Teja tekun menyiang sotong-sotong yang masih segar. Walaupun ditegah Puan Mariko, dia tetap berkeras mahu membantu. Segan rasanya datang cuma untuk makan. Walaupun kesopanan bangsa Jepun tidak jauh bezanya dengan cara kita melayan tetamu. Tetapi Teja anggap Puan Mariko seperti ibunya sendiri. Dan tentulah Pn Mariko tidak dapat menolak pertolongan Teja dengan alasan yang sebegitu. Sesekali Yurisa curi pandang dari meja makan tatkala dia buat-buat sibuk menyusun perkakasan untuk makan. Berbunga hatinya melihat Teja melayan mamanya sebaik itu. Senyum-senyum sendiri jadinya.
Cepat-cepat Yurisa pura-pura fokus bila Teja datang ke meja makan dengan membawa sepinggan ika kara. Aroma yang menusuk hidung mengaktifkan rembesan jus gaster. Berkeriuk jadinya perut Yurisa. Mujur Teja tak dengar.
'Wow! Kemasnya awak susun semua ni' Teja memuji Yurisa. Kagum dengan ketepatan setiap susunan. Memang betullah perangai-perangai OCD (obsessive compulsive disorder) memang banyak dekat orang Jepun. Sesuatu yang baik, kalau keterlaluan jadi merimaskan juga.
'Mama saya orang Jepun OK..?' Yurisa berseloroh. Teja tertawa kecil. Dia tahu kalau setiap kali pun Pn Mariko akan menegur cara Yurisa menyusun dan menghidang makanan. Jadi, sebelum kena tegur, baik susun elok-elok. Tidak lama Pn Mariko datang dengan membawa mee soba. Teja cepat-cepat membantu mengangkat sup yang masih panas. Diletakkan di tempat yang telah ditetapkan Yurisa.
"Teja, jemput duduk" Ajak Pn Mariko sambil Yurisa menterjemah dalam bahasa isyarat. Teja mengangguk sedikit kemudian menarik kerusi dan duduk. Nampak sedap walaupun cuma mee dan sotong goreng tepung.
"Itadakimas.." Ucap Yurisa dan Pn Mariko serentak sambil tunduk menghormati rezeki yang ada di depan. Teja menadah tangan sedikit membaca doa makan seketika. Pn Mariko dengan mesranya meletakkan ika kara dalam mangkuk mee soba Teja. Teja senyum melebar sambil ucap terima kasih. Seperti biasa, Pn Mariko mahu bersembang dengan Teja, dan setiap itulah Yurisa perlu berhenti makan untuk proses penterjemahan bahasa isyarat. Teja jadi lucu melihat kesengsaraan Yurisa. Dan dia juga sengaja rancak bersembang dengan Pn Mariko. Sesekali Yurisa merenungnya tajam. Tak puas hati bila Teja laju menelan ika kara waktu Yurisa sibuk menterjemah. Dan Pn Mariko makin asyik bersembang hinggalah selesai makan. Seolah-olah tiada apa2 yang berlaku. Sungguh2 Teja menahan tawa melihat wajah muncung Yurisa. Pn Mariko menuju ke dapur semula untuk mengambil pencuci mulut.
'Kenapa makan tak habis lagi? Tak sedap ke?' Teja mengusik.
'Taklah, biar perlahan-lahan makan, cepat kenyang.' Yurisa beralasan hambar. Ada bahasa tubuh rajuk yang dapat dikesan Teja.
Perlahan-lahan, Teja meletakkan beberapa ika kara dalam mangkuk mee soba Yurisa. Yurisa terus mengangkat wajah terharu memandang Teja.
'Makanlah. Saya simpankan untuk awak. Terima kasih sudi pinjamkan telinga awak untuk saya.'
Yurisa menguntum senyuman manis lalu tunduk menyuap ika kara.
Pertemuan secara tidak sengaja dengan Teja, tidak disangka begitu mengusik jiwanya. Matanya terbawa pada adegan emosi bahasa isyarat seorang gadis dan Teja di pelepasan antarabangsa KLIA. Sedaya upaya dia tidak mahu mengambil tahu, tetapi matanya tetap mengerling adegan itu. Gadis itu merayu Teja, tetapi Teja cuma diam membatu menahan rasa. Kelebihannya memahami bahasa isyarat telah disalahgunakan sepenuhnya. Yurisa dapat melihat rajuk dan kekecewaan pada wajah Teja, walau cuma dari jauh. Selebihnya, dia tidak pasti apa yang berlaku pada adegan itu.
Waktu Yurisa berusaha keras menyusun beg di tempat penyimpanan yang tinggi, ada tangan dari belakang yang datang membantu menolak beg Yurisa untuk susunan yang lebih baik. Yurisa agak terkesima bila yang membantunya itu adalah Teja yang terlibat dengan adegan emosi tadi. Teja senyum nipis sambil meminta laluan untuk duduk di tempatnya betul2 disebelah tingkap. Di sebelah Yurisa. Yurisa juga duduk sambil ucap terima kasih pada Teja. Teja cuma angguk2 dan senyum.
Sepanjang penerbangan mereka berdua hanya diam. Teja melayan perasaan. Yurisa pula tidak berani memulakan perbualan. Terasa jantungnya berdebar-debar tidak keruan. Sesekali Yurisa perasan kalau Teja sembunyi2 menyeka air mata dengan jemarinya. Hati Yurisa jadi terusik melihat Teja begitu. Seakan-akan dia turut merasainya. Perlahan Yurisa menyuakan helaian tisu pada Teja. Perlahan-lahan Teja menoleh memandang Yurisa dengan mata yang masih merah. Terkejut sedikit dengan stranger yang rupanya dari tadi memerhatikannya. Yurisa mengambil tapak tangan Teja lalu diletakkan tisu dalam genggaman Teja. Teja jadi makin sayu, wajahnya dialihkan mengadap ke luar tingkap. Sedih, tapi malu juga menangis depan stranger. Air matanya makin menderas laju. Yurisa cuma diam menemani. Merenung belakang Teja yang masih menghadap tingkap. Terimbas adegan di KLIA tadi. Mesti gadis itu seseorang yang istimewa, sampai begini sekali parahnya. Antara isyarat terakhir yang sempat Yurisa tafsir,
'Awak kata awak sayangkan saya. Tapi kenapa awak tinggalkan saya'.
'
YOU ARE READING
Jangan Salahkan Sepi Itu (Vol.1)
Historical FictionSi bisu yang mendengar Terasa sampai dalam hati. 'Sayang, aku takut.' Tapi katamu; "Ayuh kita tempuhinya walau dengan perasaan takut" 'Sayang, apa kamu tidak gentar melupakan aku?' "Biarpun aku melupakanmu, tapi perasaan cinta ini takkan mungkin...