Nampaknya kesan ubat pelali sudah berkurangan. Empat jam berlalu sejak Najla dibawa keluar dari bilik bedah. Gadis itu disahkan stabil lalu ditempatkan di wad biasa apabila dia sedar. Kudratnya masih tidak banyak lalu Najla memilih untuk merehatkan diri hingga dia terdengar suara suaminya.
Najla membuka kelopak mata perlahan-lahan. Wajah pertama yang terlihat ialah raut sang suami. Dia mendiamkan diri sahaja kerana Zack seakan sedang sibuk bercakap dengan seseorang di hujung talian.
Nafas dalam ditarik. Alhamdulillah, dia masih dikurniakan nyawa walaupun sebelah ovari telah dibawa keluar. Hanya bahagian kanannya sahaja masih berfungsi elok untuk penghasilan hormon wanita.
Matanya melihat wajah Zack lalu tersenyum kecil.
Zack yang bertaut mata dengan Najla segera mematikan panggilan. Dia merapati gadis kesayangannya. Telefon di letak tepi, masalah turut terbuang jauh. Dia hanya mahu menjaga Najla saat itu.
"Awak okay?" soal Zack.
Najla mengangguk kecil.
"Baguslah." Zack menghela nafas halus. Lelaki itu menyembamkan wajah pada bahu Najla. Tangannya naik mendakap badan gadis itu. Pelukannya tidak kuat, sekadar hanya meletakkan lengan. Zack tahu Najla masih sakit dan perlu berehat.
Dia menggeleng perlahan bagi melupakan masalah di restoran. Biarlah Haikal nak buat apa pun, hatinya tiada di tempat kerja.
"Awak kenapa ni?" bisik Najla. Nadanya sentiasa lembut kedengaran pada Zack. Dengan mendengar suara gadis itu sahaja, hatinya menjadi tenang.
"Takde apa. Saya cuma nak duduk dengan awak. Dekat luar sana banyak sangat masalah." Tubir matanya berair dalam senyuman.
Zack mendiamkan diri di sisi Najla. Masalah di tempat kerja serta masalah dengan mak mertua. Dia ingin hidup bahagia selepas berkahwin dengan Najla. Hakikat bahagia itu tak mudah seperti yang disangka.
" Ujian tu untuk kuatkan kita," pujuk Najla. Dia mengusap rambut hitam suaminya. Bawah mata Zack disentuh lembut. Kesan menangis ada di situ. Menangis kerana asyik ditegur Puan Asma, kerana risaukan Najla dan dimarah Encik Shukri. Namun, setitis air mata pun Zack tidak pernah gugurkan di hadapan Najla.
"Tapi saya tak kuat," balas Zack. Asyik bermain dengan emosi begini, dia pun akan tewas.
Najla menarik nafas dalam. Dia tak mampu bergerak melainkan berbaring sahaja. Kesan jahitan masih baharu dan tegang. Hendak bercakap banyak pun dia perlu mengawal tutur bicara. Apabila terbatuk, sakit itu mencengkam kuat.
" Allah takkan uji melebihi kemampuan kita. Insya Allah nanti satu per satu ujian tu awak dapat selesaikan," ujar Najla separuh berbisik. "Awak dah buat yang terbaik. Takpe kalau awak nak menangis tapi janji dengan saya yang awak akan bangun balik."
Zack membiarkan wajah tersembam pada bahu Najla. Esakan halusnya mula pecah. "Saya cuma nak hidup bahagia dengan awak..." lirihnya.
Dia dikurniakan seorang isteri yang solehah. Satu perkataan 'ah' pun Najla tidak pernah lantunkan kepadanya. Jujur, Zack tidak pernah terasa hati selama berkongsi hidup dengan gadis itu. Raut wajah kacukan yang cantik jelita, cukup buat pandangan mata Zack. Najla tidak pernah menunjukkan kecantikannya pada lelaki lain, dia hanya berhias untuk Zack di rumah. Segalanya sempurna pada Zack. Namun, sayang sekali masalah lain menimpa tidak henti.
"Hidup ni tempat kita berpenat lelah. Sentiasa ada ujian. Ujian tu pula bukan makin senang. Tapi yang pasti hati kita makin kuat. Hanya dekat syurga nanti kita akan dapat kebahagiaan yang abadi."
Terhinjut-hinjut bahu Zack. Air matanya sudah tidak berlinang tetapi dia mahu kekal terus di sisi Najla. Di situ dia berasa tenang, dekat dengan cinta hatinya.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
ActionBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...