedang menuju ke pusat mel. Azril yang perasan semua orang sedang mengejarnya mempercepatkan lagi langkah.
"Tadi kata penat? Apa ni?!" Jerit Azril.
Mindanya mula merangka stratergi bagaimana hendak lepas daripada Trodaire yang sangat gemar mengusik. Belum sempat dia berfikir, tubuhnya diterkam dahulu oleh Felcon, kaki dan tangan Azril pula dipegang oleh Romeo dan Victor. Ace menghadiahi Azril sekuntum senyuman kemudian dia terus melangkah masuk ke pusat mel.
"Yang kauorang semangat sangat kejar aku ni kenapa?" Azril malas hendak bergelut melepaskan diri. Membazir tenaga sahaja.
"Yang kau semangat sangat lari dah kenapa? Lagi la mencurigakan." Jawab Victor.
Ya tak ya juga, kenapa semangat sangat Azril berlari. Padahal bukan lari kemanapun pusat mel itu.
Ace keluar dengan sepucuk surat bersampul putih.
"Violet Lim." Dua patah nama yang membuatkan Azril senyum secara automatik.
"Sengih-sengih. Tak cukup perempuan Melayu dekat Malaysia ni, yang Jepun juga kau nak." Ace menyerahkan sampul itu kepada Azril.
"Ni sahabat pena aku masa dekat akademi dulu. Masa dekat London jumpa dia balik dekat tempat Conference. Okay? Perlukan laporan lebih teperinci?" Azril memberitahu mereka tentang Violet.
"Dua orang Neurologist kalau kahwin, anaknya nanti mesti genius gila." Jauh sudah pemikiran Romeo.
"Tapi, dua-dua sibuk kerja sempat ke nak ada anak ha?" Romeo mengusap dagu yang tidak berjanggut. Acah sedang berfikir.
Tidak pula terlintas di dalam benak Azril sehingga sejauh itu. Romeo ni nak melebih pula. Mentang-mentang isteri dia cikgu sekolah! Tapi jadi cikgu pun banyak kerja dah sekarang ni.
"Itu semua tak penting, yang aku paling tak faham sekarang ni... Whatsapp ada Telegram ada apahal kau nak juga tulis surat? Ekonomi kita ni tengah perlahan, berjimat cermatlah sikit." Celah Victor.
"Duit kat bank tak luak. Tak tahu nak buat apa, tu yang aku beli stem hantar surat tu." Sinis sahaja jawapan Azril.
"Jawab haa budak... pandai dah menjawab sekarang." Victor mengepit kepala Azril di celah ketiaknya.
"Okay... okay... Tak adalah. dia sibuk, aku pun sibuk juga. Kalau guna teknologi sekarang ni Whatsapp lah FaceTime la apa la nanti mengganggu kerja masing-masing. Jadi satu ketagihan kau tahu? Rasa nak chat setiap hari. Lagipun dia bukan isteri aku yang aku perlu jaga hari-hari. Cukuplah sebulan sekali dua bertanya khabar sihat ke tak." Terang Azril panjang lebar.
"Cakap je la nak sambung kisah romantika zaman akademi dulu. Menahan rindu kutunggu surat darimu!" Ace juga tumpang sekaki membahan Azril.
Azan Zohor menghentikan perbualan mereka. Masing-masing bersegera ke masjid untuk berjemaah dengan anggota armada laut yang lain.
Sudah terlalu lazim berjemaah, bila sendiri pasti terasa janggal. Jalinan ukhwah antara anggota armada laut terjalin apabila saf dipinta rapat, tumit bertemu tumit oleh tuan imam tanpa mengira jalur di bahu.
Azril bersandar di sebatang pokok. Surat kiriman Violet yang bertarikh seminggu yang lalu dibuka dengan cermat bimbang tangan kasarnya membuat koyakan yang hodoh pada sampul. Entahlah, debar dihatinya lain macam. Sudah lama perasaan sebegini tidak datang bertandang.
Sekeping polaroid sempat disambut sebelum jatuh ke tanah. Violet menghantar polaroid swafoto bersama papan tanda hospital. Mafla merah menutup lehernya dan topi kait menutupi bahagian kepala. Senyumannya lebar seolah-olah mahu mengumumkan kepada dunia bahawa dialah orang yang paling bahagia di alam semesta. Cantik sungguh anak kacukan Cina-British seorang ini. Pandai dia membawa diri di negara orang.
Surat dibuka. Bertaburan bedak talkum terbang ditiup angin. Baju hitam yang dipakai oleh Azril kini sudak bertompok-tompok putih. Aduhai kau tunggu ajalah balasannya Violet!
4-2-3 Shin Hospital Recidency,
5-3,Yaesu 1 Chome,
Chuo-ku,Tokyo 100-8994,
Jepun.
19 Febuari 2019
Kehadapan Azril Aqil,
Aku tahu aku comel, tak payah nak tenung gambar aku lama-lama. Aku akan ingat semua yang kau pesan. Daripada zaman sekolah dulu sampailah sekarang.
Penanda Al-Quran kau tu, clover dari Glasgow kan? Serius terharu kau masih simpan. Tapi, aku jadi tertanya-tanya pula... Kalau kau simpan penanda tu, macam mana kau boleh lupa aku?
Aku ada banyak lagi persoalan tentang kehidupan nak tanya kau tapi waktu kita dekat London hari tu, tak terluah segalanya jadi kalau kau tak kisah, sudi tak kau jawab segala persoalan aku?
Disebabkan harga stem mahal jadi aku anggap kau sudi dan aku teruskan dengan persoalan yang ada dalam kepala aku sejak dulu lagi.
Kalau Tuhan itu Maha Adil, kenapa ada orang susah tapi ada pula yang hidup mewah? Kenapa wujud rasa sakit dalam dunia ni tapi tak terbahagi sama rata ada yang menderita sedangkan ada orang lain bahagia? Hidup dekat dunia ni tak pernah adil.
Macam mana nak cakap ya? Aku dah banyak kaji dan belajar tapi aku rasa aku masih perlukan satu tanda daripada Tuhan untuk aku pastikan jalan yang aku nak pilih ni betul. Aku perlukan satu dorongan.
Kalau kau tahu dan sudi jawablah persoalan aku. Terangkan aku sebab sekarang apa yang aku nampak cumalah kegelapan sebab benda-benda macam tu aku rasa macam satu benda yang menutup aku daripada cahaya...
Kalau ada kesempatan ruang masa, jangan serik jumpa aku lagi. Sebab sungguh, kau lain.
Jaga diri.
Yang Benar,
Violet Lim
Kertas putih bertinta hitam dilipat kemas dan disimpan di dalam beg galas hitamnya. Persoalan tentang keadilan yang tak akan pernah dapat dirasai selagi manusia masih bernafas di muka bumi. Azril terus melangkah kembali ke gudang Trodaire sambil mindanya merangka jawapan untuk persoalan yang diutarakan oleh Violet.

ANDA SEDANG MEMBACA
Garis Masa
AcciónSINOPSIS GARIS MASA.. #PBAKL19 Kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Di tengah- tengahnya ada berjuta pilihan sepanjang garis masa kehidupan. Azril Aqil, seorang doktor tentera merangkap anak manja Umi dan Abah memili...