Tahun 1972-1973 : Mei Lin 21-22 tahun (part 3)

196 14 8
                                    

Wan Jah dan Zain sudah mula membuat persiapan untuk kenduri kahwin dengan membeli barang-barang untuk masakan.

Penduduk kampung telah mula membina bangsal berbumbung zink di bahagian tepi dan hadapan rumah arwah Hashim di Anak Bukit sejak seminggu lalu. Bangsal di bahagian tepi rumah untuk memasak dan menyediakan lauk pauk, manakala di hadapan rumah untuk para tetamu menikmati juadah. 

Mashitah dan anak-anaknya sedang sibuk membuat bunga telur daripada tisu. Zubaidah pula sibuk menghias pelamin dan bilik pengantin dengan persalinan cadar, tirai dan hiasan yang digunakan sejak turun temurun ketika ada majlis perkahwinan di dalam keluarga. Wan Besah membawa kuih bahulu dan kuih bakar yang telah dibuatnya sejak minggu lalu.

Di ruang tamu disusun pelbagai hantaran hasil kerja tangan saudara mara mereka, terdapat halwa maskat, gubahan buah-buahan, gula yang dibungkus berbentuk manggis dan macam-macam lagi.

Sanak saudara dan rakan-rakan Zain tidak putus-putus datang membantu dan menghantar pelbagai jenis barangan untuk kenduri.

Hari yang dinanti telah tiba, kelihatan orang-orang masjid sedang melapah daging lembu. Lembu itu telah sampai dari Perlis sejak semalam dan diikat di pohon nangka berdekatan dengan bangsal. Pak Syed dan beberapa orang lelaki seusianya sedang memasak nasi minyak di bangsal di tepi rumah. Kaum wanita yang  memenuhi di dapur sedang memotong bawang, timun, chili dan nenas. Riuh rendah suara mereka usik mengusik dan bergelak ketawa, waktu kenduri kendaralah waktu yang sentiasa dinanti untuk mereka berkumpul. Kanak-kanak berlari riang ke sana sini dimarah oleh Pak Syed ketika mereka berlari agak berhampiran dengan kawah nasi.

Matahari telah berdiri tegak di kepala menandakan sudah sampai waktu tengahari, para jemputan telah memenuhi sedikit demi sedikit ruang bangsal di hadapan rumah.

Tepat pukul 2 petang, kedua mempelai telah siap dengan sepersalinan songket berwarna merah tua berarak masuk dengan iringan bunga manggar dan kompang. Zain dengan pakaian lengkap seperti seorang putera raja dan Maryam cantik berbaju kebaya seperti puteri zaman silam.

Mereka kemudian duduk di dua buah kerusi yang diletakkan dihalaman rumah untuk pasangan pengantin sebelum pencak silat dipersembahkan, kemudiannya mereka diiringi ke pelamin diruang tamu rumah untuk bersanding.

Nasi minyak, nasi putih dan lauk pauk kampung dihidang kepada tetamu didalam talam, tetamu yang datang tidak putus-putus sejak tadi menyebabkan Pak Syed dan yang lain-lainnya sibuk memasak. Mereka sedang sibuk menyediakan  gulai batang pisang dengan tulang lembu yang sangat terkenal di negeri Kedah ini. Kebiasaan ketika kenduri kendara orang kampung bukan sahaja turut datang membantu malah mereka juga membawa pelbagaian bahan hasil tanaman mereka untuk diberi kepada tuan rumah antaranya batang pisang, umbut kelapa, rebung, nangka, ulam-ulaman, buah-buahan serta sayur-sayuran. 

Amran, Basher, Mahmud dan Hong Guan duduk bersama di bahagian bangsal lelaki.

"Hai, kawan kita itu kahwin akhirnya," kata Amran.

"Bertuah Zain, Maryam itu baik dan berdedikasi orangnya," kata Hong Guan kagum dengan komitmen yang Maryam berikan selama lima bulan dia mengajar di Hong Luan, namanya menjadi sebutan pelajar-pelajar, tahap lulus ilmu hisab juga makin bertambah.

" Oh ya, Maryam mengajar ditempat kau kan, bertuah Zain," kata Basher.

"Kau bila lagi Basher, adikku Julie nak kan kamu, kamu yang jual mahal," ketawa Hong Guan.

" Eh bagaimana rawatan adikmu di Singapura," tanya Basher.

" Sebenarnya aku pun tak pasti, sudah tiga kali dia ke sana, setiap kali pulang apabila berada di rumah penyakitnya akan datang kembali," kata Hong Guan.

MEI LINWhere stories live. Discover now