"Nopal!" panggil Ahmad tatkala menapak ke dalam rumah Zack. Tangannya sedang dipimpin Salman, maka tak bolehlah si cilik itu memeriksa setiap bilik di rumah berkenaan bagi mencari Naufal.
"Nopal?" panggil Ahmad lagi di tengah-tengah laman ruang tamu. Dia terpinga-pinga apabila Naufal tidak menyahut. Kepalanya mendongak memandang Salman yang sedang bersembang bersama-sama Zack.
Zack tersedar dirinya sedang dipandang dari bawah menghentikan perbualan. "Naufal tidur dengan ummi dia. Lupa nak beritahu." Dia tersenyum nipis melihat Ahmad menjuihkan bibir.
"Duduklah dulu, Man. Aku pergi buat air," ujar Zack sambil mencubit perlahan pipi tembam Jannah. Bayi perempuan itu utuh di dalam dukungan Salman. Senyumannya manis sekali apabila Zack berbuat begitu. Raut wajah Salman versi perempuan memang diwarisi Jannah.
Ahmad mengikut langkah Salman ke sebuah sofa empuk. Dia mendaki sofa itu dan duduk bersebelahan Salman. Tangannya ditongkatkan pada peha ayahnya.
"Lain kali ya adik main dengan Naufal," ujar Salman kepada Ahmad.
"Takpe. Nopal kecil lagi. Mesti dia tengah minum susu dengan ummi dia. Adik dah besar," jawab mulut kecil itu.
"Yeke dah besar?" Salman meriba bayi Jannah. Tangannya sibuk membaiki headband bunga kuning pada kepala anak itu. Rambut lebat milik Jannah telah ditocangkan Aisyah di kiri dan kanan. Comel sekali dipandang apabila tocang itu tergoyang tika dia melonjak gembira.
"Besar sikit..." sengih Ahmad Yusuf hingga menampakkan barisan gigi susunya yang jarang. Namun, satu pun tidak rosak kerana dijaga baik oleh Salman. "Tapi... Tapi adik tak nak besar. Nanti ayah suruh adik tidur sorang-sorang."
Tak habis lagi isu tidur berasingan. Ahmad tetap ingin menempel dengan Salman ketika melelapkan mata. Salman hanya menggeleng dengan sikap anak bertuah seorang ini.
Bayi Jannah suka apabila Ahmad melayannya. Matanya bersinar-sinar melihat Ahmad melarikan dua jari pada lengannya.
"Firash, baru sampai?"
Kehadiran seorang wanita setengah abad yang bertudung litup membuatkan Salman bingkas berdiri. Pemuda itu mengangguk kecil mempersilakan wanita itu mengambil tempat di sofa hadapannya.
"Mak cik bila sampai ni?" soal Salman dengan manis senyuman. Ibu kepada Najla agak rapat dengannya. Tak mustahillah semua pekerja di restoran masakan Thailand itu mengenali Salman kerana tuan kedai itu sendiri memang mengenalinya.
Puan Asma senang melihat Salman Firash hadir di rumah itu. "Makcik baru je sampai pagi tadi. Ingat nak tengok Najla je tapi dia macam tak sihat lagi. Kesian dia. Mak cik bercadang nak duduk dekat rumah ni seminggu dua untuk jaga Najla."
"Oh, macam tu." Salman menjatuhkan kepala beberapa kali. "Adik, salam dengan nenek."
Kekura tangan Puan Asma disambut Ahmad. Dia menyalam tangan tua itu dengan membawa wajah sedikit menunduk. Rambutnya diusap Puan Asma lembut. Tingkah laku Ahmad yang sopan dikagumi nenek itu.
"Siapa ajar salam macam ni?" soal Puan Asma kepada Ahmad.
"Ayah." Ahmad menoleh memandang Salman di belakangnya.
"Kenapa? Salah ke?" Salman mula cemas. Dia tahu keluarga mertua Zack ini memang beragama orangnya.
Puan Asma tersenyum kecil. "Mana ada. Cuma sesetengah budak akan salam dan tarik tangan untuk berlaga dengan dahi dia. Tapi Ahmad pula dia yang akan menunduk. Pandai ya cucu nenek."
Salman menghela nafas lega.
Sejug air teh ais dihidangkan ke atas meja kopi. Cawan di dalam dulang ditelangkupkan Zack satu per satu sambil diperhatikan ibu mertuanya. Dia buat tidak endah dengan pandangan itu lalu berura-ura mahu tuang air.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
ActionBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...