Kusut. Itulah yang dia rasakan saat itu. Fikirannya kusut dan buntu. Semuanya sebab perempuan bernama Zulaika itu. Tambah lagi ayahnya yang masih bertegas mahu menjodohkannya dengan pilihannya itu.
Tengku Afran meraup wajahnya kasar. Terdengar keluhan kecil dilepaskan. Hatinya ingin memberontak tapi dia masih ingat lagi nasihat dari Nazwan terhadapnya. Hubungannya dengan ayahnya agak renggang takkan dia nak hubungan mereka semakin jauh.
"Okey, sekarang ni apa masalah kau sebenarnya? Aku dah datang ni cepat kau cakap sekarang. Tadi kau yang beriya-iya nak suruh aku datang sini!"
Nazwan mula membebel. Bebelannya mengalahkan orang tua. Tengku Afran menjeling pada kawannya itu. Minuman kopi latte di depannya dihirup perlahan. Haruman kopi itu menusuk ke dalam hidungnya. Nazwan pula panasaran di tempat duduknya. Tak sabar nak dengar masalah kawannya itu.
"Kau masih ingatkan kenapa aku tak suka ayah aku tu?" Soal Tengku Afran kini memandang pada Nazwan yang sudi mendengar. Kepala Nazwan angguk sahaja. Tapi pandangan matanya fokus pada Tengku Afran.
"Bagus! Tapi sekarang ni ayah aku tu dah buat aku makin sakit hati. Ada ke patut dia jodohkan aku dengan anak kawan ayah aku tu. Katanya mereka dah lama kenal. Mestilah aku reject sebab aku tak kenal anak kawan ayah aku tu!" Mulut Tengku Afran semakin rancak berbicara tentang masalah yang dihadapinya itu.
"Okey, aku faham...tapi apa salahnya kau terima je? Kau beruntung tau dapat restu dari belah pihak," ujar Nazwan akhirnya bersuara.
Tengku Afran buat muka menyampah. Nazwan ni nak sangat merasa penumbuk dia ke?! Mana mungkin dia nak kahwin dengan orang gemuk macam Zulaika tu! Dia geleng kepala.
"Kau geleng ni dah kenapa?" Tegur Nazwan sambil mencapai cawan kopi cappucino dipesannya tadi lalu perlahan dihirupnya. Matanya mengerling sekilas pada Tengku Afran.
"Masalahnya...aku tak suka! Tak hinginlah aku kahwin dengan perempuan gemuk. Dahlah gemuk lepas tu terhegeh-hegeh pulak. Tak sedar diri..."
Nazwan sedikit keliru. Tapi bukan main lagi kawannya itu mengeluarkan kata cacian tadi untuk seseorang yang dia tidak kenali.
"Gemuk?! Maksud kau apa ni?" Tanya Nazwan sambil tangannya mengaru kepalanya yang tidak gatal itu.
Tengku Afran mendengus kasar. Itulah dia belum habis cerita terus bagi pendapat. Tahulah restu orang tua ni merupakan resepi kebahagiaan rumahtangga. Tapi hatinya tak suka pada Zulaika gemuk itu!
"Nama anak kawan ayah aku tu Zulaika. Kelmarin aku ada jumpa dia. Parents aku yang paksa kalau tak memang aku tak sudilah tengok orangnya. Orangnya gemuk. Tak cantik macam Shira! Lepas tu siap kata setuju nak kahwin dengan aku. Apa kau rasa bila jumpa perempuan gemuk macam tu? Aku panas hati dengan perempuan tu sampai tak nak bagi kerjasama dengan aku. Aku dah layan dia dengan cara baik tapi dia layan aku kasar," di hujungnya dia mengeluh. Entah dalam sehari ni berapa kali dia mengeluh dia pun tak ingat.
Nazwan tayang sengih. Memang lucu bila dengar masalah kawannya itu. Apalah rancangan ayah Tengku Afran itu nak jodohkan kawannya itu dengan perempuan gemuk? Sedangkan masih ada perempuan yang muslimah dan cantik di luar sana. Mesti ada sesuatu...
"Kau jangan sengih macam tu boleh tak?!" Marah Tengku Afran siap dengan jari telunjuknya ikut naik.
"Okey, okey! Tapi apa masalahnya dengan kau sekarang ni dengan Zulaika tu?"
Tengku Afran sakit hati. Punya panjang dia cerita tadi Nazwan boleh tanya dia soalan bodoh tu?! Sabar, Afran...sabar...Tengku Afran cuba menenangkan hatinya.
