Tahun 1970: Mei Lin 19 tahun

241 17 3
                                    

Ah Soo membelek-belek gambar anak-anaknya. Gambar ini diambil ketika mereka masih kecil. Kehidupan mereka amat susah di saat mereka dilahirkan, Tanah Melayu atau dipanggil Malaya ketika itu masih lagi dibawah perintah Dharurat(1948 - 1970) akibat daripada aktiviti gerila komunis yang merosakkan harta benda, melumpuhkan infrastruktur, membunuh pekerja hingga ke pemilik ladang dan lombong menyebabkan kerajaan sangat berwaspada pada orang-orang Cina kerana Parti Komunis Malaya ini pada berasal dari Parti Komunis Cina.

Makanan dicatu bahkan kesusahan itu bukan hanya ditanggung oleh orang-orang Cina malahan orang-orang Melayu menjadi dendam bila mana tanah-tanah pusaka mereka dirampas untuk dijadikan penempatan semula orang-orang China tanpa dibayar pampasan oleh penjajah British.

Air matanya tumpah disaat memandang gambar Ah Boon dan Mei Lin. Ah Boon telah pergi selama-lamanya dan Mei Lin pula sudah 6 bulan hilang entah ke mana tanpa khabar berita.

Beberapa kali dia memaksa Ah Huat melaporkan kepada polis, namun Ah Huat menasihatinya agar bersabar.

"Mei Lin sudah berusia 18 tahun, Ah Soo, bagaimana jika polis menjumpai Mei Lin namun dia tidak mahu kembali kepada kita, dia sudah besar kita tidak boleh memaksanya lagi, nanti tahulah dia pulang bila sampai waktunya," kata Ah Huat.

Petang tadi, Cikgu Salamiah datang menyerahkan surat tawaran ke Universiti Malaya kepada Ah Soo. Pihak sekolah membantu mengisi borang setelah melihat keputusan peperiksaan Mei Lin yang cemerlang.

"Harap-harap Mei Lin pulang sebelum kemasukkan pada bulan Mei nanti," kata Cikgu Salamiah.

Pihak sekolah pun tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku, semasa Mei Lin melarikan diri, rakan-rakan sebiliknya juga sakit-sakit. Lama juga mereka dibawa berubat oleh keluarga masing-masing sebelum sembuh sepenuhnya.

"Apa kau menungkan lagi Ah Soo, sudah-sudahlah teringatkan Mei Lin, pandailah dia hidup di luar sana, kita masih mempunyai dua orang anak lagi yang memerlukan perhatian kita" kata Ah Huat.

Dia tahu Ah Soo menyesali perbuatannya yang terburu-buru menghalau Mei Lin dahulu, dia sudah diberitahu oleh ketua kampung bahawa PKM merupakan dalang kepada kejadian yang berlaku kepada Ah Boon. Namun nasi sudah menjadi bubur, perangai Mei Lin sangat mirip kepada sifat isterinya itu, dia sangat cekal namun degil sekali, Ah Huat tahu bukan senang-senang Mei Lin akan memaafkan Ah Soo dan kembali ke pangkuan keluarga.

Berbalik kepada peristiwa pembunuhan Ah Boon, pada 31 Julai 1969, kerajaan pusat mengeluarkan laporan rasmi tentang kejadian 13 Mei 1969 jumlah kematian 196 orang, 4399 orang cedera dan 9,143 orang diberkas dan dituduh dimahkamah.

Ketua kampung dan Mat Piah datang menemui Ah Soo dan Ah Huat. Abu dan Mat Deris ditahan polis setelah didapati berkomplot dengan saki baki komunis di sempadan.

Rupanya selama ini Abu merupakan penyeludup bekalan makanan dan senjata api kepada komunis di sana mengunakan bot-bot nelayan. Dia pandai memancing nelayan-nelayan dengan memberi hutang untuk mereka membeli atau membaiki bot sedia ada, imbuhannya mereka harus membantu menyeludup bekalan dari Kuala Kedah ke Kuala Perlis. Bekalan-bekalan itu diletakkan disuatu kawasan di sana sebelum diambil oleh gerila komunis.

Polis dan tentera mengawal jalan darat dengan ketat, maka mereka mengunakan jalan air bagi mengelak dari tertangkap. Pihak berkuasa tidak mensyaki apa-apa kerana selama ini Kuala Kedah bersih dari pengaruh komunis.

Apabila pilihanraya dijalankan pada 10 Mei 1969, parti pembangkang beroleh kemenangan dibeberapa tempat dan parti perikatan yang memerintah mengalami penurunan jumlah undi. Hal ini membuatkan orang Melayu merasa terancam.

PKM yang telah lama menjalankan helah liciknya dengan melakukan propaganda bahawa kerajaan yang terbentuk selepas merdeka tidak mampu memimpin dan menjaga kebajikan rakyat dengan baik, orang-orang PKM berbangsa Cina dan Melayu menusup masuk ke parti-parti politik, meniupkan semangat perkauman semasa kempen-kempen politik.

MEI LINWhere stories live. Discover now