Tahun 1969 : Mei Lin 18 tahun (Part 3)

251 20 3
                                    

"Tuan Zain, budak perempuan itu asyik berlegar-legar di sekitar sini, cuba Tuan Zain pergi tanya", kata Pak Syed seorang pekerja recam pejabat daerah kepada Tuan Zain, DO daerah Kota Setar.

Kebetulan di pejabat hanya tinggal mereka berdua sahaja, semua pekerja telah pulang kerana sudah melepasi waktu bekerja.

Kelihatan Mei Lin berjalan ulang alik di hadapan bangunan pejabatnya, Zain keluar menyapa Mei Lin.

"Kamu siapa, kenapa kamu berada disini?" tanya Zain.

Mei Lin bercakap seorang diri, kadang-kadang dia menangis, kadang-kadang ketawa, dia langsung tidak menghiraukan Zain dan Pak Syed.

"Macam tak betul sahaja budak Cina ni Tuan," kata Syed.

"Eh, jangan kata begitu, begini la hari ini aku pulang ke Kuala Nerang, aku akan hantar dia ke sana," kata Zain.

"Tuan Zain hendak pulang melawat Wan Jah ka? nanti singgah ke rumah saya sekejap, isteri saya hendak mengirim barang."

"Boleh, nanti aku ke rumah kamu dahulu, dah lama aku tak ke Kuala Nerang melawat mak cik," kata Tuan Zain.

Tamat waktu bekerja, Tuan Zain mengajak Mei Lin menaiki Volvo 164 miliknya.

"Nama kamu siapa, kamu ada keluarga disini? " tanya Tuan Zain.

Mei Lin masih bercakap seorang diri, kadang-kadang ketawa kadang-kadang menangis.

"Haish! kalau aku tinggalkan sendirian nanti diambil kesempatan oleh orang tidak bertanggungjawab, kesian juga. Tak tahu lah mak cik hendak menjaga budak perempuan ini atau tidak," omel Tuan Zain seorang diri sehingga dia tidak sedar dia sudah sampai di hadapan rumah Syed.

"Kamu duduk di dalam kereta jangan kemana-mana ya, sekejap sahaja aku ambil barang,"pesan Tuan Zain.

Kelihatan Isteri Pak Syed, sudah menunggu dengan mangkuk sianya.

"Nah Tuan Zain, langkah kanan kamu, kebetulan tadi Mak Siti masak pulut kacau untuk majlis tunang anak saudara Mak Syed, teringat pulak dekat Wan Jah. Ni ada lepat pisang jugak Mak Siti bekalkan buat minum petang, tuan kirim salam dengan Wan Jah ya, rindu Mak Siti dengannya, tuan pun jarang bawa dia ke mari," kata Kak Siti. 

"Nanti bila senang saya bawa mak cik ya, saya kena bergerak dulu saya perlu sampai sebelum Maghrib" kata Zain, rumah Wan Jah terletak di Kuala Nerang mengambil masa 40 minit juga untuk sampai dari Alor Star.

Wan Jah berusia pertengahan 60an merupakan ibu kepada Zain. Zain anak ketiganya, Zain mempunyai kakak Zubaidah yang telah berkahwin dan tinggal di Anak Bukit. Seorang lagi kakaknya Asiah telah meninggal dunia semasa kecil. Wan Jah tinggal seorang diri setelah kematian suaminya Hashim.

Wan Jah mempunyai seorang kakak iaitu Wan Besah. Wan Besah berkahwin dengan pengusaha makanan dan tinggal di Alor Star. Wan Besah tidak mempunyai anak lelaki, dia hanya ada dua anak perempuan, Mashitah dan Sufiah.

Sejak dari kecil, Zain tinggal dengan Wan Besah dengan alasan untuk bersekolah, kerana pada zaman 40-an sekolah cuma terdapat di kawasan Alor Setar. Wan Jah pula terpaksa mengikut Hashim suaminya yang bekerja di Jabatan Kerja Raya, berpindah randah ke ceruk-ceruk desa kerana suaminya perlu memantau kerja-kerja membina jalan bertar.

Walaupun kerinduannya terhadap anak lelakinya sangat menyeksa hati dan perasaannya, Wan Jah tabahkan jua hatinya untuk melihat Zain bersekolah dan menjadi orang yang berjaya.

Ibunya ada menasihatkannya supaya jangan meninggalkan Zain pada Wan Besah apabila Zain yang berumur 7 tahun ketika itu mula memanggil Wan Besah dengan panggilan mak dan Wan Jah pula di panggil mak cik. Disangkanya panggilan itu hanya ketika Zain kecil dan tidak memahami situasi sebenar.

Namun sangkaan Wan Jah meleset sekali, apabila semakin remaja Zain tetap memanggilnya mak cik dan semakin lama semakin menjauhkan diri darinya.