"Kau tak dengar ke apa aku cerita tadi?" Tanya Tengku Afran dengan wajah serius menghadap Nazwan.
"Dengarlah...tapi masalahnya kenapa kau benci sangat dengan Zulaika? Zulaika tu kan macam kau jugak dipaksa dan terpaksa. Mungkin dia ada sebab sendiri kenapa dia setuju nak kahwin dengan kau!" Ujar Nazwan siap dia betulkan tempat duduknya itu. Terasa rimas pula dia duduk lama-lama di dalam Coffee Bean itu. Pelanggan pun semakin ramai yang datang di situ.
"Tapi aku dah cakapkan tadi yang aku sama sekali tak ada hati dengan dia. Kau ni boleh tak jangan tanya soalan bodoh lagi?! Kau taukan hati aku ni hanya untuk Shira. Mana mungkin aku boleh lepaskan Shira pada orang lain, bro!" Tengku Afran nampaknya tidak puas hati dengan isu Zulaika tersebut.
Suasana tegang tadi bertukar sepi. Tambahan pula pelanggan di situ semakin banyak. Tengku Afran dengan Nazwan akhirnya membuat keputusan untuk beredar sebaik selesai membayar bil. Mereka berpisah dan berjanji akan bertemu esok hari di tempat biasa.
Tengku Afran memandu kereta Jaguarnya dengan kepantasan yang dia mahu. Lebuhraya diguna supaya dia sampai cepat di syarikatnya itu. Tepat pukul 8 pagi, dia sudah sampai di syarikatnya itu. Dengan pakaian kot hitam tersarung di tubuhnya, dia kelihatan begitu segak melintas di depan penyambut tetamu. Mata-mata perempuan tidak pernah lepas pandang dengan kehadirannya di situ.
"Selamat pagi, bos!" Sapa Nurin di tempat mejanya sambil berdiri.
Tengku Afran hanya melemparkan senyuman sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Baju kot hitamnya dibuka lalu digantung. Kerusi kulit itu ditarik lalu dia melabuhkan punggungnya di situ.
Diperiksa dokumen yang diterimanya semalam tentang laporan kemaskini projek di Panaga area di Kuala Belait. Projek itu dia laksanakan bersama dengan syarikat Emerald Construction yang sudi membantu untuk membina perumahan berkembar 2000. Dia mahu projek itu berjaya dengan jayanya. Dia sanggup lupakan makan minum petangnya dan cutinya hanya semata projek keduanya itu. Projek pertama dulu sudah siap iaitu merupakan pembinaan rumah kembar juga di Temburong.
"Bos, lupa nak bagitau yang hari ni bos ada meeting dengan Cik Kareena wakil dari Meega Sdn.Bhd berkenaan dengan kontrak perhubungan yang baru," jelas Nurin sambil menatap Ipad jenama Apple di tangannya.
"Pukul berapa dan tempatnya di mana?" Tanya Tengku Afran tidak mengalihkan pandangannya dari kertas kerjanya. Betapa dia fokus bila masa kerja.
"Jam pukul satu petang nanti dan Cik Kareena yang datang ke sini. Kertas kontrak tu saya dah sediakan awal. Nanti saya berikan pada bos untuk periksa lagi khuatir ada kesalahan kecil," ujar Nurin.
Tengku Afran mendongak sedikit memandang pada Nurin.
"Okey, that's it?"
"Yes, boss!" Nurin meminta diri selepas itu.
Tengku Afran kembali menyambung menyemak kertas laporan yang boleh tahan banyaknya. Dibaca teliti satu persatu. Entah mengapa fikirannya tiba-tiba teringatkan Shira. Sejak beberapa hari ini dia selalu menyibukkan dirinya sampai dia tidak ada masa nak fikir pasal Shira. Lepas mereka bertemu beberapa hari lepas mereka terus membuat haluan masing-masing.
Iphone 8 di atas mejanya dipandang lama. Entah mengapa hatinya tergerak mahu menghantar mesej pada perempuan itu. Dia mahu bertemu dengan Shira. Ada banyak perkara dia harus bagitahu pada perempuan itu. Hanya Shira sahaja yang akan menjadi isterinya. Titik!
YOU ARE READING
Setia Bersamaku (Completed)
Roman d'amourTengku Afran adalah seorang lelaki yang hidup penuh kemewahan dan suka berfoya-foya. Perangainya itu sungguh merungsingkan Dato Aydan dan Datin Rapiah yang akhirnya tekad mahu menjodohkan anak mereka dengan seorang perempuan bernama Zulaika. Zulaika...