[CIUMAN BOLA SEPAK]
**Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup, atau yang belum mampos-mampos. Segala persamaan hanyalah kebetulan.
BAB 31: DENDAM GORILA PADA KING KONG
"Kamu salah seorang pelajar yang mempunyai rekod terbaik di sekolah ni, Jeremy. Manakala Zaquan pula sering menimbulkan kekecohan. Kalau boleh kamu jangan rapat sangat dengan Zaquan dan Mikhail tu, cikgu tak mahu nanti kamu terpengaruh oleh mereka." Ujar cikgu Dzul dengan serius, menatap muka Kong yang membisu.
Pagi itu Kong dipanggil ke bilik guru disiplin kerana cikgu Dzul mengesyaki Kong tahu akan mereka-mereka yang ponteng kemudian lari ikut pagar belakang sekolah pada minggu lepas, meskipun dia tahu Kong tidak terlibat dengan aktiviti tersebut. Tetapi Kong membisu seribu bahasa dan hanya mengangguk saja sepanjang cikgu Dzul memberi ceramah.
"Jeremy, kalau kamu sayangkan kawan-kawan kamu itu, sudah tentu kamu tak nak mereka teruskan melakukan kesalahan dan abaikan pelajaran mereka, betul tak?"
"Saya tak tau apa-apa, cikgu."
Sememangnya cikgu Dzul agak kecewa dengan jawapan Kong, tetapi dia faham yang Kong seorang yang sangat mementingkan persahabatan dan kepercayaan. Kong tidak mungkin akan mengkhianati rakan-rakannya. Cikgu Dzul tidak mampu mendesak lagi akhirnya dia membenarkan Kong balik ke kelasnya.
Belumpun punggungnya selamat mendarat ke kerusi, jelingan mata Zan sudah menyambut kehadiran Kong.
"Apsal tadi?"
"Hmmmm pasal kes Vanila dengan Miki ponteng sekolah hari tu la... Cikgu misai tu tanya aku kalau-kalau aku tau apa-apa ke..."
Zan diam saja sambil menggelengkan kepala. Perhatiannya dialihkan semula ke depan, melihat apa yang sedang diconteng oleh cikgu atas papan hitam.
"Pssst... Agaknya si bontot kuali tu nak pegi mana tu har...?" Kong membisikkan soalan berkenaan kepada Zan bila terpandang Vanila yang dari kelas hujung blok berjalan melepasi kelas mereka. Ketika itu Vanila masih lagi berada dalam kelas tercorot sekali kerana pelajarannya yang diabaikan.
"Ermmm mana lagi kalau bukan ke tandas. Faham-faham la." Jawabnya selamba, seolah amat pasti dengan aktiviti yang bakal Vanila lakukan tidak lama nanti.
Kong segera mengangkat tangannya tetapi cepat-cepat ditahan oleh Zan.
"Kau ni apsal?!"
"Aku nak bagitau dia yang si misai tu dah aim dia sebagai target, suruh dia balik kelas, karang kena pulak dengan si misai tu."
"Karang tak pasal-pasal kau yang kena baru kau tau, bodo!"
"Selagi aku takde buat salah, takde apa yang aku nak takutkan. Ehem, cikgu? Boleh tak saya ke tandas sekejap?" Kong mengangkat tangan kanannya. Dia sempat tersengih ke arah Zan yang menjegilkan biji matanya, akhirnya terus berjalan keluar dari kelas setelah cikgu mengangguk memberi kebenaran.
Kalau boleh hendak saja Zan tarik si King Kong itu kemudian ikat ke tempat duduknya. Namun sudah terlambat untuknya membeli tali kerbau atau gam gajah kerana Kong sudahpun berlari-lari anak menuju ke tandas lelaki.
Setibanya di pintu masuk tandas pelajar lelaki, Kong terus meluru masuk ke dalam tanpa menoleh ke kiri kanan atau belakang. Didapatinya Vanila, Miki serta dua lagi pelajar dari kelas lain sedang membasuh tangan masing-masing. Bau asap tembakau menusuk lubang hidung sehinggakan Kong terbatuk.
"Kong...?"
Vanila agak terkejut bila melihat Kong yang tiba-tiba meluru masuk itu, dan bertambah terkejut pula bila cikgu Dzul menuruti dari belakang, lantas menepuk-nepuk bahu Kong dua tiga kali.
YOU ARE READING
Ciuman Bola Sepak
Teen Fiction[kisah zaman persekolahan yang penuh dengan suka duka; persahabatan, bola sepak, cinta, dan... kuasa ajaib??] "Saya suka kat awak, Kong... Hanya awak je hero Hindustan pujaan hati saya, muuuuuaahhhh..." Baby memanjangkan muncungnya, merapati wajah K...