Mysara telah meningkat usia hampir 4 tahun, keletahnya yang comel menarik perhatian sesiapa sahaja.
" Anak kau ini macam kuih pau, geramnya auntie," kata Meena sambil mencuit pipi Mysara.
Ketika itu Maryam membawa Mysara ke sekolah untuk satu latihan tarian sempena hari kebangsaan. Sekolah Menengah Persendirian Hong Luan terpilih untuk mempersembahkan tarian ketika sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, perkara ini membuatkan Maryam teruja kerana dia tahu dia dapat bertemu Ah Yan yang bekerja di Hospital Kuala Lumpur, Ah Yan menceritakan dia mempunyai kawan lelaki yang ingin diperkenalkan kepada Maryam. Kawan lelakinya ini bekerja sebagai doktor perubatan di sana dan berasal dari Melaka.
Mysara berlari-lari di badminton court dan terjatuh lalu menangis, Maryam bergegas ke sana dilihatnya Rosalind sedang memujuk Mysara.Rosalind isteri kepada Hong Guan menjadi rapat dengan Maryam selepas peristiwa dia datang ke sekolah menyerang Maryam yang disangkanya ingin memikat Hong Guan selepas diapi-apikan oleh oleh Julie. Selepas Hong Guan menerangkan siapa Maryam, dia menjadi simpati kepada Maryam kemudiannya menjadi sahabat Maryam, masing-masing mengadu nasib masing-masing, Rosalind berketurunan Baba dan Nyonya kadang-kadang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran masyarakat Cina di Kedah kerana budaya yang berlainan. Maryam pula kerana memilih islam dan berkahwin dengan orang Melayu dia menjadi tersepit antara dua bangsa ini.
"Mari auntie tengok, oh sikit sahaja ini," ditiupnya tangan Mysara yang tergores pasir tadi lalu dia mengambil sapu tangan dan diikatnya ke tangan Mysara. Mysara berhenti menangis, dia memandang ke muka Rosalind dan memeluknya. Rosalind mendukung Mysara dan dia berjalan ke arah Maryam. Rosalind sangat menyayangi Mysara kerana dia tidak mempunyai anak perempuan. Anak lelakinya Robert sedang belajar di UK merupakan satu-satunya anaknya.
"Hello Maryam, Meena, macam mana latihan susah tak tarian Dondang Sayang dan Jingling Nona," tanya Rosalind.
"Baik sahaja madam, semua berjalan lancar, para pelajar boleh mengikuti gerak tari itu," kata Meena.
Rosalind merupakan penasihat kareografi mereka untuk beberapa jenis tarian.
Kumpulan tarian Sekolah Menengah Persendirian Hong Luan merupakan pemenang kebudayaan sekolah menengah peringkat kebangsaan pada tahun ini, mereka akan membuat persembahan untuk pembukaan dan penutupan acara sambutan kemerdekaan.
Inilah keistimewaan Sekolah Menengah Persendirian Hong Luan di mana pelajar-pelajarnya bukan sahaja perlu mempunyai asas akademik yang kukuh malah para pelajar digalakkan menyertai aktiviti seni sebagai cara mengenali budaya dan tatacara bangsa lain. Berpegang pada moto ini Sekolah Menengah Persendirian Hong Luan menjadi antara sekolah yang cemerlang dari segi akademik sebaris dengan kolej dan sekolah elit yang lain dan gemilang dari segi persembahan seni budaya sehingga menjadi kumpulan tarian yang dipanggil oleh istana Kedah untuk membuat persembahan tarian setiapkali tetamu terhormat dalam dan luar negara datang. Malah Menteri Besar Kedah juga memberi pelbagai peluang mereka membuat persembahan tarian semasa majlis-majlis rasmi di Kedah.
"Ini adalah initiatif yang bagus untuk memupuk semangat muhibah dikalangan generasi muda, kita dapat melihat pelbagai bangsa Melayu, Cina, India dan Siam sama-sama didalam satu kumpulan. Saya berbangga di negeri Kedah ini Sekolah Menengah Persendirian Hong Luan telah dulu memulakan inisiatif ini, pihak kerajaan negeri akan membantu dari segi dana agar usaha ini dapat diperluaskan ke seluruh negeri seterusnya hingga ke peringkat negara", ini antara ucapan Menteri Besar Kedah semasa kumpulan tarian mereka membuat persembahan di salah satu majlis anjuran kerajaan negeri.
Pelajar-pelajar masih berlatih menari ketika Mysara merengek hendak makan.
" Kau pergilah makan dengan madam, biar aku sahaja yang tengokan mereka," kata Meena.

ANDA SEDANG MEMBACA
MEI LIN
CasualeKisah hidup seorang Mei Lin @ Maryam Mei Lin tahu apa yang diingini hatinya, dia tidak menolak kebenaran itu, sejak kecil rasa ingin tahu mengheretnya untuk terus mencari sehingga usianya 18 tahun, dia terus nekad memeluk islam. Namun tragedi yang...