Teja memeluk Lisa perlahan dari belakang. Teja tahu, gadis itu jadi kaku. Terasa tubuh Lisa yang sedikit dingin. Salji yang turun diluar belum ada tanda mahu reda. Samar cahaya rembulan melimpahi susuk tubuh mereka yang diam berdiri di hadapan jendela.
Teja merapatkan dagunya ke bahu Lisa. Tubuh Lisa yang kecil dan rendah memudahkan Teja mengawalnya. Rangkulan dieratkan. Hangat. Bau harum tubuh Lisa menenangkan perasaan Teja. Haruman yang terlalu lama dirindukannya. Lisa cuma diam menahan rasa. Gementar. Berdebar. Belum pernah Teja memperlakukannya sebegitu. Namun dibiarkan Teja sebegitu. Dia juga rindukan Teja. Lisa menggenggam jemari Teja. Menariknya makin erat melingkari pinggangnya. Teja cuma menurut. Walaupun dia juga gementar. Matanya pejam, masih menikmati bau tubuh Lisa. Teja melepaskan nafasnya yang bergetar. Pelukan dileraikan. Di bawa perlahan tubuh Lisa menghadap ke arahnya. Dahi mereka bertaut lembut. Lisa masih gementar. Teja mengelus lembut rambut Lisa ; merasakan hangat nafas Lisa terhambur diwajahnya. Teja merangkul kembali lembut pinggang Lisa, rapat. Matanya masih merenung wajah Lisa, hening mata Lisa.
Bukan kepalang degupan jantung Lisa diperlakukan begitu. Dia tidak menyangka, perjalanan yang begitu jauh untuk menemui Teja, disambut dengan belai romantis Teja. Teja tak pernah begini. Adakah Teja sudah memaafkannya? Tidak rajuk lagi?
Teja menolak perlahan tubuh Lisa rapat ke dinding. Perlahan-lahan mengelus wajah Lisa sambil merapati tubuh Lisa. Kelopak matanya bergenang menahan rasa RINDU. Memeluk tubuh itu kembali. Erat. Lama. Ada esakan kecil yang gugur. Kedengaran jelas oleh Lisa di bahunya. Lisa cuma membalas pelukan Teja. Makin erat. Kencang degup jantungnya sama seperti Teja.
****
'Apa yang awak fikirkan?' Lisa bertanya memecah kesunyian.
Teja menggeleng. Masih bermain dengan rambut Lisa yang berbaring bersama; berhimpit di katil kecil Teja. Tenang wajahnya, sedamai hati menatap pujaan hati di depan mata.
'Kenapa awak cari saya?'Teja pula bertanya setelah berdiam lama.
Lisa mengetap bibirnya, masih gementar dengan jawapan yang bakal keluar daripada mulutnya sendiri. Satu nafas berat dilepaskan. Matanya dialihkan ke arah lain bila Teja mula merenung matanya. Lisa memerhati tubuh Teja yang lebih kurus berbanding sewaktu di Malaysia dulu. Benar kata-kata Sarah tentang Teja yang menahan rasa. Tentang kegilaan Teja dengan kerja-kerjanya, tentang obsesnya pada berlari. Lisa mengelus perlahan pipi cengkung Teja, mata yang dulu begitu cantik kini terlihat kesan kurang tidur dan keletihan. Ada kerinduan yang mendalam pada mata ini. Terlalu banyak rasa yang disimpan sendiri. Tertahan hingga menyesak dada.
'Kenapa awak lari dari saya?' Lisa bertanya; membiarkan pertanyaan Teja tadi.
Teja menarik nafas dalam. Jemarinya masih bermain dengan rambut Lisa. Lisa merenung Teja penuh penantian. Teja mengetap gigi menahan rasa.
'Awak lukakan hati saya. Sakit.' Balas Teja. Matanya berkaca merenung Lisa. Mata mereka bertaut. Terlalu banyak kesedihan dalam hati. Tapi semuanya perlu ditahan. Jangan dipamer. Kan dah biasa. Ahh!
'Awak cakap awak sayangkan saya. Tapi kenapa awak tinggalkan saya?' Lisa mengulang kembali soalan yang bertahun lama. Soalan yang tidak pernah dijawab Teja. Soalan yang di balas dengan pemergian dan terus meninggalkan Lisa sendirian teresak di lantai airport. Kisah lama yang membekas.
Teja mengalihkan matanya dari mata Lisa. Memang dia tidak punya jawapan. Tapi yang Teja pasti, dia adalah si pengecut yang tidak mahu berjuang mendapatkan cintanya sendiri. Membiarkan Lisa dengan orang lain. Si pengecut yang menunggu Lisa mencarinya. Mengharapkan bahagia datang bergolek!
'Sebab saya terlalu kecewa. Dan bodoh.' Lisa memerhati gerakan isyarat tangan Teja. Hatinya juga sebak melihat Teja sederita ini. Empangan matanya boleh pecah dengan hanya sekali kerdipan. Namun masih cuba ditahan.
'Saya minta maaf sebab buat awak sakit.' Lisa membalas sambil menggenggam erat jemari Teja. Air mata Teja tumpah lagi saat membaca gerak bibir Lisa. Dia benci betapa rapuh jiwanya kalau sebab Lisa. Betapa rindu pada Lisa buat dia selalu menangis. Terlalu rindukan Lisa sampai kalau tidur pun mahu mimpikan Lisa. Biarlah cuma dapat lihat dari jauh dalam mimpi. Kelibat dalam mimpi pun jadilah. Betapa tragisnya perasaan ini.
Lisa menarik lembut wajah Teja rapat ke dadanya. Memeluknya erat. Membiarkan Teja melepaskan rasa sepuasnya. Dan air mata Lisa turut menderas.
Wahai rindu yang sakit
Telah datang si pengubat
Si pengubat pujaan hati.
YOU ARE READING
Jangan Salahkan Sepi Itu (Vol.1)
Historical FictionSi bisu yang mendengar Terasa sampai dalam hati. 'Sayang, aku takut.' Tapi katamu; "Ayuh kita tempuhinya walau dengan perasaan takut" 'Sayang, apa kamu tidak gentar melupakan aku?' "Biarpun aku melupakanmu, tapi perasaan cinta ini takkan mungkin...