DHA_8

532 33 29
                                    


MEREKA bertiga berjalan beriringan masuk ke perkarangan sekolah. Seperti biasa, perjalanan mereka pasti akan diiringi dengan perbualan-perbualan mesra sesama mereka. 

Aaira Khayla, nyata sudah semakin selesa. Setiap hari dia akan ke sekolah bersama Aina Delisha dan juga Nabella Areyn.

Sebenarnya, dia sendiri masih tidak percaya yang dia benar-benar telah mengikut kata hatinya.

Selama ini, dia selesa mengasingkan diri, menjadi beku dan hanya buat tidak peduli dengan persekitarannya. Walaupun dia selesa, namun tetap ada sesuatu yang sering bergelodak dalam dirinya.

Dia sedar, sudah sangat lama dia menjadi 'orang lain'. Aaira Khayla yang sebenar, dia tanam kemas jauh ke dalam sanubarinya.

Tetapi, dia sendiri tetap tidak mampu  menafikan. Batinnya, seringkali memberontak. Dia mahu menjadi dirinya sendiri. Dia sudah terlalu rindu. Rindu untuk menjadi diri sendiri. 

Sentiasa punya kawan-kawan dan sering beriadah dan aktif di sekolah. Sifat ramahnya dulu, acapkali mahu terhambur keluar.

Seksa!

Sungguh seksa menahan rasa juga memendam segala keinginan. Lebih teruk apabila terpaksa menjadi 'orang  lain'.

Teruk, sangat teruk!

Tapi, kini dia sudah kembali merasa bebas. Dia sudah mula kembali dengan kehidupannya seperti dulu.

Suka, ceria dan bahagia.

Bahagia?

Satu perkataan itu telah menimbulkan satu rasa yang sukar dia gambarkan.

Benarkah, dia mampu berbahagia?  Layla Tasnim macam mana?

Bukankah, sepupunya itu telah  bersumpah tidak akan membiarkan dia mengecap bahagia?

"Aaira, cepatlah." Aaira Khayla tersentak. Dia terus pandang sekeliling.

Aduh, boleh pula dia berangan. Padahal pelajar lain sudah mula bergerak ke kelas masing-masing mengikut barisan.

Sekilas, Aaira Khayla terpandangkan beberapa orang pelajar perempuan di barisan sebelah yang sedang menanti giliran untuk bergerak. Mereka sedang rancak berbisik-bisik.

Yang tak sedapnya, mata mereka tajam memandang ke arahnya.

Aaira Khayla cuba bersangka baik. Dia cuba memerhati sekeliling yang berdekatannya.

Namun, masih juga dia yakin mereka sedang memandang ke arahnya. Apa lagi ni? 

Aaira Khayla cuba mengendahkan. Dia tarik nafas dalam-dalam. Dia tak ada melakukan sebarang kesalahan, kenapa perlu dia merasa bersalah?

Jadi, dia abaikan sahaja. Tidak penting!

***

SEBAIK sampai ke dalam kelas, Aaira Khayla terus duduk di tempatnya. Kejadian tadi, cuba dilupakan sahaja walaupun bayangan itu masih terakam kemas di fikirannya.

Aaira Khayla terus sahaja berusaha menyibukkan dirinya. Dia buka beg sekolah dan dikeluarkan buku-buku dan disusun ke dalam laci mejanya.

Tiba-tiba...

Berkerut dahinya. Ada sekeping kad kecil di dalam sampul yang terletak  elok di dalam laci mejanya.

Siapa punya?

Lekas dia mencapai. Tulisan di sampul itu dibaca dalam hati.

Dia Hero Aku Where stories live. Discover now