DHA_27

535 25 2
                                    


LAYLA Tasneem sedari tadi meramas-ramas kedua belah tangannya. Dia merasa amat gelisah. Dia tahu, masa-masa begini biasanya Syed Zaheen akan melalui kawasan ini untuk menjalankan tugasnya.

Sejak kejadian tempoh hari, dia belum berpeluang bertemu empat mata dengan Syed Zaheen. Kalau ada pun mereka terserempak, Syed Zaheen pasti akan menarik muka. Ah, pasti Syed Zaheen marah kepadanya. Jadi, dia mahu memberikan penjelasan.

Dia harus membela dirinya. Semua yang dilakukan selama ini bersebab. Bukan saja-saja. Cuma mereka yang tak faham!

Jam di pergelangan ditiliknya lagi. Terasa lama pula dia menunggu Syed Zaheen. Biasanya, waktu begini Syed Zaheen pasti sudah sampai.

Keluhan dilepaskan, sesungguhnya penantian benar-benar satu penyeksaan.

Tapi, penantiannya berhasil juga. Tidak jauh dari tempat dia berdiri, dia sudah dapat melihat kelibat Syed Zaheen bersama Afiq Mikhael.

Seperti biasa, saat mata Syed Zaheen mengesan sahaja kehadiran Layla Tasneem di situ, riak wajahnya terus bertukar kelat.

Kalau boleh, dia memang tidak mahu lagi bertembung dengan Layla Tasneem. Hatinya masih lagi terasa dengan setiap yang telah Layla Tasneem lakukan.

Memandang Layla Tasneem, seolah melihat ke layar putih yang sedang menayangkan setiap kebodohan yang telah dilakukan.

Kepala digelengkannya.

Dia melepasi Layla Tasneem tanpa memandang sedikit pun ke arah gadis itu. Lebih baik begitu.

Tapi...

"Zaheen..." Langkahnya terhenti apabila mendengar Layla Tasneem memanggilnya dengan suara yang teragak-agak.

Dia lepas lagi keluhan. Tidak percaya yang dia tidak meneruskan sahaja langkahnya. Kenapa perlu dia berhenti melangkah hanya kerana mendengar Layla Tasneem memanggilnya?

Adeh!

Melihat Syed Zaheen mematikan langkah, Layla Tasneem sudah mengukir senyuman bahagia.

Cepat-cepat langkah diatur untuk mendekati Syed Zaheen, dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia yakin, jika dia terlepas peluang ini, pasti dia tidak akan menemui peluang yang sama lagi nanti.

"Zaheen..." Dia berdiri betul-betul di belakang Syed Zaheen. Berharap Syed Zaheen akan menoleh dan memandangnya. Tapi, hampa. Hanya Afiq Mikhael seorang yang berpaling.

Dia telan air liurnya. Dia sudah tahu, bukan mudah untuk dia mendapatkan kepercayaan Syed Zaheen lagi. Tapi, tak salah kalau dia mencuba. Mana tahu, Syed Zaheen adalah orang yang boleh memahami dirinya?

Dia kuatkan tekad. Nafas ditarik dalam.

"Aku just nak say sorry, aku tahu kau mesti marahkan aku, kan?" Masih teragak-agak dia menuturkan ayat.

Dia menunggu sejenak, kalau-kalau Syed Zaheen mahu membalas kata-katanya. Tapi, Syed Zaheen hanya terus mendiam.

"Zaheen, aku mengaku semua yang aku cakap pasal Aaira tu, semua bohong... tapi aku buat semua tu bersebab. Aku harap sangat kau boleh faham aku." 

Afiq Mikhael hanya memerhati sahaja. Layla Tasneem dengan muka yang sedang meraih simpati, manakala Syed Zaheen pula sudah tegang riak wajahnya.

"Zaheen, please say something..." Saat itu, Syed Zaheen terus berpaling.

Dia pandang wajah Layla Tasneem yang penuh dengan kesayuan itu.

Ah, kalau Layla Tasneem fikir dengan menjual muka kesian itu akan memperdayakan dirinya lagi, maka dia silap besar!

Dia Hero Aku Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang