Bab 39

12.7K 243 7
                                    

Selepas keluar dari hospital tiga hari lepas, dia terus menyibukkan dirinya dengan kerjanya. Barang stok buku baru berturut-turut datang memenuhi kedainya. Projeknya bersama syarikat Tengku Afran, dia serahkan pada Johan untuk uruskan. Untuk sementara ini dia mahu melupakan lelaki itu. Dia belum bersedia untuk bersua muka dengan lelaki itu.

"Assalamualaikum..."

Zulaika yang leka memeriksa stok buku di sudut kedainya, menoleh sedikit. Kelihatan seorang lelaki berkemeja kemas dengan tangannya memegang bunga ros putih. Dia bingkas bangun lalu menghampiri lelaki itu.

"Waalaikumussalam...encik cari siapa ye?" Tanya Zulaika.

"Saya diarah untuk menghantar bunga ni pada Cik Zulaika yang kerja dekat sini,"

"Ye saya tapi...bunga ni dari siapa?" Zulaika berkerut dahi. Setahunya dia tidak mengenali banyak lelaki dalam hidupnya selain Johan dan Tengku Afran.

"Dari Tengku Afran. Boleh cik sain dekat sini?"

Zulaika terpaksa menurunkan tandatangannya di atas kertas yang dihulurkan itu. Bunga tadi kini bertukar tangan. Lelaki itu meminta diri selepas itu.

Bunga ros putih itu dipandang lama. Apa niat Tengku Afran memberinya bunga itu? Dia bukan benci tapi dia malas untuk masuk ke dalam permainan lelaki itu. Bunga itu diletak atas meja dan dia kembali ke tempatnya tadi.

"Siapa bagi bunga tu?"

Terkejut Zulaika dengan teguran Johan yang mungkin baru tiba di kedainya itu. Dadanya diurut perlahan.

"Awak ni suka sangat nak kejutkan orang! Mujur saya tak ada sakit jantung, kalau tak..." bebel Zulaika.

Johan tersengih. Tapi dia gelak sahaja dengar bebelan kawannya itu.

"Sorrylah..."

"Sorry sorry...tapi awak buat lagi!" Zulaika masih tidak puas hati.

"Aduhhh mak nenek dah marah dah!" Johan terus mengusik. Bibirnya tersenyum geli hati.

Zulaika menjeling bila dirinya dilabel mak nenek. Mak nenek kaulah! Pemadamnya diambil lalu dilempar ke arah Johan. Johan gelak besar. Mujur dia sempat mengelak tadi.

"Bunga tu siapa bagi? Tak sangka saya kalau awak ada peminat dalam diam. Yalahkan...awakkan dah cantik, comel pulak tu!"

"Bukan peminat sayalah! Afran yang bagi..."

"Amboi, suami yang bagi rupanya...so sweet!" Johan buat muka terlebih makan gula. Zulaika mencebik. Geram dia dengan Johan yang tidak henti mengusiknya.

"Macammana projek kita?"

"Projek kita dah almost settle. Tapi asal awak suruh saya berurusan dengan Tengku? Bagus awak yang uruskan. Kalau rindu tu cakap je lah awak rindu. Bukan salah pun..."

"Stop, Johan! Awak boleh tak jangan sebut nama dia?! Tak lawak pun!" Zulaika meraup mukanya.

Dia bangun lalu menuju ke kaunter. Langsung dia tidak endahkan Johan yang seperti termakan cili itu. Yalah...lawak lawak. Tapi lawaknya tadi tu tak lawak mana pun. Dia tidak mahu dengan Tengku Afran disebut. Dia mahu belajar untuk melupakan lelaki itu. Nanti atau esok atau lusa dan hari seterusnya, dia tidak tahu bila statusnya bertukar janda. Dia dah terima hakikat yang Tengku Afran tidak akan memilih untuk bersamanya.

"Awak jangan berfikiran negatif, Zulaika. Saya ni lelaki dan saya tau macammana baca hati dan perasaan Tengku. Sekalipun awak tak suka tapi percayalah Tengku tu dah mula sayang dekat awak. Dari hari pertama awak muncul depan dia selepas awak menghilang tu, dia dah cam awak. Saya tahu dia ikhlas bersama awak,"

"Tapi awak tak faham, Johan...apa yang dia cakap dekat saya dulu tu buat hati saya serba-salah. Dia nak ceraikan saya tapi janji tu lah buat saya masih bersama dia. Tapi saya dah langgar janji tu, jadi keputusan sepenuhnya ada pada dia," Zulaika meluahkan segala rasa hatinya. Dia masih ada rasa takut sekiranya Tengku Afran tiba-tiba memutuskan untuk meninggalkan dia seperti dahulu.

"Itu dulu...sekarang Tengku tu dah sayang dekat awak. Apa lagi awak nak sebenarnya? Buat apa lagi awak nak minta cerai kalau dia dah sayang awak?"

Johan berdiri sambil berpeluk tubuh. Tubuhnya disandar pada meja kaunter itu. Zulaika yang sibuk memeriksa catatan buku dipandang.

"Dari mana awak tau dia sayang saya? Saya sendiri tak nampak yang dia sayangkan saya. Dari dulu sampai sekarang, Afran tu hanya sayangkan Shira, isteri dia tu. Saya ni isteri atas kertas je!"

"Kalau dia sayang awak, apa awak nak buat?" Soal Johan sengaja menguji minda kawannya itu.

Zulaika jeda seketika. Namun tangannya masih membelek beberapa fail di meja kaunter itu. Entah mengapa dia rasa lain macam sahaja dengan pertanyaan Johan tadi. Betul ke Tengku Afran sayang dekat dia atau itu hanya lakonan semata-mata.

"Zulaika...saya kenal awak bukan sehari dua. Saya tahu hati dan perasaan awak. Dari dulu hingga sekarang hati awak tak berubah. Saya tahu awak masih cintakan Tengku. Awak tak ingat sebelum ni pun awak masih suka dekat Tengku tu. Jangan salah takdir sebab mempertemukan awak dengan dia tapi semuanya ada hikmah. Kalau tak sampai kesudah pun masalah awak dengan dia tidak ada penyelesaian," panjang lebar hujah Johan.

Zulaika terdiam dibuatnya. Dia nak lawan pun buang masa je. Lagipun kata Johan tadi ada benarnya. Sampai bila dia harus bersembunyi dan melarikan diri dari bersua muka dengan Tengku Afran? Sampai bila?

"Johan...macammana dengan awak?"

Pertanyaan Zulaika itu membuat Johan tersenyum nipis. Dia memahami maksud pertanyaan itu.

"Jangan risau pasal saya. Yang penting hati awak tu," balas Johan dengan wajah selamba.

Zulaika tersenyum hambar sebaik mendengar balasan kawannya itu. Dia tahu Johan kecewa tapi dia percaya Johan betul-betul mendoakan kebahagiaannya. Buktinya Johan menyuruhnya untuk menerima Tengku Afran dalam hidupnya.

"Awaklah kawan saya, Johan...dunia dan akhirat. Terima kasih sebab sudi berada di sisi saya waktu saya susah dan senang,"

Johan senyum kecil. Tangan yang memeluk tubuhnya itu dileraikan. Sebaliknya diletakkan atas meja kaunter itu. Sambil matanya memandang pada Zulaika yang juga memandangnya.

'Saya akan sentiasa di sisi awak untuk selamanya. Jika saya belum temui pengganti awak, saya akan doakan semoga kita disatukan di dunia lain,'

Bisik hati Johan yang terdalam.





Setia Bersamaku (Completed)Where stories live. Discover now