Just Smile!

28K 3.1K 241
                                    

BARU beberapa saat tadi, aku mendapat panggilan daripada Farhan bahawa Datuk Yusri sudah sedar dari koma. Cuma keadaannya agak lemah kerana hampir tiga minggu terbaring di katil hospital tanpa bergerak. Hanya bebola matanya saja yang bergerak-gerak memandang sekeliling.

Namun itu sebenarnya sudah cukup bagi aku. Lagi-lagi pula, Ian dah lepas zon kritikal dan dimasukkan ke wad biasa. Aku tak berlengah-lengah lagi. Segera meja kerja yang bersepah-sepah dikemas. Teruja mahu melawat Datuk Yusri pula.

Sedang aku kelam-kabut mengemas, pen hitam di meja jatuh bergolek dari meja ke lantai apabila tanganku tak sengaja melanggarnya. Keluhan nipis dilepaskan. Aduh, orang nak cepat ni! Rungut hatiku.

Mataku memandang pen itu bergolek-golek sepanjang lantai itu sebelum ia tiba-tiba terhenti apabila ada satu tangan yang menahan dan mengutip pen hitam milik aku tu.

Aku memandang empunya tangan lantas mencoret senyum.

"Haries."

Dia turut membalas senyuman aku. Kunci kereta di jarinya dipusing-pusingkan sambil memandang aku.

"Hospital?"

Agaknya Farhan pun sudah memberitahu Haries perkara sebenar. Terus aku capai beg tangan lalu melangkah ke arah Haries. "Jom!" Ajakku, riang.

Setibanya di hospital, kami menuju ke wad yang menempatkan Datuk Yusri. Kelihatan Farhan sedang duduk di sisi katil papa angkat aku manakala mama pula kelihatan seperti menangis. Menangis gembira agaknya kerana suaminya sudah pun sedar.

"Raiya, papa... papa kamu dah sedar, nak!" Ujar mama dengan suara yang tertahan-tahan. Pantas aku menuju ke arah mama lalu kami berpelukan. Terasa bahu mama bergegar. Mungkin dia betul-betul bersyukur papa sudah sedar dari koma.

"Ya, mama. Raiya tahu. Papa tak tinggalkan mama." Balasku sambil senyuman manis menghias bibirku, turut gembira walaupun pada masa yang sama, terasa resah di sudut hatiku.

Pastinyalah tentang identiti aku sekarang ni. Doktor tak memberitahu apa-apa bahawa papa ada masalah pada otaknya. Memorinya normal, tidak seperti mama. Tanpa sedar, air liur diteguk. Mampukah aku terus bersembunyi di sebalik nama yang sebenarnya sudah tiada?

Aku cuba melupakan perkara itu sebentar. Mata mula mencari wajah papa. "Assalamualaikum, pa. Papa okey? Farhan kata papa masih lemah lagi?" Tanyaku walaupun aku tahu papa tak mampu untuk menjawab lagi. Tapi apabila melihatkan mata papa yang merenung aku dengan pandangan redup, menandakan dia okey saja.

Birai katil papa diduduki. Sambil-sambil itu, sepasang mataku merenung mata papa dengan mata yang berkaca. Aku tak tahu apa yang patut aku rasakan tika ini.

Aku gembira sebab papa dah kembali terjaga. Tapi aku juga sedih kerana telah menipu mama dan melukakan hati papa dengan kepergian dua orang anak kandungnya sendiri. Dan aku turut berasa takut. Takut papa yang akan membenci aku.

Hanya doa mampu aku panjatkan supaya hati papa lembut dengan aku.

Tiba-tiba mama menangis teresak-esak sambil memeluk lengan papa. Aku perasan mata papa memandang wajah sayu mama. Aku yang berasa sebak pantas memeluk batang tubuh mama. Walaupun aku tak tahu punca mama tiba-tiba menangis sebegitu rupa.

"Tapi bang, anak-anak kita. Humaira... Humaira dah pergi. Dia dah tak ada kat sini lagi, abang. Ian pula cedera teruk. Doktor cakap, kalau dia tercedera lebih teruk, mungkin Ian dah cacat. Abang, kenapa perlu jadi macam ni?" Ngongoi mama. Aku tahu emosi mama tak stabil.

Kerana itu mama masih di bawah kawalan doktor walaupun sudah dua minggu keluar hospital.

Aku perasan ada manik jernih terbit di tubir mata papa, membuatkan dadaku sempit dengan bermacam-macam perasaan.

"Ni semua salah Shafira. Dia bawa bala dalam keluarga kita. Dia tak patut hidup! Kita tak patut ambil dia sebagai anak! Saya bersyukur dia dah tak ada." Ujar mama, penuh emosi. Nadanya naik turun meluahkan rasa.

Aku tersentak. Hatiku terhenyak. Emosiku terasa dipijak-pijak tika itu. Pedihnya hati ni, Tuhan.

Bibirku cuba mengoles senyuman, menyorok di sebalik rasa gembira. Walhal, hati ini terasa walang. Mahu saja aku meraung-raung, melutut minta maaf di kaki mama, tapi aku tak mampu. Aku tak sanggup diherdik dan dibenci insan yang sudah kuanggap sebagai ibu sendiri.

Mata papa memandang aku, sayu. Papa tahu aku ialah Shafira. Aku agak mungkin Farhan dan pun terangkan segalanya kerana sepanjang papa dan Ian di hospital, Farhan yang sentiasa membantu.

Anak mata papa teralih ke arah mama. Kepala papa cuba menggeleng-geleng. Mulutnya juga seperti ingin mengatakan sesuatu.

"Fi....Fi...Ra... tak....salah. I...ini.... tak... takdirNya," Sangat lemah tapi kerana aku duduk dekat dengan papa, telingaku dapat menangkap butir bicaranya. Aku terharu dalam diam. Terima kasih, papa sebab percayakan Fira.

"Sudahlah, bang. Tak payah fikir pasal benda ni. Perempuan tu pun dah mati! Huraiyah dan Ian masih ada. Kita tak patut sia-siakan mereka berdua." Dalih mama lalu memandang aku.

Hatiku bagaikan disiat-siat. Terang lagi bersuluh, mama dah benci aku. Ah, mana lagi aku mahu lari? Aku dah terjerat dalam perangkap. Satu hari nanti, aku harus menempuh juga realiti bahawa mama sudah membenci aku.

Mataku memandang Farhan yang tenang menyilang tangan di sisi katil. Lelaki itu dah banyak membantu aku. Terlalu banyak. Aku tak patut susahkan dia lagi. Farhan dah banyak membazirkan waktu untuk aku.

Tapi, aku lemah. Aku rasa aku tak mampu untuk teruskan semua ini. Ini begitu menyeksakan hati dan perasaan aku. Bukan saja aku, tapi mama dan juga papa.

Farhan memandang aku lalu senyuman diukirkan untukku.

Smile, Shafira. Everything will be okay. In Syaa Allah.

Senyum itu bagaikan cuba memujuk aku yang bersedih. Aku mengalihkan pandang pada Haries yang berdiri depan pintu. Sempat dia mengenyit mata nakal ke arahku.

Aku tahu.

Mereka berdua tak nak aku sedih.

Terima kasih bagi mereka yang selalu membuatkan bibir ini tersenyum.

Ahhhhh!!! Sori, author baru je habis exam. So tak boleh nak update. Fon pun kena rampas dengan ayah sampai habis pekse. Sori sangat-sangat sbb buat sume trtunggu-tunggu. Ampun! Terima kasih sbb ada yg sggup tunggu. Sori... T_T

Hacker 426 ✔️ Where stories live. Discover now