"Aku dah cakapkan Jah, jangan bagi Besah jaga Zain, Jamal laki si Besah tu memang nak sangat anak lelaki, Besah pula dah tak boleh mengandung sejak dia tumpah darah melahirkan Sufiah, dia takut sangat Jamal tinggalkannya jadi sekarang anak kau pun diambil jadi anaknya, dah la tu diajarnya pula Zain memanggil mereka suami isteri mak dan ayah. Bila aku nasihat degil, takkan pula mak bapa kandung dipanggil mak cik dan pak cik," regus Mak Embun ibu Wan Jah dan Wan Besah.

Dipandangnya Wan Jah yang menangis merintih nasib padanya. Dia sangat memahami sikap anak-anaknya, Wan Besah degil dan keras hati selalu ingin menang dan Wan Jah pula lemah lembut, baik hati dan selalu beralah.

"Nak buat macam mana mak, Jah nak Zain tu bersekolah, mendapat pendidikan untuk masa depannya juga," kata Wan Jah.

"Kalau begitu kau harus bersabar, yakin pada tuhan yang satu hari nanti Zain akan pulang kepadamu, berdoalah banyak-banyak doa ibu Allah makbulkan" kata Mak Embun lagi.

Wan Jah sejak dari tadi mengelamun teringatkan nasihat ibunya 30 tahun dahulu, cepat-cepat mematikan api dapur minyak tanahnya dan menuju ke ruang tamu.

Sejak tengahari dia memasak pelbagai makanan kegemaran Zain kerana dia tahu Zain akan pulang hari ini. 

Zain anak yang baik terlalu baik, dia cuba untuk membahagiakan kedua ibunya, satu ibu yang melahirkannya, satu ibu yang mengasuhnya.

Apabila Wan Jah memintanya memanggilnya mak, Zain serba salah kerana dia tahu hati Wan Besah akan terluka kerana Wan Besah awal-awal lagi berpesan agar Zain jangan memanggil panggilan itu kepada orang lain selain dirinya. Wan Besah mengajarnya memanggil Wan Jah, mak cik yang bermaksud emak kecil dan itulah panggilan dan pemahamannya sejak kecil.

Apabila membuka pintu rumah, Wan Jah terkejut, siapa pula gadis muda yang datang bersama dengan Zain.

Selesai bersalaman dengan Wan Jah, dia menyuruh Mei Lin masuk ke bilik tamu.

Zain duduk di bahagian beranda sementara Wan Jah masuk ke dapur membuat kopi untuk minum petang.

Tanah tiga ekar itu, penuh dengan pelbagai pokok buah-buahan ditanam oleh ayahnya Hashim. Buat anak cucu makan katanya malangnya Hashim meninggal tahun lepas kerana sakit tua, Hashim pada ketika itu sudah mencecah usia 70an. Dia mengharapkan Zain berkahwin sebelum dia menutup matanya namun hati Zain sudah tertutup untuk menikah kerana ditinggalkan Soraya, tunangnya yang lari dengan bekas kekasihnya di hari yang sepatutnya mereka bernikah. Walaupun kejadian itu berlaku sepuluh tahun dahulu, parutnya berbekas hingga kini.

"Mari minum Zain," kata Wan Jah.

Sambil mereka duduk Wan Jah bersuara, "kau tak ingin ceritakan tentang budak perempuan yang datang dengan kau tadi,"

Zain bercerita panjang lebar bagaimana dia dan Pak Syed bertemu Mei Lin.

"Begitulah ceritanya mak cik, rasa apa yang tak kena dengan budak tu ya, kesian pula kalau Zain tinggalkan di sana takut ada yang berbuat tidak baik kepadanya," kata Zain

"Tidak apa bagus juga buat peneman aku di sini," kata Wan Jah tersenyum, wajah dan perwatakan anak lelakinya itu sangat mirip arwah Hashim, sopan santun dan baik hati orangnya.

Seperti kebiasaan selepas makan malam dan solat Maghrib, Zain bersiap untuk pulang ke Alor Star.

"Kau tidak mahu bermalam di sini Zain," tanya Wan Jah.

"Tak apalah mak cik tidak elok saya lama-lama disini, nanti apa dikata orang, rumah mak cik sudah ada anak dara," kata Zain memandang kearah Mei Lin.

Wan Jah tersenyum kelat, dia tahu itu bukan alasannya, Wan Jah tahu Wan Besah tidak membenarkan Zain bermalam di sini ada sahaja alasan yang diberi. Wan Besah sangat mengawal pergerakan Zain.

Soraya bekas tunang Zain lari dahulu pun disebabkan tidak tahan dengan sikap Wan Besah yang terlalu mengawal Zain untuk kepentingan dirinya dan keluarganya, akhirnya dia lari dengan bekas kekasih yang datang menjanjikan bulan dan bintang.

.............................###.................................
Note: DO tu untuk district officer, mangkuk tingkat di kedah dipanggil Sia. Pulut kacau tu wajik

MEI LINWhere stories live. Discover now